“Cukuplah Allah bagiku,tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.“ AQ 9:129


Thursday, 28 July 2016

15. Agama Islam itu susah



“Tiada paksaan dalam agama” – kata-kata ini bukanlah asing bagi umat Islam dan mereka sering mewar-warkannya sambil merujuk ayat berikut:    

“Tidak ada paksaan dalam aturan hidup (deen-i).  Yang benar telah jelas daripada yang salah.  Maka sesiapa yang tidak percaya kepada taghut, dan percayai Allah, dia berpegang pada pemegang yang paling kukuh, yang tidak akan putus; Allah Mendengar, Mengetahui.” AQ 2:256

Malangnya, kata-kata ini hanyalah dibibir mereka sahaja tetapi mereka tidak berpegang kepadanya. 
Mungkin kerana mereka bukan merujuk kepada ‘deen’ atau aturan hidup yang dimaksudkan AlQuran, tetapi kepada agama Islam yang direkacipta manusia.   Jika tidak, dari mana datangnya halangan bagi umat Islam yang ingin murtad?  Kenapa ramai sekali yang percaya bahawa orang murtad harus dibunuh kalaupun tidak dicemuh, dikutuk dan dipulaukan? 

Ini semua adalah satu bentuk paksaan ke atas mereka penganut agama Islam (yang mengucapkan dua kalimah syahadah dan mempercayai ritual menyembah kiub batu di Mekah 5 kali sehari adalah wajib), agar jangan sekali-kali memilih untuk menyembah yang lain pula.    

Di dalam AlQuran tiada arahan sama sekali untuk yang menghalang sesiapa untuk tidak percaya kepada Tuhan, dan pastinya tiada sama sekali perintah agar mereka yang tidak percaya itu dihukum atau wajib dibunuh.   

Malah, seorang yang telah percaya kepada Tuhan boleh saja menolak kepercayaan itu dan kemudian kembali percaya dan berbalik menjadi tidak percaya pula:

“Orang-orang yang percaya, kemudian tidak percaya, kemudian percaya, kemudian tidak percaya, kemudian bertambah dalam ketidakpercayaan, Allah tidak akan memberi ampunan kepada mereka, dan tidak menunjuki mereka kepada jalan yang lurus.” AQ 4:137

Jika Allah menyuruh mereka yang tidak percaya itu dibunuh, pastinya mereka tidak punya peluang untuk kembali percaya dan tidak percaya seperti ayat di atas.   Tetapi, menurut AlQuran, ini tidak berlaku kerana mereka dibiarkan terus hidup serta bebas menukar pegangan berkali-kali dan Allah hanya menyatakan bahawa Dia tidak akan mengampuni mereka dan tidak akan memberi petunjuk lagi kepada mereka.  Itu saja.   

Sama sekali tidak ada perintah untuk sesiapa di antara kita bertindak menghukum mereka bagi pihak Allah pastinya kerana manusia sama sekali tidak punya pengetahuan tentang siapa yang benar-benar beriman (percaya).  Ini terbukti dengan meningkatnya kes murtad di kalangan umat Islam di Malaysia yang mana kebanyakannya tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa agama.  Malah, ada di kalangan mereka masih bersolat Jumaat, sekadar untuk mengelak dihukum oleh jabatan agama Islam.  

Lebih dari itu, kita juga tidak tahu sama ada diri kita sendiri adalah tergolong dalam orang beriman (percaya) di sisi Allah.  Oleh itu, jika iman sendiri juga kita tak dapat tentukan, bagaimana kita memikul tugas menilai dan menghukum iman orang lain?  

Hakikatnya, orang bukan Islam yang kita tuduh kafir itu belum tentu lagi kafirnya dan orang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah itu hampir jelas munafiknya.  (rujuk artikel 14)

Pastinya ada di kalangan pembaca yang merasakan penulis telah menjadi kafir atau sesat kerana tidak berpegang kepada ijtihad ulama dan hukum-hukum yang telah dipersetujui oleh majlis fatwa.   Anda juga mungkin merasa marah dan menuduh penulis mempermainkan agama Islam.  

Penulis ingin tekankan di sini bahawa anda boleh menuduh apa saja, tetapi tahanlah diri anda dari menghukum penulis atas nama Tuhan kerana apa yang anda hukum itu, bukanlah dari Tuhan dan anda bukanlah Tuhan.   Sekurang-kurangnya, jagalah had itu dalam mempertahankan agama anda. 

