“Cukuplah Allah bagiku,tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.“ AQ 9:129


Wednesday, 29 June 2016

11. AlQuran menghapuskan fahaman agama




Bukanlah satu kebetulan apabila agama terawal iaitu Hindu bermula di India.   Hakikat ini tentunya berkait rapat dengan sejarah Nabi Adam yang dikatakan bermula di Sri Lanka dan berhampiran India.  Namun, agama Hindu tidak bermula pada zaman Nabi Adam, tetapi beratus atau beribu tahun selepas kewafatannya.   

Nabi Adam tidak membawa agama kepada manusia, tetapi baginda membawa peraturan hidup atau sistem.  Ada yang berkata Nabi Adam diturunkan pada penghujung zaman Neolithik di mana manusia mula belajar bertani dan menternak, dan hidup sehinggalah ke awal zaman Gangsa. 

Sebelum Nabi Adam dicipta, manusia tidak mempunyai panduan tentang apakah yang baik dan buruk selain memikirkan ‘survival’ masing-masing untuk hidup sahaja.  Ini mendorong mereka menjadi ganas dan suka berbunuhan.  Kerana sifat manusia itulah maka malaikat mempersoal Tuhan untuk apa dilantik seorang khalifah di kalangan manusia:  

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat : "Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Mereka berkata : "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau ?" Tuhan berfirman : "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." AQ 2:30

Menurut cerita ahli-ahli agama, Nabi Adam adalah manusia pertama dicipta.  Namun begitu, ayat di atas membuktikan bahawa manusia telah wujud sebelum Nabi Adam.   Ini kerana, malaikat tidak mungkin tahu akan sifat manusia yang suka membuat kerosakan dan menumpahkan darah jika manusia itu sendiri belum wujud.   Sedangkan, malaikat tidak tahu apa-apa, apatah lagi mengenai masa depan.  Buktinya ialah ayat ini:

"Mereka (malaikat) menjawab : "Maha suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." AQ 2:32

Tentu sekali malaikat tidak akan meragui penciptaan Adam jika malaikat belum melihat sendiri bagaimana sifat manusia di bumi.  

Bukti lain bahawa Nabi Adam bukanlah manusia pertama turut diperkuatkan dengan penemuan penemuan arkeologi yang menunjukkan manusia telah wujud sejak 2.8 juta tahun dahulu:  http://www.bbc.com/news/science-environment-31718336 - First Human Discovered in Ethiopia.  

Kita sedia maklum bahawa ahli-ahli agama Islam cenderung untuk menjadi marah apabila bukti-bukti ini dikemukakan kepada mereka.  Bagi mempertahankan kepercayaan mereka, mereka gemar menuduh semua ini adalah konspirasi musuh Islam untuk mengelirukan orang Islam mengenai AlQuran.  Hakikatnya tiada siapa yang akan keliru jika bukan merekalah yang mengelirukan kita.  

Lagipun, kisah Nabi Adam merupakan manusia pertama dicipta turut dipegang oleh penganut Kristian dan Judaism.  Justeru, siapakah musuh Islam yang ahli-ahli agama Islam maksudkan itu?  Atau apakah ahli-ahli agama Islam sekali lagi ingin berhujah bahawa inilah bukti bahawa kitab-kitab kedua-dua agama tersebut benar?  Atau apakah ia bermakna ahli-ahli agama Islam sekali lagi menciplak fahaman dan cerita-cerita dari kitab-kitab yang telah diseleweng untuk disogokkan kepada kita?  

Penulis ingin mengingatkan bahawa AlQuran itu adalah pembeza antara yang benar dan yang salah.  Apa yang ada di dalam kitab-kitab lain sebelum ini adalah benar, tetapi sekiranya ia TIADA di dalam AlQuran maka ia bukanlah dari Allah dan ianya pastinya TIDAK BENAR.  Jelas di sini bahawa Nabi Adam bukanlah manusia pertama dan AlQuran juga tidak pernah menyatakannya.  Apa yang dinyatakan hanyalah Nabi Adam sebagai UTUSAN PERTAMA untuk membawa peraturan hidup yang diredhai Allah di dunia.  

