“Cukuplah Allah bagiku,tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.“ AQ 9:129


Monday, 6 June 2016

7. AlQuran Imamku


Kita diberitahu oleh para agamawan bahawa apabila kita mati, kita akan ditanya beberapa soalan oleh malaikat ketika di dalam kubur.  Antara soalannya ialah “Siapa imam kamu” dan kita diajar untuk  menjawab “AlQuran imamku”.   

Penulis ingin mengajak pembaca berlaku jujur kepada diri sendiri, apa benarkah begitu?  

Mana mungkin kita mengaku berimamkan AlQuran jika kita tidak pernah memahaminya?  

Penulis berikan contoh proses ‘membaca’ AlQuran atau mencari kebenaran Tuhan di kalangan majoriti umat Islam seperti di bawah: 

 
Berdasarkan gambar di atas, jika A ditanya soalan ‘siapa yang kamu ikut’?  Satu-satunya jawapan yang pasti bagi A ialah “saya mengikut B.” NOKTAH.  

Tiada ruang penjelasan tambahan seperti “tetapi saya yakin yang B menuju destinasi yang betul kerana B mengikut C yang arif tentang destinasi itu”.  

Samalah jika kita ditanya, ‘siapa imam kamu’?  Apakah layak kita menjawab ‘AlQuran imamku’ sedangkan kita selama ini hanya mengikut ustaz ini dan ustaz itu yang kemudian mengikut imam-imam dari mazhab ini dan mazhab itu?   Bukankah kita seharusnya menjawab ‘ustaz sekian-sekian inilah imamku?’

Allah memberikan kita akal bukan untuk meneka-neka, bersangka-sangka dan mengikut-ikut secara membuta tuli:

“Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan sahaja.  Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan” AQ 10:36

Setelah memikirkan semua ini, penulis semakin yakin kepada akal dan intelektualiti sendiri yang dianugerahkan khas oleh Allah kepada manusia untuk memandu penulis dalam perjalanan ke arah kebenaran hakiki yang mana ia haruslah bersandarkan 100% kepada AlQuran

Sekiranya kita mengikut konsep ajaran agamawan/ahli kitab Islam mengenai AlQuran, proses mencari kebenaran ini tentu sekali hampir mustahil bagi kebanyakan manusia.   Ini kerana, menurut agawaman atau ahli kitab ini, AlQuran itu amat sukar untuk difahami sendiri dan kita perlu bergantung kepada guru seperti mereka untuk mengajar serta memahamkan kita.  

Kononnya, ada beberapa tahap pembelajaran yang perlu dilalui dan beberapa kitab lain yang perlu dikaji sebelum kita mampu memahami, menterjemah atau mentafsir AlQuran.   Pendek kata, mereka menyuruh kita mengambil mereka sebagai pemimpin selain Allah, menyuruh kita berimamkan mereka dan patuh kepada semua arahan mereka.  

Nampak tak bagaimana mereka cuba menyesatkan kita?

Namun, di masa yang sama, mereka turut bersetuju bahawa AlQuran itu bersifat universal, diturunkan untuk sekalian manusia tanpa mengira bangsa dan agama, mahupun zaman dan sempadan.   Hmmm….jika hanya agamawan Islam sahaja yang mampu memahaminya, maka ia bukanlah sesuatu yang universal lagi, bukan begitu?  

Mengikut ajaran agamawan lagi, oleh kerana proses memahami AlQuran itu begitu sukar maka kita disuruh melagu-lagukan sahaja AlQuran kerana ia sudah cukup untuk mendapat pahala, kata mereka.  

Sedangkan Allah berfirman:

“Dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya dan bersyair itu tidaklah layak baginya.  AlQuran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan supaya dia memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup (hatinya) dan supaya pastilah (ketetapan azab) terhadap orang-orang kafir.” AQ 36:69-70

Secara ringkasnya Allah memberitahu bahawa AlQuran itu adalah buku akademik yang di dalamnya terdapat ilmu untuk peringatan dan panduan seluruh manusia, bukannya buku cerita dongeng atau himpunan syair untuk didendang.   Jika kita disuruh belajar, tentulah ia bermakna kita disuruh memikirkannya agar kita faham.  

