“Cukuplah Allah bagiku,tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.“ AQ 9:129


Monday, 4 July 2016

13. Akal adalah segala-galanya



Umat Islam hari ini benar-benar berpegang kuat kepada larangan penggunaan akal dalam soal agama atas alasan akal manusia tidak mampu menjelaskan kuasaNya.   
 
Jika benar, mungkinkah penemuan penulis setakat ini tidak sah kerana semua ini ditemui dengan menggunakan akal?  Bagaimana kita boleh mengetahui sesuatu itu benar tanpa menggunakan akal?  

Apabila diminta sertakan ayat mana yang menyatakan Tuhan melarang penggunaan akal dalam AlQuran, mereka menjadi marah-marah.   Malah, ada di kalangan mereka menuduh penulis kafir, sesat dan sebagainya.   Apatah lagi dengan penampilan yang tidak bertudung, penulis turut diperlekeh dan segala hujah penulis dibakul-sampahkan saja tanpa mendengarnya langsung. 

Tetapi tidak apa, penulis bukan hidup untuk mendapat restu mereka.  Hidup mati penulis kerana Tuhan semata-mata.  Jika mereka berdegil ingin menolak AlQuran, apa boleh buat?  

Akal adalah anugerah tertinggi dari Tuhan kepada makhluk, maka adalah tidak logik jika kita dilarang menggunakannya dalam memperkatakan tentang kebenaran Tuhan.  Bagi penulis, akal bukan sahaja yang tertinggi, tetapi juga adalah satu-satunya yang menjadikan hidup kita ini bererti.   Kerana itu, Allah dengan jelas merujuk kepada mereka yang enggan menggunakan akal sebagai hina: 

“Dan tidak ada seorang pun akan beriman kecuali dengan izin Allah; dan Allah menimpakan kemurkaan (al rijs) kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya.” AQ 10:100

Untuk pengetahuan, perkataan al rijs berasal dari akar kata yang sama dengan najis.  Ini sudah cukup untuk menerangkan kedudukan orang yang menolak penggunaan akal di sisi Tuhan.  Entah kenapa kebanyakan umat Islam masih memilih untuk tidak mengendahkan ayat ini dan duduk dalam keadaan hina. 

Malah, Allah juga memberitahu bahawa mereka yang tidak menggunakan akal, yakni tidak mahu berfikir, akan menyesal: 

“Dan mereka berkata: ‘sekiranya kami mendengarkan atau MEMIKIRKAN nescaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala.” AQ 67:10

“Dan mereka berteriak di dalam neraka itu: ‘Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami, nescaya kami akan mengerjakan usaha yang baik berlainan dengan apa yang telah kami kerjakan’. Dan apakah, KAMI TIDAK MEMANJANGKAN UMURMU DALAM MASA YANG CUKUP UNTUK BERFIKIR bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan datang kepada kamu pemberi peringatan?  Maka rasakanlah dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong pun.” AQ 35:37

Terdapat 47 ayat yang menekankan pentingnya ‘berfikir’ atau penggunaan akal di dalam AlQuran.   Apakah ini masih belum cukup untuk kita memahami bahawa ‘akal’ amatlah penting bagi seorang manusia yang mengaku beriman?   

Apa itu akal?  

Akal difahami sebagai berada di bahagian otak.   Apabila otak tidak berfungsi atau mati, maka secara teknikalnya, manusia itu juga telah mati, yakni tidak punya kesedaran lagi ke atas kewujudannya di dunia ini.   Ertinya, akalnya tidak bersamanya lagi. 

Otak manusia adalah satu organ yang paling canggih dan rumit.  Secara purata, manusia biasa hanya menggunakan 10% dari potensi otak mereka.   Manusia tidak mungkin mencapai 100% potensi otak kerana ia akan bermakna dia memiliki seluruh pengetahuan mengenai alam semesta ini.  Sedangkan seluruh pengetahuan itu hanyalah milik Tuhan - tiada berpenghujung, tiada had atau infiniti.   Malah, perkataan ‘infiniti’ itu sendiri kita tidak mampu bayangkan.  Dan manusia tidak dapat melihat apa yang dia tidak mampu bayangkan.  

