Penulis telah menetapkan bahawa perjalanan ini perlu
berpandukan AlQuran semata-mata dan sepertimana yang ditulis di artikel 2,
penulis juga meragui hadith.
Namun, mengikut agamawan, untuk menjadi seorang Islam, kita
wajib patuh kepada AlQuran dan Hadith secara selari, serta menegakkan sunnah
Rasulullah. Walaupun penulis musykil
dengan agamawan tetapi untuk berlaku adil kepada mereka dan kepada diri
sendiri, penulis perlu memahami terlebih dahulu apa itu sunnah dan apa itu
hadith bagi memastikan penulis telah memilih jalan yang betul.
Sunnah
‘Sunnah Rasulullah’ diterangkan oleh agamawan sebagai cara
hidup Rasulullah iaitu cara berpakaian, cara makan, cara tidur, apa yang
dimakan dan sebagainya.
Walaubagaimanapun, apa yang penulis jumpa di dalam AlQuran
mengenai ‘sunnah’ adalah seperti berikut:
Perkataan ‘sunnah’ adalah terbentuk dari akar kata S-N-N dan
ianya disebut 21 kali di dalam AlQuran.
Dua kali sebagai kata nama ‘sinn, 16 kali sebagai kata nama ‘sunnat’ dan
tiga kali sebagai ‘masnun’. (Sila rujuk website corpus.quran untuk senarai dan perbandingan makna
perkataan di dalam AlQuran)
Sunnah membawa maksud ‘cara yang biasa’ atau ‘kebiasaan/ketetapan’. AlQuran banyak menyebut tentang Sunnah Allah
atau Sunnatullah yang mana telah dibincangkan dalam artikel 5 iaitu hukum Allah
yang merupakan ketetapan Allah atau hukum alam semulajadi.
Tiada satu pun perkataan dari akar kata S-N-N di dalam
AlQuran yang merujuk kepada ‘cara Rasulullah’ atau ‘ketetapan Rasulullah’.
Tidak ada satu pun perincian atau arahan di dalam AlQuran
yang menyuruh kita mengikut cara Rasulullah tidur, makan, berjalan dan
sebagainya. Kenapa?
Pastinya kerana ia adalah remeh dan tidak penting dan berkemungkinan
tidak relevan dengan zaman, keadaan atau budaya dan cuaca setempat seseorang
individu.
Tindakan meniru-niru cara hidup Rasulullah memaparkan
pemikiran sempit sipeniru di mana Tuhan atau agama Islam digambarkan
seolah-olah berkisar di dunia Arab dan di zaman Rasulullah semata-mata. Ini tentu sekali tidak menepati sifat AlQuran
yang universal serta konsep keTuhanan yang berkuasa ke atas seluruh alam semesta.
Sesungguhnya tiada keraguan lagi bahawa amalan sunnah yang
diterapkan oleh para agamawan sebenarnya tidak pernah dituntut oleh Allah.
Hadith
Arahan agamawan agar kita taat kepada hadith adalah
berdasarkan ayat-ayat berikut:
“Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya jika kamu adalah
orang-orang beriman.” AQ 8:1
“Katakanlah: ‘Ta’atilah Allah dan RasulNya; Jika kamu
berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir.” AQ 3:32
Baiklah, bagaimana kita perlu taat pada Rasulullah? Apakah dengan mengikut hadith?
Apakah Rasulullah yang menulis hadith? Semua umat Islam tahu jawapan ini, iaitu
TIDAK.
Apa kata AlQuran tentang hadith?
‘Hadith’ berasal dari akar kata H-D-Tha muncul sebanyak 36
kali di dalam AlQuran. Secara dasarnya,
akar kata ini membawa maksud ‘perkataan’, ‘kata-kata’, ‘pengucapan’, ‘laporan’,
‘penceritaan’ dan yang seangkatan dengannya.
Allah telah menyatakan bahawa hadith terbaik adalah AlQuran:
“Allah telah
menurunkan sebaik-baik perkataan (hadith) iaitu Kitab Suci Al-Quran yang
konsisten, yang berulang-ulang;……” AQ 39:23
Allah juga telah memberi amaran kepada mereka yang menulis
kitab sendiri dan menyatakan bahawa ia adalah dari Allah:
“Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang menulis
AlKitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya: ‘Ini adalah dari Allah’,
untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka kecelakaan besarlah bagi mereka, kerana
apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan besarlah bagi
mereka, kerana apa yang mereka kerjakan.” AQ 2:79
Bahagian manakah di dalam ayat ini yang kita tidak
faham? Bukankah penulis hadith lah yang menulis
dengan tangan sendiri dan menyatakan bahawa ia dari Allah? Kenapa kita perlu taat kepada mereka?