Selain dari menipu diri menyatakan bahawa tiada paksaan dalam agama, umat Islam juga turut menipu bila berkata bahawa “agama Islam itu mudah”.    

Ya, menjadi seorang Muslim (orang yang berdamai) memanglah mudah, tetapi menjadi penganut agama yang dinamakan Islam itu sebenarnya sangatlah susah.  

Lihatlah betapa sukarnya umat Islam untuk makan di mana saja atau melancong di mana saja kerana terpaksa mencari tempat yang terdapat makanan halal.  Umat Islam juga terpaksa membawa bekal keperluan solat ke mana-mana, terpaksa berhenti mencari tempat bersolat dan kadangkala terpaksa bersolat di tempat yang tidak sesuai yang adakalanya juga mengganggu orang lain.  

Kerana solat juga, umat Islam sukar untuk bersollaa (komited) dalam pekerjaan.  Jika orang barat boleh menyelam ke dasar laut mencari bahan untuk dikaji, seorang Islam tentu tidak boleh berbuat demikian kerana terpaksa memastikan solatnya terjaga mengikut waktu.  Konsentrasi juga terganggu kerana asyik menunggu masa bersolat.  Hendak ke bulan juga bukan main susah kerana terpaksa memikirkan bagaimana untuk bersolat.  Bukan itu saja, bagaimana pula untuk menentukan kiblat di angkasa lepas?  Bukankah ini pelik sedangkan alam maya ini  dicipta oleh Allah dan semua makhluk bersollaa kepadaNya maka kenapakah kedudukan kiblat itu tidak sesuai untuk seluruh alam?   

Itu belum lagi meneroka hutan amazon, mendaki gunung, menongkah padang pasir untuk mengkaji dan mencari ilmu seperti yang diperintahkan oleh Allah.  Umat Islam tentu sukar untuk melakukan semua ini jika terpaksa berhenti berwuduk, bersolat dan sebagainya.  Benarlah kata seorang rakan penulis bahawa umat Islam sebenarnya bukan menyembah Allah, tetapi menyembah waktu kalaupun tidak menyembah matahari dan bulan seperti orang-orang jahiliah.  

Bagi wanita Islam pula tentunya lebih sukar lagi kerana mereka terpaksa membungkus diri dari hujung rambut ke hujung kaki walaupun dalam cuaca panas terik.   Apa yang lebih menarik ialah, tahap kesukaran yang dihadapi penganut agama ini pula berbeza mengikut di negara Islam mana kita berada. Ada negara Islam yang tidak membenarkan wanita memandu, dan keluar sendirian tanpa muhrim.  Tidak boleh membonceng motorsikal dengan lelaki bukan muhrim walaupun mungkin lelaki itu anak jirannya dan itu saja cara paling murah dan mudah untuk mereka pergi bekerja.   

Ya, umat Islam amat gemarkan idea untuk memisahkan lelaki dan perempuan di tempat awam kerana kebanyakan ajaran ustaz dan hadith begitu obses dengan seks.  Memang sakit untuk mengakuinya, tetapi inilah hakikat yang begitu buruk mengenai pemikiran majoriti umat Islam.  

Pemisahan lelaki dan wanita di tempat awam tentu sekali membebankan wanita berkeluarga kerana anak-anak akan terpaksa mengikut mereka, sedang suami mereka boleh saja berjalan berlenggang tanpa perlu menjaga anak. 

Apabila bercuti di hotel dengan keluarga, wanita Islam tidak boleh berpakaian mandi yang sesuai di kolam renang.  Rata-rata, kita lihat mereka terpaksa duduk saja di tepi sambil melihat suami dan anak-anak bergembira.  Ada yang degil ingin juga bersuka ria bersama suami dan anak-anak seperti orang lain lalu memilih untuk melanggar peraturan, sekali gus mengotorkan kolam renang dengan pakaian yang tidak sesuai.  Beberapa kali penulis menyaksikan mereka atau suami mereka bertengkar dengan pihak hotel untuk membenarkan mereka berpakaian sesuka hati di kolam renang dengan menggunakan alasan agama.   Tindakan ini menyerlahkan sikap buruk umat Islam yang amat suka membantah, degil, enggan mengikut peraturan.   