Memandangkan Nabi Adam dikatakan diturunkan di Sri Lanka, berhampiran India, maka tidak hairanlah apabila antara tamadun awal yang begitu canggih telah ditemui di kawasan berhampiran iaitu di Lembah Indus.  http://www.ushistory.org/civ/8a.asp



Apa yang menjadikan para pengkaji sejarah merasakan penemuan tamadun Lembah Indus begitu menarik berbanding tamadun lain dalam zaman yang sama ialah kerana, tidak seperti tamadun lain, tiada senjata ditemui di lembah ini, tiada bukti wujudnya tentera, tiada peperangan, tiada sebarang tempat penyembahan agama dan tiada bukti wujudnya golongan kaya berlebihan atau raja-raja yang ditanam dengan harta kekayaan mereka.  

Para pengkaji turut mendapati manusia yang hidup di sini di zaman itu cukup mementingkan kebersihan di mana terdapat sistem saliran dan kumbahan yang canggih yang melalui setiap rumah-rumah, jalan yang lebar dan juga sistem penebatan dan penapisan banjir.  

Ternyata tamadun lembah Indus telah mencapai ketamadunan yang tertinggi bukan sahaja dari segi politik dan senibina, tetapi juga dari segi minda.  

Di penghujung kegemilangan tamadun ini, turut dijumpai ialah sebahagian tulisan dari kitab Rig Veda yang kemudiannya dijadikan asas penciptaan agama Hindu.  

Bagi penulis, ini boleh jadi bukti bahawa peraturan hidup yang dibawa oleh Nabi Adam telah diamalkan sebaiknya oleh penduduk Lembah Indus dan seperti juga semua utusan lain, Nabi Adam atau mungkin pengikutnya menuliskan peraturan ini yang dipanggil Kitab Vedas.  Penulis menyimpulkan sedemikian kerana di dalam Kitab Vedas turut terkandung ‘akuan’ mengenai Tuhan yang Satu dan komitmen manusia untuk mengabdikan diri hanya kepadaNya.  


Walaubagaimanapun, setelah Nabi Adam wafat, manusia mula menyeleweng dan menokok tambah ajaran baginda sehingga terciptalah agama Hindu yang dikatakan sebagai diasaskan dari kitab tersebut. 

Dari agama Hindu tercipta pula agama Buddha, Zoroastrian, Arabian Star Family dan lain-lain yang mana  semuanya tercipta selepas kewafatan seseorang utusan Tuhan.   Nampaknya manusia enggan beriman kepada yang ghaib dan sentiasa punya keinginan untuk  mengadakan ‘jelmaan Tuhan’, ‘wakil Tuhan’ atau ‘rumah Tuhan’ untuk dilihat, disentuh, disembah dan dipuja.   

Dari mana keinginan ini datang?  Tentulah dari syaitan, yang telah berjanji untuk menyesatkan manusia apabila Nabi Adam dicipta.  

Inilah yang AlQuran maksudkan dengan ‘kembali ke belakang’ selepas setiap utusan:

“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sesungguhnya telah berlalu sebelumnya BEBERAPA ORANG RASUL. APAKAH JIKA DIA WAFAT ATAU DIBUNUH KAMU BERBALIK KE BELAKANG. Maka sesiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur”. AQ 3:144

Apabila seorang Rasul atau Nabi menyatakan jangan menyekutukan Tuhan dengan suatu apa pun, dan hiduplah mengikut peraturan yang damai, setiap kali juga manusia membantah lalu mencipta agama hanya kerana ingin melakukan ritual penyembahan.  Jika umat Nabi-nabi terdahulu menyeleweng dan mengarang semula kitab-kitab tinggalan Nabi mereka, Umat Islam pula tidak mampu berbuat demikian kerana Allah telah memastikan yang AlQuran terpelihara.  Oleh kerana itu, umat Islam telah mencipta hadith sebagai tambahan atau pasangan kepada AlQuran dalam ‘usaha’ untuk kembali ke belakang.  

Nampaknya syaitan tidak memungkiri janjinya dengan Tuhan. 

Saturday, 25 June 2016

10. Kembali ke Pangkal Jalan


Perjalanan melalui AlQuran semata-mata sememangnya indah, namun ada cabarannya.  Cabaran datang dalam bentuk penentangan di kalangan Islamis yang gemar memaksa fahaman mereka ke atas semua manusia lain.  Oleh itu, menceritakan pengalaman ini kepada orang sekeliling merupakan satu risiko yang besar.