Jika anda pernah menonton filem ‘Lucy’, maka anda akan faham konsep ini.  Bagi yang memahami, filem Lucy adalah sebenarnya bersifat keTuhanan tetapi disampaikan dalam bentuk fantasi sains fiksyen:  

 Dalam filem tersebut, Lucy menjadi mangsa pengedar dadah dan perutnya dibedah untuk disembunyikan sejenis dadah baru yang mampu meningkatkan potensi otak.  Bagaimanapun, dadah tersebut terpecah lalu terserap di dalam tubuhnya.  Jumlah yang terlalu banyak menyebabkan peningkatan potensi otak Lucy tidak terkawal sehingga mencapai tahap maksima iaitu 100%.  Dalam proses itu, otak Lucy mula menyerap semua maklumat, mampu mengetahui apa yang difikirkan oleh seluruh manusia lain, punya kemampuan melihat proses fotosintesis di dalam tumbuhan, mampu melihat dan memahami setiap getaran dan gelombang bunyi dan elektrik, mampu merasai bumi berpusing, mampu mengetahui apa yang akan berlaku di seluruh dunia sehinggalah akhirnya Lucy ‘hilang’ dari pandangan apabila otaknya mencapai 100% potensi iaitu mempunyai keseluruhan pengetahuan mengenai alam semesta.   

‘Hilang’ bukan kerana Lucy telah tiada tetapi kerana mata manusia tidak mampu melihat apa yang akal kita tak mampu bayangkan iaitu pengetahuan total lagi infiniti mengenai alam semesta.    

Organ yang dipanggil ‘otak’ ini turut dimiliki oleh binatang cuma potensi organ ini di dalam binatang amat terhad kerana ia tidak disertakan dengan akal untuk berfikir.  

Fungsi dan kekuatan otak boleh dipetakan secara umum dan spesifik seperti kreativiti, memori, pergerakan dan sebagainya tetapi tiada siapa yang dapat menjelaskan mengenai ‘akal’ yang menjana kebolehan-kebolehan itu, mahupun had kekuatan atau potensinya seperti yang dijelaskan melalui filem Lucy tersebut.  

Dalam kata yang lebih tepat, ‘akal’ adalah sesuatu yang ghaib, tidak boleh disentuh mahupun dilihat.   

Buktinya, apabila ahli fizik tersohor Albert Einstein meninggal dunia, Thomas Harvey, seorang pathologist, telah mencuri otaknya untuk dibuat kajian.   Harvey nekad untuk mencari penjelasan kepada kebijaksanaan Einstein walaupun berhadapan dengan berbagai risiko, termasuk tindakan undang-undang. 

Walaubagaimanapun, akhirnya terbukti bahawa tiada apa-apa yang istimewa dari otak Einstein kerana ianya sama sahaja dengan otak manusia lain.  Keistimewaan akal Einstein tidak dapat dinyatakan melalui sekujur otaknya yang telah mati.  

Kesimpulannya, manusia hanya mampu mengkaji dan memahami otak tetapi tidak mampu mengkaji dan memahami kewujudan ‘akal’ di dalamnya.   Kemampuan manusia untuk mengkaji ‘akal’ hanya terhad setakat mengkaji hasil yang terbit dari akal individu tersebut ketika beliau masih hidup atau melalui peninggalannya seperti buah fikirannya, hasil kerjanya, tindakan atau penulisan dan percakapannya. 
 
Sesungguhnya ‘akal’ itu amatlah menakjubkan dan benar-benarlah satu anugerah yang tertinggi dari Tuhan. 


