Oleh itu, penulis merasai bahawa bukanlah satu kebetulan
apabila AlQuran itu, walaupun ia bersifat sejagat (universal) iaitu untuk semua
manusia, tetapi hampir semua manusia merasakan bahawa ia diturunkan khas untuk
panduan orang-orang Islam sahaja - terutamanya orang-orang Arab.
Ini tentunya kerana kumpulan inilah yang paling degil menolak
AlQuran dan peringatan mengenai pentingnya penggunaan akal untuk mencapai
kehidupan yang baik. Kumpulan inilah
yang memerlukan bimbingan khas melalui kitab yang datangnya terus dari
Tuhan.
Dan bukan juga kebetulan yang bahasa AlQuran adalah bahasa
Arab kerana jika diturunkan dalam bahasa lain tentulah lebih lagi kumpulan ini
menolaknya.
"Dan
jikalau Kami jadikan Al Quran itu suatu bacaan dalam bahasa selain Arab,
tentulah mereka mengatakan: 'Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya? Apakah
(patut Al Quran) dalam bahasa asing sedang (Rasul adalah orang) Arab?
Katakanlah:'Al Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang mukmin.
Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedang Al
Quran itu suatu kegelapan bagi mereka. Mereka itu adalah (seperti) yang
dipanggil dari tempat yang jauh" AQ 41:44
Ini menguatkan lagi fahaman penulis bahawa apa yang Tuhan
perintahkan kepada manusia hanyalah untuk menggunakan akal masing-masing bagi
mencapai aturan hidup yang aman, agar sejahtera dan berjaya. Itu sahaja.
Jika kita komited (sollaa) mengikut perintah ini dan
mengakui serta mempercayai kewujudan Maha Pencipta dan tidak menyekutukanNya maka
kita telah pun memenuhi objektif kewujudan kita di dunia.
Bagaimanapun, untuk menjadikan hidup lebih bermanfaat dan mendapat
keberkatan, kita haruslah mencabar diri untuk mencapai potensi sepenuhnya. Contohnya, jika kita bijak dalam matematik
atau quantum fizik, maka kita cabar diri kita untuk menjadi pakar dalam bidang
tersebut, merungkai rahsia alam semesta seperti Professor Stephen Hawking. Jika kita punya bakat dalam nyanyian, maka
asuh dan berlatihlah sehingga menjadi penyanyi yang hebat seperti Michael
Jackson. Jika kita pandai merekabentuk
kasut, maka usahalah sesungguh hati untuk berjaya dalam bidang tersebut seperti
Jimmy Choo.
Kemudian, murnikanlah (zakaa) apa yang kita kerjakan itu
iaitu pastikan hasilnya membawa manfaat kepada manusia lain ataupun alam
semesta. Kita juga jangan sekali-kali
lupa untuk bersedekah, merendah diri, berbuat baik pada semua orang, dan haruslah
sentiasa bersyukur serta tetap patuh di jalan yang ditetapkan oleh Maha
Pencipta iaitu jalan yang damai.
Ertinya, janganlah kita berlebih-lebih, tamak, berbuat kerosakan, dengki
mendengki, benci membenci, menganiaya atau berperang dan membunuh orang lain.
Ya, peraturan hidup yang dibawa oleh AlQuran itu
sangat-sangat mudah. Benarlah Allah Maha
Pengasih lagi Maha Penyayang!
"Tho
Haa. Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah;
tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah), iaitu
diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi" AQ
20:1-4
Nampaknya, negara-negara yang aman dan maju itulah negara
Islam, dan rakyat di negara-negara itulah yang sebenarnya Muslim iaitu manusia
yang hidup dengan berperaturan dan damai.
Kesedaran ini kemudiannya membawa penulis kepada persoalan
mengenai dua kalimah syahadah.
Mengikut ahli agama Islam, seseorang itu perlu mengucapkan
dua kalimah syahadah bagi menjadikannya seorang Muslim. Di Malaysia, kad pengenalan kita juga perlu
menyatakan agama masing-masing. Apabila kita telah didokumenkan sebagai seorang
Islam, kita sekali-kali tidak dibenarkan untuk menukar agama. Oleh itu, walaupun seorang yang beragama
Islam di Malaysia telah memilih untuk murtad, dia tidak akan dibenarkan berbuat
demikian dan kad pengenalannya akan terus tertulis Islam. Dengan cara ini, para agamawan percaya bahawa
mereka telah berjaya menghalang seorang Islam dari murtad.
Agamawan di Malaysia langsung tidak mengambil kira bahawa
keimanan itu tidak mungkin dapat disahkan dengan sebarang dokumen. Mereka seolah-olah tidak memahami bahawa iman
itu adalah urusan Allah, bersifat ghaib, tidak boleh diketahui, dilihat, dan jauh
sekali disahkan oleh manusia.