Beberapa rakan-rakan wanita penulis yang bertudung pernah meluahkan secara tidak sengaja akan kesukaran yang mereka hadapi seharian.  Pergi ke kedai berdekatan juga susah, kata mereka, kerana terpaksa berselubung lengkap.   Oleh itu, adakalanya mereka hanya memakai t-shirt lengan pendek sahaja atas alasan ‘susah’ atau ‘panas’.  Mereka juga mengakui bahawa jika mereka bercuti di tempat yang tidak terdapat ramai orang Malaysia, mereka akan buang saja tudung kepala mereka.  
   
Beberapa tahun kebelakangan ini, rambut wanita menjadi isu yang semakin ‘meruncing’ sehinggakan wanita tidak lagi dibenarkan menampakkan rambut di hadapan ipar-ipar lelaki.  Ini tentulah malang bagi wanita yang tinggal bersama mertua dan ipar lelaki kerana mereka terpaksa membungkus kepala seharian sehinggalah masuk waktu tidur.   Bayangkan bau rambut yang sentiasa berbungkus tidak kira dalam keadaan berpeluh atau basah.   

Jika itu belum cukup susah, wanita Islam juga perlu menjaga aurat di hadapan wanita bukan Islam!  Ini bermakna jika mereka menyertai kelas aerobik dalam premis tertutup yang semua pesertanya wanita, tetapi kelas itu turut disertai wanita bukan Islam, maka mereka terpaksa membungkus rambut sepanjang kelas juga.   Atas hujah yang sama, mereka tentu tidak boleh ke salon rambut milik bukan Islam atau yang mempunyai pekerja bukan Islam!   Bayangkan jika mereka tinggal di negara bukan Islam, tentu mereka tidak boleh ke salon rambut selama-lamanya!  

Umat Islam seolah-olah menyatakan bahawa Allah tidak tahu akan realiti hidup di dunia yang dihuni manusia berbagai agama dan bangsa ketika menurunkan agamaNya, sedangkan Allahlah yang mencipta dan mengetahui semuanya. 

Itu belum lagi diambil kira peranan seorang isteri yang mana umat Islam percaya bahawa syurga isteri adalah di tapak kaki suami.  Ungkapan ini kemudiannya dijadikan tiket untuk suami memperhambakan isteri dan juga berpoligami. 

Pendek kata, menjadi lelaki beragama Islam tidaklah begitu mudah, dan menjadi wanita Islam adalah sesuatu yang teramat susah.  Anda tidak dibenarkan berpakaian mengikut citarasa sendiri, tidak boleh mempunyai personaliti sendiri, tidak boleh bergembira dan mengkespresi diri.  

Dalam kata lain, agama Islam secara umumnya menghalang manusia menjadi manusia.  Semua manusia, terutama wanita perlu berpakaian sama.  Tidak perlu kepada industri fesyen.  Tidak perlu kepada muzik.  Tidak perlu kepada salon juga, mungkin.   Maka, apakah lebih baik bagi umat Islam untuk hidup seperti manusia zaman batu tanpa sebarang peralatan dan ciptaan moden serta tidak perlu kepada otak untuk berfikir juga?  

Apabila naluri semulajadi manusia dihalang dan pemikiran disekat, maka manusia terpaksa menjadi hipokrit.  Hidup dalam hipokrasi setiap hari pastinya akan menyebabkan sakit jiwa.   Tidak hairanlah kita sering mendengar kes yang pelik-pelik di kalangan pelajar sekolah agama, tahfiz, termasuk di kalangan ustaz dan ustazah mereka.   

Perlu diingatkan bahawa keadaan ini bukan hanya ekslusif terhadap agama Islam sahaja, tetapi juga semua agama.   Sekolah-sekolah agama Kristian, dan di kalangan agamawan Kristian di barat juga, kumpulan yang terlalu ekstrem menekankan hukum-hakam dan dosa-pahala, pasti menghadapi masalah yang sama.  Jika ekstremisme Islam mampu melahirkan pengganas, ekstremisme di kalangan Kristian juga terbukti mampu melahirkan pembunuh bersiri. 

Apabila didoktrinkan mengenai ‘apa yang tidak boleh dibuat’ setiap hari, jiwa manusia akan menjadi murung, dirundung kebencian dan kemarahan lalu hati menjadi rosak dan berkemungkinan hilang sifat kemanusiaan sehingga menjadi ganas dan tidak lagi punya rasa kasihan, simpati, sabar, hormat, kasih sayang dan cinta.   Manusia seperti inilah yang mudah terhasut dan tergoda dengan ideologi pengganas seperti AlQaeda ataupun ISIS.  