Manusia hidup melalui mindanya.  Tanpa minda manusia sebenarnya tidak wujud.  Malah, apa yang kita lihat hanyalah apa yang ditafsirkan oleh minda.  Segala-gala di dunia ini hanyalah di dalam minda kita, dan kerana itulah akal adalah segala-galanya.   Ini menerangkan satu keadaan atau penyakit yang dipanggil prosopagnosia atau ‘face blindness’ di mana seseorang itu gagal mengenal wajah termasuk wajahnya sendiri.  Ini menunjukkan bahawa wajah fizikal seseorang itu sebenarnya tiada melainkan ditafsirkan oleh minda kita sahaja.  Jika bahagian mengenalpasti wajah itu rosak atau terjejas, maka biar pun mata kita melihatnya, kita hanya nampak wajah yang ditafsirkan dan kemungkinan besar tidak mengenali wajah yang ditafsirkan itu.   

Para saintis mengesahkan bahawa dunia ini hanya wujud dalam bentuk delusi atau hologram dan ini telah pun diterangkan Allah di dalam AlQuran:

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.  Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah beruntung.  Kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya (l-ghururi – delusion).” AQ 3:185  

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah di antara kamu serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak’ seperti hujan yang menyebabkan tanam-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian ia menjadi hancur.  Dan di akhirnya ada azab yang keras, dan keampunan dari Allah serta keredaanNya.  Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan (l-ghururi – delusion).” AQ 57:20

Ini menjelaskan bahawa kuasa-kuasa yang kita tidak nampak, iaitu seluruh kuasa-kuasa yang terhasil dari alam semulajadi seperti cas atau aliran elektrik yang turut diperlukan untuk merangsang otak manusia, secara mutlaknya adalah manifestasi dari kuasa Allah semata-mata.  Kerana itulah Allah menyatakan bahawa mereka yang memahami kuasa sains alam ini adalah sebenar-benarnya Ulama.   

Penulis percaya, yang memberitahu penulis ketika kecil bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan cerita Isra’ Mikraj, datangnya dari kuasa fikiran bawah sedar yang sentiasa bersama manusia untuk menjaga dan melindungi manusia.  Kuasa ini turut merangkumi ‘common-sense’ iaitu kesedaran semulajadi mengenai apa yang betul dan salah.  Selebihnya bergantung kepada sama ada manusia itu akan menuai kuasa tersebut dengan berfikir lebih mendalam, dan  mengambil langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan atau kejayaan dalam hidupnya. 

Inilah yang dikatakan Allah lebih dekat dengan kita berbanding urat leher kita sendiri.  Inilah yang dikatakan Allah sentiasa bersama dan memelihara hambaNya.  Allah memimpin kita melalui akal kita sendiri, dan kita hanya perlu percaya kepadaNya untuk membawa kita ke arah kebenaran hakiki.  Jika kita ragu-ragu, panduan juga telah disertakan, iaitu AlQuran.

"Thaa Siin, ini adalah ayat-ayat AlQuran, dan Buku yang menjelaskan, untuk menjadi petunjuk dan berita gembira untuk orang-orang yang beriman." AQ 27:1-2  

"untuk menjadi petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang berfikir." AQ 40:54

Mereka yang enggan berfikir dan enggan menggunakan akal tidak akan mendapat petunjuk, dan berkemungkinan besar akan hilang arah (kiblat) dalam hidup dan terjerumus dalam kesesatan, kegagalan, kesusahan, kemiskinan, kemunduran, kemusnahan dan kehancuran.  

"Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan barakah supaya mereka mempelajari ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang MEMPUNYAI AKAL mengambil pelajaran." AQ 38:29

Jelas bahawa kita perlu menggunakan akal dalam mentafsirkan AlQuran dan kita perlu menggunakan akal sendiri, bukannya bersandarkan kepada akal orang lain seperti ustaz-ustaz atau imam-imam.  




No comments:

Post a Comment