"Dan
sesungguhnya Allah benar-benar mengetahui orang-orang yang beriman: dan
sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang munafik" AQ 29:11
"Sesungguhnya
Tuhanmu, Dialah yang paling mengetahui siapa yang sesat dari jalan Nya; dan
Dialah yang paling mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk" AQ 68:7
Allah juga
menyatakan yang kita tidak boleh memaksa sesiapa pun untuk beriman.
"Dan
jikalau Tuhanmu mengkehendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi
seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi
orang-orang yang beriman semunya ? AQ 10:99
Allah juga menyatakan bahawa hanya Dia yang mampu membuat
seseorang itu beriman.
"Dan tidak ada seorangpun akan beriman kecuali dengan izin
Allah;
dan Allah akan menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan
akalnya" AQ 10:100
Malah, Rasulullah juga tidak mampu membuat semua orang
beriman:
“Sebahagian besar manusia tidak akan beriman – walaupun aku sangat
menginginkannya. Dan aku sekali-kali tidak meminta upah kepada mereka (terhadap
seruanku ini), itu tidak lain hanyalah pengajaran bagi semesta alam)” AQ
12:103-104
Jadi, bagaimana para agamawan boleh menentukan dan memaksa
seseorang itu beriman dengan hanya bersandarkan sekeping kertas atau dokumen
sahaja? Apakah mereka lebih hebat dari
Rasulullah dan mempunyai hubungan langsung dengan Allah bagi mendapatkan
kelulusan atau pengesahan?
Apa pula kata AlQuran tentang iman?
“Rasul telah beriman kepada AlQuran yang
diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan demikian pula orang-orang yang
beriman. Semuanya beriman kepada
Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya. “KAMI TIDAK MEMBEZA-BEZAKAN SESEORANGPUN DARI
RASUL-RASULNYA,” dan mereka mengatakan: “Kami dengar dan kami taat”. “Ampunilah
kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kami kembali.” AQ 2:285
Bagi penulis, jika kita mencari rukun iman, maka ia
sebenarnya berada dalam ayat di atas.
Secara ringkasnya, orang-orang beriman adalah orang-orang
yang percaya kepada apa yang diturunkan dari Tuhan, iaitu AlQuran.
1. Dengan itu, mereka percaya kepada Allah
2. dan Malaikat-malaikat
3. dan Kitab-kitab
4. dan Rasul-rasul
5. dan TIDAK MEMBEZAKAN ANTARA RASUL-RASUL
6. dan mereka berkata ‘kami dengar dan KAMI TAAT.’
Orang-orang beriman, menurut AlQuran, tidak pula menyebut dua kalimah syahadah sepertimana kita diajar. Sebaliknya, AlQuran memberi amaran yang bertentangan sama sekali:
“Dan
apabila disebut nama Allah semata-mata, segan serta liarlah hati mereka
yang tidak beriman kepada hari akhir; dan apabila disebut nama-nama yang mereka
sembah dan puja selain dari Allah, mereka dengan serta merta riang dan
gembira.” AQ 39:45
Perhatikan ayat di atas baik-baik; Orang-orang yang TIDAK BERIMAN tidak suka
jika kita menyebut Allah SEMATA-MATA.
Mereka ‘hanya akan gembira dengan menyebut nama Allah BERSAMA dengan
nama-nama yang lain’.
Ertinya mereka degil ingin memasangkan Allah dengan manusia
yang mereka puja.
Manusia itu boleh jadi imam-imam mazhab, penulis-penulis
hadith atau nabi dan rasul.
Justeru, bukankah kitalah selama ini menyebut “Aku naik
saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, DAN aku naik saksi
bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”?
Kenapa kita perlu pasangkan Allah dengan Rasul secara setaraf? Dan kenapa kita perlu bezakan taraf
Rasulullah dengan
Rasul-rasul yang lain sedangkan Allah melarangnya?
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa umat Islam hari ini
seolah-olah memuja Rasulullah melebihi rasul-rasul lain dan meletakkan
Rasulullah hampir setaraf dengan Tuhan.
Umat Islam pada dasarnya tidak menganggap Rasulullah sebagai penyampai
mesej Tuhan tetapi sebagai pasangan kepada Tuhan sehingga boleh membuat hukum
sendiri yang tiada di dalam AlQuran. Hukum-hukum ini dikatakan dicatatkan di dalam
hadith melalui dengar cakap dan penceritaan dari satu generasi, dan melangkaui
generasi dalam masa 200 tahun.
Umat Islam tidak mengendahkan mesej yang dibawa oleh
Rasulullah iaitu AlQuran, tetapi lebih berminat untuk meniru Rasulullah
sedangkan mereka tidak punya satu bukti pun yang Rasulullah berbuat apa yang
mereka katakan itu. Akibatnya, mereka
hanya meniru-niru cara hidup dan budaya orang Arab sahaja.
Cara
hidup dan budaya orang Arab ini dikatakan ‘sunnah Rasul’ dan sunat diikuti,
kalaupun tidak diwajibkan secara tidak langsung.
