“Cukuplah Allah bagiku,tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.“ AQ 9:129


Saturday, 2 July 2016

12. Zaman Gelap Yang Berpanjangan



Pada ketika ini, penulis telah menggelar diri sendiri seorang Quranist secara rasmi.  Para Islamis menggelar kumpulan Quranist sebagai ‘anti-hadith’.  Ya, setelah benar-benar mendalami mesej AlQuran, penulis akui yang penulis perlu menolak hadith.  Penulis memilih untuk berlepas diri dari apa yang mereka sekutukan: 

“Aku hadapkan wajahku kepada Dia yang mulakan langit dan bumi; seorang yang lurus dan bukanlah aku daripada orang-orang yang sekutukan.” AQ 6:79

Secara peribadi pula, penulis menggelar para Islamis sebagai golongan ‘anti-Quran’ tetapi bak kata orang, ‘mati hidup balik’ juga mereka tidak mungkin mengakuinya walaupun mereka jelas menolak mentah-mentah ayat-ayat AlQuran.  

Pun begitu, tidak kisahlah apa yang kita gelar sesama sendiri kerana objektif kita di dunia ini hanyalah untuk hidup dan mati dalam kedamaian atau menjadi seorang ‘Muslim’ (seorang yang damai) sejati.  Untuk itu kita tidak perlu bermusuh hanya kerana pegangan hidup.  Malangnya, golongan Anti-Quran amat gemar bermusuh.  Oleh itu, golongan Quranists terpaksa mengalah dan menyembunyikan diri kerana itu lebih baik untuk memastikan kedamaian. 

Manusia tidak mungkin mencapai kedamaian tanpa peraturan.  Dan manusia juga tidak mungkin dapat hidup dalam kedamaian jika peraturannya terlalu ketat, menyusahkan, tidak sesuai dan tidak masuk akal.  Namun, inilah yang berlaku di dunia Islam sejak kewafatan Rasulullah.  

Perkara yang sama pernah berlaku di kalangan penganut Kristian di mana mereka telah terjerumus ke dalam Zaman Gelap apabila ahli-ahli agama (habr) diberi kuasa untuk mengadili, menghukum dan menentukan jalan hidup mereka.   Seperti juga dunia Islam hari ini, di zaman gelap Kristian, wanita didiskriminasi, bakat dan potensi individu disekat, hidup menjadi sukar kerana segala-galanya ingin disandarkan kepada hukum-hakam yang dicipta oleh penguasa agama.  Ahli sains (ulama) dituduh sebagai ahli sihir, dimusuhi dan dihukum.  Kesudahannya, negara-negara Kristian mengalami kemunduran yang drastik.  


 Ketika Kristian mengalami kejatuhan, bangsa Arab yang menerima AlQuran kemudiannya bangkit menjadi kuasa baru dan melahirkan ahli-ahli sains dan matematik yang hebat.  Zaman kegemilangan bangsa Arab, walaubagaimanapun, tidak lama.  Apabila agama Islam tercipta secara rasmi, bangsa ini perlahan-lahan kembali mundur.  Sains dan matematik tidak lagi diberi keutamaan dan agama dijadikan objektif utama dalam hidup mereka.    


Berikutan itu juga, ahli-ahli agama Arab telah menutup pintu ijtihad pada tahun 1258 Masihi yang mana agama Islam telah ‘dilengkapkan’ dan apa-apa persoalan mengenainya dianggap sebagai penentangan.  Sebarang usaha penyelidikan atau perbincangan lanjut mengenai AlQuran adalah dilarang sama sekali.  Alasannya adalah kononnya orang ramai tidak boleh mentafsir AlQuran dengan menggunakan akal semata-mata dan wajib patuh kepada tafsiran yang telah diputuskan.  Akhirnya umat Islam terus tenggelam dalam kegelapan yang tiada berkesudahan. 

Orang-orang Kristian pula mula belajar dari kesilapan mereka.  Mereka mula memahami bahawa meng-agama-kan cara hidup tidak akan membawa manusia ke mana-mana selain kepada kemunduran, kemiskinan dan kemusnahan.  Dari kesedaran itu mereka kembali menguasai sains dan matematik serta menolak campurtangan agama dalam urusan hidup.   Mereka kemudiannya kembali bangkit menjadi kuasa yang kuat sehingga sekarang.  