Namun, benarlah bahawa AlQuran itu tidak mengalpakan satu apa pun dan Allah telah terlebih dahulu mengingatkan kita tentang mereka ini: 

“Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, engkau akan dapat melihat pada muka orang-orang yang tidak percaya itu tanda marah, hampir-hampir mereka hendak menyerang mereka orang yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka.  Katakanlah ‘jika demikian, mahukah aku khabarkan kepda kamu yang lebih buruk lagi daripada apa yang telah menyebabkan kemarahan kamu itu’  Ialah neraka yang telah dijanjikan oleh Allah kepada orang-orang yang tidak percaya, dan itulah seburuk-buruk tempat untuk dituju.” AQ 22:72)

Penulis dapati bahawa ayat ini benar-benar terbukti iaitu apabila dibawa ayat-ayat AlQuran, kebanyakan orang kita menjadi marah, lebih-lebih lagi apabila ia secara langsung memberi amaran tentang hadith yang menjadi pegangan mereka, dan juga berkenaan bahaya mengikut ahli-ahli agama.   Benarlah peringatan Allah bahawa mereka hampir-hampir menyerang, mengugut untuk menangkap, malah menyebarkan amaran pada orang lain agar memusuhi dan menjauhi fahaman kita yang berlandaskan AlQuran semata-mata. 

Bukankah ini pelik?  Bagaimana seorang yang mengaku Muslim menjadi marah apabila seorang Muslim lain ingin berpegang kepada AlQuran semata-mata?  Bukannya penulis ingin berpegang kepada Bible, atau kitab agama lain, tetapi AlQuran! yang dilaungkan sebagai ‘imam’ kepada umat Islam!  Kenapa ini menjadi masalah kepada mereka?  Apa yang berlaku?

Mereka sebenarnya takut untuk mengakui hakikat bahawa segala ritual agama tidak ada dalam AlQuran dan enggan percaya bahawa Allah tidak pernah menyuruh kita melakukan semua itu.  Sungguh mereka sebenarnya tidak percaya kepada AlQuran dan merasakan bahawa Allah telah ‘terlupa’ menceritakan dengan terperinci bagaimana untuk menyembahNya.  Mereka percaya bahawa penulis hadith lebih tahu lagi tentang apa yang Allah ingin kita lakukan.  Tidak terlintas di fikiran mereka bahawa, jika ia tidak ada di dalam AlQuran maka semestinya kerana Allah tidak pernah menyuruhnya.  

Penulis dapati kebanyakan orang Islam enggan percaya bahawa AlQuran membawa ‘deen’ iaitu jalan hidup, dan bukannya agama yang terdapat segala ritual penyembahan dan korban.  Malah orang islam sangat-sangat degil ingin menjadikan deen dan agama itu sebagai satu jalan yang sama.   

Bagi membuktikan fahaman penulis tepat, penulis perlu terlebih dahulu mencari dari mana asalnya ‘agama Islam’ yang dikatakan dari AlQuran ini.    Penulis perlu kembali ke pangkal jalan yang dilalui oleh nenek moyang manusia zaman dahulu bagi memastikan perjalanan penulis seterusnya tidak tersesat lagi. 

Memandangkan ritual solat dikatakan tercetus dari peristiwa Isra’ Mikraj dan peristiwa itu pula telah dibuktikan sebagai berasal dari kitab agama Zoroastrian, maka mungkinkah kunci kelahiran ‘agama Islam’ ini tertimbus dalam sejarah agama Zoroastrian?  

Agama Zoroastrian wujud sejak zaman sebelum Nabi Ibrahim lagi.   Agama Zoroastrian dikatakan dibawa oleh Nabi Zoroaster dan mula bertapak di Iran.  Ia lahir dari pengaruh agama Hindu iaitu agama terawal dalam dunia bertamadun.  Ahli agama Zoroastrian dipanggil ‘athaurvan’, manakala di India pula, pada ketika itu digelar ‘atharvan’.   Seperti yang ditulis di dalam artikel sebelum ini, kitab utama Zoroastrian ialah Avesta yang mana ajarannya hampir 100% menyerupai agama Islam termasuk puasa, sembahyang lima waktu (di waktu yang sama), kepercayaan kepada syurga neraka, hari kiamat, upacara korban binatang dan lain-lain. 

Agama Zoroaster amat mementingkan kedudukan ahli agama yang dianggap yang tertinggi.  Malah, agama ini juga mengutip wang atas nama cukai agama.  Dalam Islam, kutipan wang ini dikenali sebagai zakat manakala mengikut AlQuran ia sebenarnya ialah ‘zakaa’ yang bermakna memurnikan, dan tiada kena mengena dengan wang.  