Malangnya, ayat tersebut telah diabaikan oleh para agamawan.  Sebaliknya mereka mengajar kita agar berbuat sesuatu yang seratus peratus bertentangan iaitu mensyairkan atau menghafal sahaja AlQuran.  
Malah ada yang berkata, jika belajar AlQuran sendiri tanpa guru seperti mereka, kita boleh jadi gila.  Ini tidak menghairankan kerana ketika Rasulullah menyampaikan AlQuran, orang-orang Arab jahiliah juga menuduh baginda gila: 

“Nun, demi pena dan apa yang mereka tulis, berkat nikmat Tuhanmu kamu sekali-kali bukan orang gila.  Dan sesungguhnya bagi kamu benar-benar pahala yang besar dan tidak putus-putusnya.” AQ 68: 1-3

Alasan bahawa AlQuran itu terlalu sukar untuk difahami telah dijaja, diasak, ditanam, dipasak serta ditelan bulat-bulat sejak zaman berzaman lebih seribu tahun sehingga seluruh umat Islam mengabaikan mesej AlQuran hampir secara total, lalu tenggelam dalam kebodohan, kekeliruan, kesesatan, kemunduran, kehinaan dan kemusnahan yang tiada berkesudahan dalam usaha mereka mencari kebenaran Tuhan. 

Sedangkan, hakikatnya, jika kita membaca sendiri AlQuran kita akan menjumpai ayat-ayat ini yang mana Allah telah terlebih dahulu tahu akan tipu helah mereka lalu berpesan kepada seluruh manusia: 

“Maka alangkah dahsyatnya azabKu dan ancaman-ancamanKu, dan sesungguhnya telah kami MUDAHKAN AlQuran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran? AQ 54:16-17

“Dan sesungguhnya telah kami MUDAHKAN AlQuran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?” AQ 54:22

“Dan sesungguhnya telah kami MUDAHKAN AlQuran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?” AQ 54:32

“Dan sesungguhnya telah kami MUDAHKAN AlQuran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?” AQ 54:40

Allah mengulang-ulang bahawa AlQuran itu MUDAH dan bukanlah sukar untuk difahami seperti kata para agamawan.  Pesanan ini diulang-ulang pastinya kerana Allah tahu bahawa manusia itu amat suka membantah dan ingkar:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengulang-ulang kepada manusia dalam AlQuran ini tiap-tiap macam perumpamaan, tetapi kebanyakan manusia tidak menyukai kecuali mengingkarinya.” AQ 17:89

Namun, ahli-ahli kitab atau para agamawan telah juga mengenepikan ayat-ayat yang diulang-ulang tersebut bagaikan ia tidak pernah wujud langsung.  Mereka terus menerus berdusta menyatakan AlQuran itu sukar untuk difahami.  

“Bahkan yang didustakan mereka itu ialah AlQuran yang mulia.” AQ 85:21

Ya, mereka berdusta demi sedikit upah dari segi wang yang datang bersamanya ego dan juga kuasa.  
Kita semua sedia maklum bahawa hampir semua ahli-ahli agama menerima upah atas kerja-kerja mereka  sama ada dalam bentuk gaji bulanan atau bayaran-sekali-gus untuk menjalankan kerja-kerja keagamaan, seperti ceramah, tazkirah, mengutip zakat, upah haji, menjaga akidah orang dan lain-lain lagi yang kononnya dilakukan bagi pihak Allah.   Tidak cukup dengan itu, ada di antara mereka menjual pula ayat-ayat Allah dan menghasilkan produk-produk yang dikatakan sebagai dari sisi Allah atau Rasulullah.  

Bagi memastikan kita tidak terpedaya dengan mereka maka Allah menurunkan ayat-ayat ini melalui kisah-kisah para Nabi sebagai panduan:

“Ikutilah orang yang tiada meminta balasan kepadamu, dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.” AQ 36:21

“Jika kamu berpaling, aku tidak meminta upah sedikitpun padamu.  Upahku tidak lain hanyalah dari Allah belaka, dan aku disuruh supaya termasuk golongan orang-orang yang berserah diri.” AQ 10:72

“Dan kepada kaum ‘Ad saudara mereka, Hud.  Ia berkata: ‘Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia.  Kamu hanyalah mengada-adakan sahaja.  Hai kaumku, aku tidak meminta upah kepadamu bagi seruanku ini.  Upahku tidak lain hanyalah dari Allah yang telah menciptakanku.  Maka tidakkah kamu memikirkannya.” AQ 11:50-51

“Dan kamu sekali-kali tidak meminta upah kepada mereka, itu tidak lain hanyalah pengajaran bagi semesta alam.” AQ 12:104

“Mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk oleh Allah, maka ikutilah petunjuk mereka.  Katakanlah ‘aku tidak meminta upah kepadamu dalam menyampaikan (AlQuran).  AlQuran itu tidak lain hanyalah peringatan untuk seluruh umat.” AQ 6:90

Berdasarkan kisah-kisah Nabi dalam ayat-ayat di atas, kita faham bahawa golongan yang menjadikan agama sebagai institusi yang mampu mencipta sumber pendapatan sudah wujud sejak manusia mula-mula mengenal peraturan lagi.   Kerana itu, Allah telah berpesan jika kita mencari jalan yang benar, maka janganlah mengikut mereka yang meminta atau menerima upah kerana kebenaran Allah tidak perlu kepada apa-apa upah.   