Penulis percaya di kalangan pembaca sendiri ramai yang merasa takut dan gerun untuk mempersoal hukum-hukum yang dikeluarkan oleh ustaz-ustaz/agamawan dari hadith-hadith yang dipetik mereka.  Dan apabila anda buntu kerana sesuatu yang ingin dilakukan tidak terdapat hukumnya dalam AlQuran, anda merujuk kepada ustaz-ustaz itu untuk bertanyakan hukumnya seolah-olah ustaz itu adalah Tuhan kedua pula.  Anda cukup takut untuk menggunakan budi bicara dan akal fikiran sendiri, bukan begitu?

“Allah berkata, “Janganlah ambil untuk kamu dua Tuhan.  Dia hanyalah Tuhan yang Satu; maka kepadaKulah kamu berasa gerun.” AQ 16:51  

Benarlah, bahawa takutnya manusia kepada agamawan mengatasi takut mereka kepada Tuhan.  Mereka lebih takut untuk tidak percaya kepada agamawan daripada tidak percaya kepada AlQuran.   

Lebih buruk lagi, apabila dirujuk akan sesuatu perkara yang tiada dalam AlQuran, para agamawan jarang sekali akan menyatakan bahawa mereka tidak tahu tetapi mereka sedaya upaya akan mencipta hukum mereka sendiri walaupun mereka sebenarnya cukup maklum bahawa Allah melarang mereka berbuat demikian: 

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta ‘ini halal dan ini haram’ untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah.  Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan kebohongan terhadap Allah tidaklah beruntung.” AQ 16:116

Contoh mudah ialah kumpulan yang menolak suntikan vaksin ke atas anak-anak mereka.  Kumpulan ini bertindak demikian kerana mengikut pendapat ustaz atau agamawan.  Sedangkan ustaz itu tidak ada pengetahuan sedikit pun dalam bidang perubatan.  

AlQuran telah menyatakan bahawa Ulama sebenar ialah mereka yang memahami dan takut pada sunnatullah iaitu hukum alam semulajadi.  Ini termasuklah kejadian manusia iaitu organ-organ dan fungsinya.  Justeru, jika ingin tahu apa ‘hukum’ suntikan vaksin ke atas manusia, seharusnya kita merujuk kepada pakar perubatan atau doktor, dan bukannya ‘pakar’ hadith.  Tidak ada ilmu berkenaan organ atau sistem badan manusia di dalam hadith yang mereka baca itu.   Malah tidak ada ilmu satu apa pun di dalamnya melainkan pendapat atau imaginasi semata-mata.  

Akibat menolak peringatan AlQuran dan degil ingin berTuhankan ustaz, maka kedamaian (Islam) pun terancam.  Anak mereka sakit atau menjangkitkan penyakit pada anak orang lain.  Masyarakat pun terjejas kerana terpaksa berwaspada dengan bahaya penyakit yang dibawa kumpulan mereka.   Mereka menjadikan hidup mereka dan orang lain susah.

Secara umumnya, masyarakat Islam hidup dalam keadaan terbelenggu, tertekan dan terkurung dalam satu kepompong di bawah tempurung yang gelap dan tiada penghujung.  Harapan mereka jika mereka terus-terusan menafikan bahawa cara hidup mereka itu sukar serta cekal menjalaninya, maka Allah akan memberi ganjaran syurga akhirnya.   

Jika itu yang mereka percaya, maka mereka secara tidak langsung menyatakan bahawa Allah berbohong dalam ayat ini:-

"Tho Haa. Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah; tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah), iaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi" AQ 20:1-4

Bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah, kita pastinya beriman kepada AlQuran dengan sepenuh hati.  Dan pastinya kita percaya kepada ayat di atas bahawa jalan hidup yang ditunjukkan oleh AlQuran itu tidak susah, malah sangat mudah.  Allah tidak berbohong tetapi umat Islamlah yang berbohong dengan diri sendiri apabila menyatakan hidup mereka mudah, sedang mereka benar-benar merasa susah. 

1 comment:

  1. Apa itu nafsu? Iaitu nak buat sesuai ikut suka hati dan akal fikiran dia semata. 'Ya Allah, jangan biarkan aku mengikut nafsuku semata, walaupun pun hanya sedetik, bimbinglah aku ke jalan yg Kau redhai"

    ReplyDelete