Ironi sekali di dalam sejarah agama Zoroastrian, Tuhan telah memerintahkan Cyrus, Raja Parsi pada ketika itu untuk membina ‘rumah Tuhan’ di Jerusalem:  (Bukankah kisah ‘membina rumah Tuhan’ ini juga cuba disesuaikan dengan penerangan AlQuran mengenai pembangunan landasan sistem Allah oleh Nabi Ibrahim?)

(Now in the first year of Cyrus king of Persia, that the word of the Lord by the mouth of Jeremiah might be fulfilled, the Lord stirred up the spirit of Cyrus king of Persia, that he made a proclamation throughout all his kingdom, and put it also in writing, saying, Thus saith Cyrus king of Persia, The Lord God of heaven hath given me all the kingdoms of the earth; and he hath charged me to build him an house at Jerusalem, which is in Judah. Who is there among you of all his people? his God be with him, and let him go up to Jerusalem, which is in Judah, and build the house of the Lord God of Israel, he is the God which is in Jerusalem. --- Ezra 1:1-3)

Agama Yahudi (Judaism) dan Kristian turut lahir dari pengaruh Zoroastrian dan ini diakui sendiri oleh ramai pengkaji agama (http://www.askwhy.co.uk/judaism/0200PersiaJudaism.php).  Persamaan paling jelas antara semua agama ini ialah tudung kepala wanita, cara solat, dan termasuklah cara berwuduk. 

Seperti yang kita tahu kedua agama Judaism dan Kristian lahir selepas kewafatan Nabi di zaman mereka.  

Mungkinkah ini bermakna, selepas wafatnya Rasulullah, penulis-penulis hadith pula mencedok hampir keseluruhan kepercayaan Zoroastrian serta sebahagian ajaran agama Yahudi dan Kristian, lalu menjenamakan semula agama ini sebagai Islam.  

Beberapa ahli agama berhujah bahawa persamaan antara semua agama ini menunjukkan bahawa agama Islam itu dan segala ritualnya adalah benar kerana susur galurnya jelas dari Nabi-nabi terdahulu. 
Tetapi kemudian mereka juga berhujah bahawa AlQuran telah membatalkan semua agama yang lain kerana kitab-kitab agama itu  telah diseleweng.  

Jadi, apa sebenarnya?  Ajaran dan ritual agama-agama tersebut benar atau diseleweng?  Atau sebahagian benar dan sebahagian diseleweng?  Bagaimana kita menentukan yang benar dari yang diseleweng?  Apakah dengan meneka-neka dan memilih-milih sesuka hati kita?

Ayuh kita lihat apa kata AlQuran: 

“Ia menurunkan AlKitab (AlQuran) kepadamu dengan sebenarnya; membenarkan kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil..” AQ 3:3

Ayat ini kemudian disambung dengan: 

“sebelum (AlQuran), menjadi petunjuk bagi umat manusia.  Dan Dia menurunkan AlFurqaan (AlQuran).  Sesungguhya orang-orang yang kafir terhadap ayat Allah akan memperoleh siksa yang berat.  Dan Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai balasan.” AQ 3:4

Dalam surah 25 yang diberi nama AlFurqaan, kita mendapati bahawa AlFurqaan itu dirujuk kepada AlQuran sendiri yang mana membawa erti ‘pembeza antara yang benar dan yang salah’.  

Oleh itu, ayat 3:3-4 di atas membawa maksud bahawa Kitab-kitab terdahulu itu sememangnya benar, tetapi kemudiannya AlQuran diturunkan pula bagi mengesahkan apa yang benar.  

Jelas di sini bahawa Allah TIDAK menyuruh kita memilih-milih mengikut pendapat sendiri mana yang benar dan mana yang tidak dari ajaran Injil atau Taurat atau kitab-kitab lain sebelumnya untuk digunapakai semula.  

Malahan Allah telah memberikan satu kitab khas iaitu AlQuran yang terkandung di dalamnya apa yang benar sahaja bagi membezakan penyelewengan kitab-kitab terdahulu.  

Secara ringkasnya, Allah menyatakan bahawa semua di dalam AlQuran itu benar, dan apa yang ada di dalam Taurat atau Injil atau kitab-kitab lain TETAPI TIADA di dalam AlQuran adalah TIDAK BENAR dan bukan dari Allah. 