"Wahai orang-orang yang percaya, kebanyakan 'alhabr' (ulama agama) dan rahib, sesungguhnya mereka makan harta manusia dengan cara palsu dan menghalangi jalan Allah.  Orang-orang yang menyimpan emas dan perak, dan tidak nafkahkannya di jalan Allah, maka berilah mereka berita gembira dengan azab yang siksa." AQ 9:34
Ingatlah bahawa Allah tidak pernah melantik sebarang wakil atau perantara kerana setiap manusia itu adalah lebih dekat dengan Allah daripada urat lehernya sendiri:  

“Sesungguhnya Kami cipta manusia; dan kami tahu apa yang dijiwanya membisikkan kepadanya, dan kami lebih dekat dengannya daripada pembuluh-pembuluh leher.” AQ 50:16

Apabila Allah menyatakan bahawa Dia begitu dekat dengan kita yakni berhubungan secara langsung, maka percayalah padaNya:  

 “Dan apabila hamba-hambaKu tanya kamu mengenai Aku, Aku lebih dekat untuk sahut seruan orang yang menyeru apabila dia seru kepadaKu; maka hendaklah mereka sahut Aku, dan hendaklah mereka PERCAYAI Aku supaya mereka menjadi benar.” AQ 2:186

Kesimpulan di sini ialah tidak wujud sistem kepaderian iaitu ‘wakil atau perantara kepada Tuhan’ dalam Islam, sepertimana Kristian.  

Namun hari ini, jika kita lihat paderi Kristian hanya mampu mengampun dosa orang bagi pihak Tuhan, agamawan Islam pula lebih hebat lagi kerana mereka mampu menghukum dosa orang bagi pihak Tuhan!   

Manusia yang benar-benar rukuk (merendah diri) terhadap Tuhannya pasti akur bahawa sebagai makhluk, kita hanya layak menghukum dengan hukum dunia yakni ke atas jenayah yang merosakkan tetapi kita tidak berhak menghukum atas dosa peribadi terhadap Tuhan kerana itu adalah antara individu itu dengan Pencipta semata-mata yang mana kita tidak tahu apa-apa.  

Manusia juga tidak berhak menghalang-halang pemikiran dan pendapat sesiapa mengenai Pencipta kerana tindakan itu jelas menafikan peranan akal yang merupakan anugerah tertinggi dari Allah. 

Sudah jelas di fikiran penulis kini bahawa kita wajib menolak pemimpin lain selain Allah dan berpegang teguh kepada AlQuran semata-mata jika ingin mencari kebenaran.  Penulis faham bahawa satu-satunya perantara dalam mencari kebenaran Tuhan ialah AlQuran:  

“Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.  Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantara pena.” AQ 96:1-4

Allah mengingatkan manusia bahawa Dia mengajar manusia secara langsung melalui AlQuran.  Dan Allah lah yang akan menjelaskan dan mengumpulkan mesej AlQuran di dada manusia yang membacanya dan apa yang kita faham mengenai AlQuran adalah kerana izinNya setelah kita melalui proses berfikir.  

 “Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk AlQuran kerana hendak cepat-cepat menguasainya.  Sesungguhnya atas tanggungan Kami lah mengumpulkannya dan (membuatmu pandai membaca.  Apabila Kami selesai membacakannya maka ikutilah bacaannya itu.  Kemudian sesungguhnya atas tanggungan Kami lah penjelasannya.” AQ 75:16-19

Dalam kata lain, tiada sebarang kerjaya atau jawatan yang harus dicipta atas nama agama kerana tiada siapa pun yang dilantik menjadi perantara antara manusia lain dengan Tuhan.  Tiada ustaz, ustazah, ulama, imam, penguasa agama, pendakwah dan sebagainya.  Jawatan-jawatan ini semua tidak lain tidak bukan hanyalah diciplak dari agama-agama terdahulu dan tidak punya apa-apa erti selain memperlihatkan kebongkakan manusia yang bertindak kononnya bagi pihak Tuhan.  



No comments:

Post a Comment