Hari ini, nama Rasulullah dinyanyikan, dizikirkan, dicetak
dan digantung bersebelahan nama Tuhan di mana-mana. Malah, syarat untuk menjadi umat Islam juga
kita perlu membuat pengakuan bersaksi terhadap Allah dan Rasulullah secara
berpasangan.
Sedangkan AlQuran
menyatakan bahawa orang yang beriman tidak menyebut apa yang kita sebut itu
tetapi sebaliknya menyebut ‘kami dengar dan kami taat/patuh’.
Ayat yang hampir sama diulang di dalam AlQuran dalam
mencerita keimanan seseorang.
“Ketika Tuhannya berfirman kepadanya:
‘Tunduk patuhlah!” Ibrahim menjawab: ‘Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta
alam.” AQ 2:131 --- (Aslam-tu-li-rabbil-alameen)
“Dikatakan kepadanya: ‘Masuklah ke dalam
istana’. Maka tatkala dia melihat lantai
istana itu, dikiranya kolam air yang besar, dan disingkapkannya kedua
betisnya. Berkatalah Sulaiman:
‘Sesungguhnya ia adalah istana licin terbuat dari kaca.’ Berkatalah Balqis: ‘Ya
Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah
diri bersama Sulaiman kepada allah, Tuhan semesta alam.” AQ 27:44 --- (Aslamtu-ma’a-sulaimanna-lillah-hi-rabbil-alameen)
“Katakanlah: ‘Sesungguhnya aku dilarang
menyembah sembahan yang kamu sembah selain Allah – setelah datang kepadaku
keterangan-keterangan dari Tuhanku; dan aku perintahkan supaya tunduk patuh
kepada Tuhan semesta alam.” AQ 40:66 ---
(Uslima-li-rabbil-alameena)
Jelas mengikut AlQuran, tidak ada pra-syarat untuk seseorang
itu mengucapkan dua kalimah syahadah untuk menjadi Muslim seperti yang
diberitahu oleh para agamawan sejak zaman-berzaman.
Penulis akui bahawa penulis juga tersentak apabila menyedari
hakikat ini. Mulanya penulis merasa
takut untuk mempercayainya. Tetapi
kemudian penulis lebih takut kerana telah meragui firman Tuhan. Penulis juga benar-benar takut memikirkan
bahawa selama ini penulis telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan apa
yang diperintahkan oleh Tuhan.
Penulis dapati, apa yang ada di dalam AlQuran mengenai
syahadah hanyalah kalimah yang pertama:
“Allah menyatakan bahawasanya tidak ada
Tuhan melainkan Dia, Yang menegakkan keadilan.
Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan demikian). Tak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha
Perkasa lagi Maha Bijaksana.” AQ 3:18 ---
(la-illah-ha-illah-hu)
Apa yang lebih ‘mengejutkan’ ialah AlQuran dengan jelas
menyatakan bahawa mereka yang menyatakan kalimah kedua dalam syahadah iaitu ‘kami naik saksi bahawa Muhammad adalah
Rasulullah’ adalah sebenar-benarnya orang-orang yang munafik:
“Apabila orang-orang munafik datang
kepadamu, mereka berkata: ‘Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau
sebenar-benarnya Rasul Allah.” Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau
ialah RasulNya, serta Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafik
itu benar-benar pendusta.” AQ 63:1 --- (Ash-hadoo-innaka-la-rasulullah)
Untuk menjadi saksi, kita perlu menyaksikan sendiri perkara
itu berlaku iaitu dalam kes ini, perlantikan Rasulullah sebagai Rasul. Namun ini pastinya mustahil kerana Rasulullah
bukan sahaja telah lama wafat tetapi juga kita tidak mempunyai sebarang
pengetahuan yang nyata tentang siapa dirinya yang sebenar. Justeru, bagaimana kita begitu berani mengaku
menjadi saksi?
Berbeza dengan kalimah pertama tadi, di mana kita mampu
mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Satu kerana hakikat ini dapat
disaksikan dengan kewujudan akal yang membawa pengetahuan bahawa pastinya wujud
Maha Pencipta alam semesta yang menakjubkan ini.
Hujah ini dikuatkan lagi apabila AlQuran turut menegaskan
bahawa cukuplah Allah sahaja yang menjadi saksi perlantikan Rasulullah:
“Berkatalah
orang-orang kafir, “Kamu bukanlah seorang yang dijadikan Rasul”. Katakanlah: “CUKUPLAH ALLAH MENJADI SAKSI ANTARAKU DAN
KAMU, dan di antara orang yang mempunyai ilmu Al-Kitab.” AQ 13:43
“Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah
dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari dirimu sendiri. kami mengutusmu menjadi rasul kepada segenap
manusia - DAN CUKUPLAH ALLAH MENJADI
SAKSI.” AQ 4:79
Maka, bahagian manakah dari peringatan-peringatan Allah ini
yang kita tidak faham?
No comments:
Post a Comment