Justeru, kenapa ahli-ahli kitab memilih untuk membenarkan sebahagian ajaran Injil atau Taurat dan juga Avesta seperti tudung kepala wanita, solat, korban, haji, isra' mikraj dan sebagainya sedangkan ini semua tiada di dalam AlQuran?  

Thursday, 9 June 2016

9. Isra’ & Mikraj



Sebelum penulis meneruskan perjalanan, penulis perlu mencari bukti berkenaan peristiwa yang kononnya membawa kepada perintah bersolat, iaitu Isra’ Mikraj.   
 
Penulis dapati bahawa peristiwa ini diterjemahkan sepertimana yang kita faham sekarang dengan berdasarkan ayat berikut: 

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Almasjidil haram ke AlMasjidil Aqsa yang telah kami berkahi sekelilingya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” AQ 17:1

 Hmm..itu saja?

Ayat ini kemudiannya disusuli dengan ayat berkenaan Nabi Musa: 

“Dan Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi Bani Israil: ‘Janganlah kamu jadikan yang lain daripadaKu sebagai Tuhan.” AQ 17:2

Ya, jika mengikut terjemahan agamawan hari ini, ayat berikutnya pastinya tiada kena mengena langsung dengan ayat yang awal kerana ayat awal dikatakan sebagai menceritakan kisah Rasulullah, bukan Nabi Musa.  Ini tentulah pelik sekali kerana Allah memulakan ayat kedua dengan 'dan'. 

Maknanya peristiwa yang dikatakan sebagai Isra’ Mikraj tadi hanya dijelaskan dalam satu ayat sahaja.   
Maknanya juga tiada langsung di dalam AlQuran cerita-cerita mengenai tawar-menawar antara Rasulullah dengan Allah tentang jumlah masa bersolat, atau apa yang dilihat oleh baginda sepanjang perjalanan, dan semua kisah ini hanya boleh ditemui di dalam hadith-hadith.  

Menurut AlQuran, hanya Nabi Musa yang menerima petunjuk (tanda-tanda / signs) langsung dari Allah dalam proses persediaan baginda untuk berhadapan dengan Firaun (AQ 20:17-22,23, 38-40).  Berdasarkan hakikat ini, perkataan ‘wa’ (dan) di antara ayat 17:1 dan 17:2 menguatkan fahaman penulis bahawa kisah dalam kedua ayat tersebut adalah bersambungan dan kisahnya adalah mengenai Nabi Musa, bukan Rasulullah.  

Ini dikuatkan lagi dengan terjemahan perkataan ‘masjidil haram’ seperti yang dibincangkan dalam artikel 4, bukanlah bererti sebuah bangunan, tetapi merupakan landasan atau batas-batas larangan yang ditetapkan Allah. 
   
Baiklah, tetapi bagaimana pula dengan masjidil-aqsa?

Perkataan ‘aqsa’ diterjemahkan sebagai ‘sangat jauh’.  Walaubagaimanapun, jika kita kaji kesemua perkataan dari akar kata yang sama iaitu K-‘Ad-W yang muncul sebanyak 5 kali, maka kita akan dapati bahawa kesemuanya merujuk kepada ‘tempat yang jauh tetapi di dalam kawasan yang sama’.   

Contohnya, ayat AQ 28:20 perkataan ‘aqsa’ merujuk kepada kawasan hujung bandar, begitu juga dengan AQ 36:20.  Dalam AQ 8:42 perkataan ini diguna dalam bentuk perbandingan dengan merujuk kepada kawasan lebih jauh dalam bandar yang sama juga.  

(Nota:  Penulis sengaja tidak menyertakan ayat-ayat tersebut, agar pembaca dapat mencari sendiri.  Cara paling mudah untuk mencari dan mengkaji sendiri ialah di corpus.quran.com) 

Jelas di sini bahawa masjidil-aqsa bukan sebuah bangunan fizikal di Palestin.  Malah, jika mengikut Wikipedia bangunan di Palestine itu hanya dibina selepas 65 tahun peristiwa Hijrah.  

Oleh itu, rangkaikata dari Almasjidil haram ke AlMasjidil Aqsa” dalam ayat 17:1 bolehlah difahami sebagai garisan sempadan landasan atau batas-batas larangan Allah.  Rangkaikata seterusnya iaitu yang telah kami berkahi sekelilingnya” menguatkan tafsiran dan fahaman ini.  