Amaran keras agar jangan sekali-kali beriman dengan perkataan
(hadith) yang lain dari AlQuran diulang lagi:
“Celakalah pada hari
itu orang-orang yang berdusta! Maka dengan perkataan (hadith) manakah sesudah
AlQuran mereka akan beriman?” AQ 77:49-50
Para gamawan sendiri mengakui bahawa hadith bukanlah ditulis
oleh Rasulullah tetapi oleh manusia yang hidup 150 – 200 tahun selepas
kewafatan Rasulullah. Semua umat Islam
tahu bahawa sumber penulisan mereka pula adalah dari penceritaan atau dengar
cakap yang kononnya bersusur galur sepanjang 150 – 200 tahun dari sahabat atau
orang-orang yang hidup di zaman Rasulullah.
Tulisan itu pula melalui beberapa suntingan oleh anak-anak murid para
penulis hadith tersebut.
Oleh itu, apa buktinya yang apa yang didengar itu
tepat? TIADA.
Sekali lagi, kita hanya meneka-neka, bersangka-sangka dan
mengikut-ikut arahan agamawan walaupun tiada bukti dan kepastian.
Satu-satunya yang pasti ialah, jika kita taat kepada hadith,
kita sebenarnya taat kepada penulis-penulis hadith, bukan kepada Rasulullah dan
kita juga terang-terangan menentang perintah Allah.
Oleh itu, bagaimana caranya untuk taat kepada Rasulullah dan
Allah sekali gus?
Menurut AlQuran, Rasulullah diutuskan untuk menjadi PENYAMPAI
ajaran AlQuran kepada manusia, tidak lebih dari itu:
“Samada Allah
perlihatkan kepadaku sebahagian yang Dia ancamkan kepada mereka atau Dia
wafatkan aku kerana sesungguhnya tugasku hanya menyampaikan saja, sedang
Tuhanlah yang menghisab amalan mereka” AQ 13:40
Rasulullah TIDAK DIBENARKAN menambah-nambah atau
menukar-nukar satu apa pun di dalam AlQuran:
“Ia adalah wahyu yang
diturunkan dari Tuhan semesta alam.
Seandainya dia (Muhammad) mengadakan sebahagian perkataan atas Kami,
nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya. Kemudian benar-benar kami potong urat tali
jantungnya.” AQ 69:43-46
Rasulullah HANYA mengikut apa yang diwahyukan yakni,
AlQuran:
“Katakanlah: ‘Aku
bukanlah Rasul yang pertama di antara Rasul-rasul dan aku tidak mengetahui apa
yang akan diperbuat terhadapku dan tidak terhadapmu. Aku tidak lain hanyalah mengikuti apa yang
diwahyukan kepadaku dan aku tidak lain hanyalah seorang pemberi peringatan
yang menjelaskan.”
AQ 46:9
Rasulullah hanyalah UTUSAN Allah.
“Yang Terpuji itu
tidak lain hanyalah seorang utusan, sungguh telah berlalu sebelumnya
beberapa orang utusan. Apakah jika dia
wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang?
Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan
mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada
orang-orang yang bersyukur” AQ 3:144
Jelas di sini bahawa Rasulullah tidak pernah mencipta
hukum-hukum tambahan sendiri. Baginda
juga tidak mereka-cipta ritual ibadah dan penyembahan. Baginda tidak menghalal dan mengharamkan
apa-apa yang tidak disebut di dalam AlQuran sepertimana yang dilakukan oleh
penulis hadith, kerana Rasulullah bukan pasangan atau sekutu kepada Tuhan yang
turut mempunyai hak untuk menghukum, mencipta hukuman atau ritual atas nama
Tuhan. Baginda hanyalah utusan.
Maka jika kita ingin taat kepada Rasulullah, kita hanya
perlu mengikut AlQuran dan AlQuran semata-mata.
Dengan ini, pegangan penulis terhadap AlQuran semakin kukuh
dan penulis semakin teruja untuk meneruskan perjalanan.
No comments:
Post a Comment