Malah sehingga ke hari ini, perbincangan di kalangan orang-orang Kristian turut membangkitkan isu khutbah Nabi Isa di atas bukit (The Sermon on the Mount) yang dikatakan sebagai menyenaraikan garis panduan yang paling lengkap, kerana dalam khutbah tersebut, baginda dikatakan turut memberi amaran tentang ahli-ahli agama yang gemar menghukum dan menyusahkan sesama manusia.  Perlu diingatkan bahawa AlQuran juga memberi amaran yang sama mengenai ahli-ahli agama.  

Malang bagi umat Islam kerana bangsa Arab bukan sahaja tidak belajar dari kesilapan tetapi memperkukuhkan lagi kesilapan mereka sehingga berjaya menyebarkan agama mereka ke seluruh dunia.  

Agama Islam yang diasaskan daripada hadith-hadith ini telah berjaya membelenggu hampir 1.6 juta manusia di bumi hari ini yang mana hampir semuanya kini berada dalam kemunduran, kemiskinan, peperangan, kehancuran dan kemusnahan total dari segi moral, pemikiran, pendidikan, politik dan sebagainya.  

Semua ini berjaya dilakukan oleh bangsa Arab dengan membuatkan umat Islam mengabaikan AlQuran serta bergantung sepenuhnya kepada terjemahan dan kitab-kitab hadith yang ‘diluluskan’ oleh mereka, selaras dengan penutupan pintu ijtihad.  Akhirnya, sehingga ke hari ini AlQuran hanya dijadikan nyanyian, digunakan sebagai jampi serapah, selain dianggap sebagai tiket ekspress ke syurga.  

Hakikatnya, Allah Maha Pengasih telah pun mengingatkan manusia mengenai bangsa Arab.  Mereka yang percaya kepada ayat-ayatNya, pastinya akan terselamat dari terjebak di dalam belenggu ini: 

"Orang-orang ARAB itu, lebih sangat keKAFIRan dan keMUNAFIKkannya, dan lebih wajar mereka tidak mengetahui batas-batas (hudud) hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya. Dan Allah maha mengetahui lagi maha bijaksana" AQ 9:97

Inilah diingatkan sekali lagi bahawa apabila Allah menggunakan satu-satu perkataan itu, pastinya adalah kerana ianya benar dan janganlah kita meraguinya.  Perkataan ‘kafir’ di sini disebut secara jelas dan tepat.  Ia bukan satu perumpamaan atau contoh, tetapi satu peringatan serius kepada semua manusia mengenai bangsa Arab.  

Sudah tentu orang-orang Arab tahu mengenai ayat ini, oleh kerana itulah mereka telah menambah perkataan ‘badwi’ kepada perkataan ‘orang-orang Arab’ dalam ayat tersebut.   Di sinilah terletaknya bukti kemunafikan mereka kerana mereka sebenarnya tahu, tetapi mereka dengan sengaja menambah perkataan itu, yakni, sengaja menipu:

"Apakah kamu masih mengharapkan mereka percaya kepadamu, padahal segolongan dari mereka mendengar firman Allah, lalu mereka mengubahnya setelah mereka memahaminya sedang mereka mengetahui?" AQ 2:75

Sedangkan Allah telah memberi amaran kepada Rasulullah sendiri agar jangan sekali-kali mengada-adakan walau satu ayat pun di atas namaNya.  

Jelaslah pada hari ini bahawa kehancuran dan kemusnahan negara-negara Arab adalah akibat dari kekafiran dan kemunafikan mereka.  Usaha meniru-niru agama dan cara hidup mereka hanya akan membawa kita ke jalan yang sama:

"Syaitan menjanjikan kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan; sedang Allah menjadikan untukmu ampunan daripadaNya dan kurnia dan Allah maha Luas kurnianya lagi Maha Mengetahui." AQ 2:268 


No comments:

Post a Comment