Apa yang menarik, AlQuran juga menceritakan bagaimana orang-orang Arab jahiliah telah mendesak agar Rasulullah membuktikan kerasulan baginda dan antara cabaran mereka ialah agar baginda ‘naik ke langit’ seperti yang dikisahkan dalam cerita Isra’ Mikraj:  

“Dan mereka berkata: ‘Kami SEKALI-KALI TIDAK PERCAYA KEPADAMU HINGGA kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami, atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya, atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakana atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami.  Atau kamu mempunyai sebuah rumah dari emas, atau KAMU NAIK KE LANGIT.  Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu sehingga kamu turunkan atas kami sebuah kitab yang kami baca.” Katakanlah: ‘Maha suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi utusan” AQ 17:90-93

Dalam ayat ini, Rasulullah telah menyatakan dengan jelas bahawa baginda tidak pernah dan tidak boleh naik ke langit kerana baginda hanya seorang manusia biasa.

Justeru, siapa pula yang memandai-mandai mereka cerita sebaliknya berkenaan Rasulullah?  

Dari mana puncanya cerita Isra’ Mikraj kononnya Rasulullah naik ke langit, tawar menawar dengan Tuhan atau melihat syurga dan neraka?  

Ya, asal usul cerita ini jika dijejaki akan sampai kepada buku The Book of Arda Viraf (www.avesta.org/mp/viraf.html) iaitu sebuah kitab agama Zoroastrian.    Kisah-kisah siksaan neraka yang diceritakan di dalam hadith-hadith dan ustaz-ustaz juga semuanya terdapat di dalam buku ini secara terperinci dan serupa.    

Ini tidaklah mengejutkan kerana Zoroastrian adalah agama lama sebelum kedatangan Islam, namun penganutnya masih ada sehingga kini terutama di Iran.   Iran dahulunya dikenali sebagai Parsi dan Parsi merupakan tempat lahir atau tempat tinggal hampir semua penulis-penulis hadith.  

Penulis juga menemui begitu banyak persamaan antara ajaran hadith dan Zoroastrian antaranya ialah sembahyang lima waktu dan puasa.  Selain itu, Zoroastrian juga mempunyai kaabah (ka'ba-ye Zartosht). 



Cube of Zoroaster (Ka'ba-ye Zartosht)

Apakah para penulis hadith dan agamawan Islam sebenarnya beriman kepada kitab agama Zoroastrian???
 
Hanya mereka yang mampu menjawabnya.  

Kenapa kita mengikut mereka membuta tuli?  

Hanya kita yang mampu menjawabnya. 

AlQuran diturunkan untuk menghapuskan segala amalan dan kepercayaan yang membelenggu manusia sehingga membawa kepada kesesatan, kemunduran, kesusahan dan kemusnahan.   AlQuran juga diturunkan untuk membawa manusia kembali ke landasan yang ditetapkan Allah yang teratur dan damai.  Sebarang penyembahan atau apa-apa ritual keagamaan tidak ada di dalam AlQuran.  

Kenapa ia tidak ada? kerana Allah tidak pernah menyuruh kita berbuat semua itu.  

Intipati utama arahan Tuhan melalui AlQuran hanyalah berbuat baik dan komited dalam urusan dan tugas kita di dunia, itu sahaja.  Sesungguhnya, aturan hidup (deen) yang diberkati Allah itu mudah:

 Thoha. Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah; tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah), yaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.” AQ 20:1-4



Wednesday, 8 June 2016

8. Hadith dan Sunnah



Penulis telah menetapkan bahawa perjalanan ini perlu berpandukan AlQuran semata-mata dan sepertimana yang ditulis di artikel 2, penulis juga meragui hadith.   

Namun, mengikut agamawan, untuk menjadi seorang Islam, kita wajib patuh kepada AlQuran dan Hadith secara selari, serta menegakkan sunnah Rasulullah.  Walaupun penulis musykil dengan agamawan tetapi untuk berlaku adil kepada mereka dan kepada diri sendiri, penulis perlu memahami terlebih dahulu apa itu sunnah dan apa itu hadith bagi memastikan penulis telah memilih jalan yang betul.  

Sunnah

‘Sunnah Rasulullah’ diterangkan oleh agamawan sebagai cara hidup Rasulullah iaitu cara berpakaian, cara makan, cara tidur, apa yang dimakan dan sebagainya.     

