“Cukuplah Allah bagiku,tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.“ AQ 9:129


Thursday, 9 June 2016

9. Isra’ & Mikraj



Sebelum penulis meneruskan perjalanan, penulis perlu mencari bukti berkenaan peristiwa yang kononnya membawa kepada perintah bersolat, iaitu Isra’ Mikraj.   
 
Penulis dapati bahawa peristiwa ini diterjemahkan sepertimana yang kita faham sekarang dengan berdasarkan ayat berikut: 

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Almasjidil haram ke AlMasjidil Aqsa yang telah kami berkahi sekelilingya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” AQ 17:1

 Hmm..itu saja?

Ayat ini kemudiannya disusuli dengan ayat berkenaan Nabi Musa: 

“Dan Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi Bani Israil: ‘Janganlah kamu jadikan yang lain daripadaKu sebagai Tuhan.” AQ 17:2

Ya, jika mengikut terjemahan agamawan hari ini, ayat berikutnya pastinya tiada kena mengena langsung dengan ayat yang awal kerana ayat awal dikatakan sebagai menceritakan kisah Rasulullah, bukan Nabi Musa.  Ini tentulah pelik sekali kerana Allah memulakan ayat kedua dengan 'dan'. 

Maknanya peristiwa yang dikatakan sebagai Isra’ Mikraj tadi hanya dijelaskan dalam satu ayat sahaja.   
Maknanya juga tiada langsung di dalam AlQuran cerita-cerita mengenai tawar-menawar antara Rasulullah dengan Allah tentang jumlah masa bersolat, atau apa yang dilihat oleh baginda sepanjang perjalanan, dan semua kisah ini hanya boleh ditemui di dalam hadith-hadith.  

Menurut AlQuran, hanya Nabi Musa yang menerima petunjuk (tanda-tanda / signs) langsung dari Allah dalam proses persediaan baginda untuk berhadapan dengan Firaun (AQ 20:17-22,23, 38-40).  Berdasarkan hakikat ini, perkataan ‘wa’ (dan) di antara ayat 17:1 dan 17:2 menguatkan fahaman penulis bahawa kisah dalam kedua ayat tersebut adalah bersambungan dan kisahnya adalah mengenai Nabi Musa, bukan Rasulullah.  

Ini dikuatkan lagi dengan terjemahan perkataan ‘masjidil haram’ seperti yang dibincangkan dalam artikel 4, bukanlah bererti sebuah bangunan, tetapi merupakan landasan atau batas-batas larangan yang ditetapkan Allah. 
   
Baiklah, tetapi bagaimana pula dengan masjidil-aqsa?

Perkataan ‘aqsa’ diterjemahkan sebagai ‘sangat jauh’.  Walaubagaimanapun, jika kita kaji kesemua perkataan dari akar kata yang sama iaitu K-‘Ad-W yang muncul sebanyak 5 kali, maka kita akan dapati bahawa kesemuanya merujuk kepada ‘tempat yang jauh tetapi di dalam kawasan yang sama’.   

Contohnya, ayat AQ 28:20 perkataan ‘aqsa’ merujuk kepada kawasan hujung bandar, begitu juga dengan AQ 36:20.  Dalam AQ 8:42 perkataan ini diguna dalam bentuk perbandingan dengan merujuk kepada kawasan lebih jauh dalam bandar yang sama juga.  

(Nota:  Penulis sengaja tidak menyertakan ayat-ayat tersebut, agar pembaca dapat mencari sendiri.  Cara paling mudah untuk mencari dan mengkaji sendiri ialah di corpus.quran.com) 

Jelas di sini bahawa masjidil-aqsa bukan sebuah bangunan fizikal di Palestin.  Malah, jika mengikut Wikipedia bangunan di Palestine itu hanya dibina selepas 65 tahun peristiwa Hijrah.  

Oleh itu, rangkaikata dari Almasjidil haram ke AlMasjidil Aqsa” dalam ayat 17:1 bolehlah difahami sebagai garisan sempadan landasan atau batas-batas larangan Allah.  Rangkaikata seterusnya iaitu yang telah kami berkahi sekelilingnya” menguatkan tafsiran dan fahaman ini.  

Apa yang menarik, AlQuran juga menceritakan bagaimana orang-orang Arab jahiliah telah mendesak agar Rasulullah membuktikan kerasulan baginda dan antara cabaran mereka ialah agar baginda ‘naik ke langit’ seperti yang dikisahkan dalam cerita Isra’ Mikraj:  

“Dan mereka berkata: ‘Kami SEKALI-KALI TIDAK PERCAYA KEPADAMU HINGGA kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami, atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya, atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakana atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami.  Atau kamu mempunyai sebuah rumah dari emas, atau KAMU NAIK KE LANGIT.  Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu sehingga kamu turunkan atas kami sebuah kitab yang kami baca.” Katakanlah: ‘Maha suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi utusan” AQ 17:90-93

Dalam ayat ini, Rasulullah telah menyatakan dengan jelas bahawa baginda tidak pernah dan tidak boleh naik ke langit kerana baginda hanya seorang manusia biasa.

Justeru, siapa pula yang memandai-mandai mereka cerita sebaliknya berkenaan Rasulullah?  

Dari mana puncanya cerita Isra’ Mikraj kononnya Rasulullah naik ke langit, tawar menawar dengan Tuhan atau melihat syurga dan neraka?  

Ya, asal usul cerita ini jika dijejaki akan sampai kepada buku The Book of Arda Viraf (www.avesta.org/mp/viraf.html) iaitu sebuah kitab agama Zoroastrian.    Kisah-kisah siksaan neraka yang diceritakan di dalam hadith-hadith dan ustaz-ustaz juga semuanya terdapat di dalam buku ini secara terperinci dan serupa.    

Ini tidaklah mengejutkan kerana Zoroastrian adalah agama lama sebelum kedatangan Islam, namun penganutnya masih ada sehingga kini terutama di Iran.   Iran dahulunya dikenali sebagai Parsi dan Parsi merupakan tempat lahir atau tempat tinggal hampir semua penulis-penulis hadith.  

Penulis juga menemui begitu banyak persamaan antara ajaran hadith dan Zoroastrian antaranya ialah sembahyang lima waktu dan puasa.  Selain itu, Zoroastrian juga mempunyai kaabah (ka'ba-ye Zartosht). 



Cube of Zoroaster (Ka'ba-ye Zartosht)

Apakah para penulis hadith dan agamawan Islam sebenarnya beriman kepada kitab agama Zoroastrian???
 
Hanya mereka yang mampu menjawabnya.  

Kenapa kita mengikut mereka membuta tuli?  

Hanya kita yang mampu menjawabnya. 

AlQuran diturunkan untuk menghapuskan segala amalan dan kepercayaan yang membelenggu manusia sehingga membawa kepada kesesatan, kemunduran, kesusahan dan kemusnahan.   AlQuran juga diturunkan untuk membawa manusia kembali ke landasan yang ditetapkan Allah yang teratur dan damai.  Sebarang penyembahan atau apa-apa ritual keagamaan tidak ada di dalam AlQuran.  

Kenapa ia tidak ada? kerana Allah tidak pernah menyuruh kita berbuat semua itu.  

Intipati utama arahan Tuhan melalui AlQuran hanyalah berbuat baik dan komited dalam urusan dan tugas kita di dunia, itu sahaja.  Sesungguhnya, aturan hidup (deen) yang diberkati Allah itu mudah:

 Thoha. Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah; tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah), yaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.” AQ 20:1-4



No comments:

Post a Comment