Walaubagaimanapun, apa yang penulis jumpa di dalam AlQuran mengenai ‘sunnah’ adalah seperti berikut:
Perkataan ‘sunnah’ adalah terbentuk dari akar kata S-N-N dan ianya disebut 21 kali di dalam AlQuran.  Dua kali sebagai kata nama ‘sinn, 16 kali sebagai kata nama ‘sunnat’ dan tiga kali sebagai ‘masnun’.  (Sila rujuk website corpus.quran untuk senarai dan perbandingan makna perkataan di dalam AlQuran)

Sunnah membawa maksud ‘cara yang biasa’ atau ‘kebiasaan/ketetapan’.   AlQuran banyak menyebut tentang Sunnah Allah atau Sunnatullah yang mana telah dibincangkan dalam artikel 5 iaitu hukum Allah yang merupakan ketetapan Allah atau hukum alam semulajadi.  

Tiada satu pun perkataan dari akar kata S-N-N di dalam AlQuran yang merujuk kepada ‘cara Rasulullah’ atau ‘ketetapan Rasulullah’.  

Tidak ada satu pun perincian atau arahan di dalam AlQuran yang menyuruh kita mengikut cara Rasulullah tidur, makan, berjalan dan sebagainya.  Kenapa?

Pastinya kerana ia adalah remeh dan tidak penting dan berkemungkinan tidak relevan dengan zaman, keadaan atau budaya dan cuaca setempat seseorang individu.  

Tindakan meniru-niru cara hidup Rasulullah memaparkan pemikiran sempit sipeniru di mana Tuhan atau agama Islam digambarkan seolah-olah berkisar di dunia Arab dan di zaman Rasulullah semata-mata.  Ini tentu sekali tidak menepati sifat AlQuran yang universal serta konsep keTuhanan yang berkuasa ke atas seluruh alam semesta.  

Sesungguhnya tiada keraguan lagi bahawa amalan sunnah yang diterapkan oleh para agamawan sebenarnya tidak pernah dituntut oleh Allah.  

Hadith

Arahan agamawan agar kita taat kepada hadith adalah berdasarkan ayat-ayat berikut: 

“Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya jika kamu adalah orang-orang beriman.” AQ 8:1

“Katakanlah: ‘Ta’atilah Allah dan RasulNya; Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir.” AQ 3:32

Baiklah, bagaimana kita perlu taat pada Rasulullah?  Apakah dengan mengikut hadith?  

Apakah Rasulullah yang menulis hadith?  Semua umat Islam tahu jawapan ini, iaitu TIDAK.  

Apa kata AlQuran tentang hadith? 

‘Hadith’ berasal dari akar kata H-D-Tha muncul sebanyak 36 kali di dalam AlQuran.  Secara dasarnya, akar kata ini membawa maksud ‘perkataan’, ‘kata-kata’, ‘pengucapan’, ‘laporan’, ‘penceritaan’ dan yang seangkatan dengannya.  

Allah telah menyatakan bahawa hadith terbaik adalah AlQuran: 

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan (hadith) iaitu Kitab Suci Al-Quran yang konsisten, yang berulang-ulang;……” AQ 39:23

Allah juga telah memberi amaran kepada mereka yang menulis kitab sendiri dan menyatakan bahawa ia adalah dari Allah:

“Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang menulis AlKitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya: ‘Ini adalah dari Allah’, untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu.  Maka kecelakaan besarlah bagi mereka, kerana apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan besarlah bagi mereka, kerana apa yang mereka kerjakan.” AQ 2:79

Bahagian manakah di dalam ayat ini yang kita tidak faham?  Bukankah penulis hadith lah yang menulis dengan tangan sendiri dan menyatakan bahawa ia dari Allah?  Kenapa kita perlu taat kepada mereka?
Amaran keras agar jangan sekali-kali beriman dengan perkataan (hadith) yang lain dari AlQuran diulang lagi: 

“Celakalah pada hari itu orang-orang yang berdusta! Maka dengan perkataan (hadith) manakah sesudah AlQuran mereka akan beriman?” AQ 77:49-50

Para gamawan sendiri mengakui bahawa hadith bukanlah ditulis oleh Rasulullah tetapi oleh manusia yang hidup 150 – 200 tahun selepas kewafatan Rasulullah.  Semua umat Islam tahu bahawa sumber penulisan mereka pula adalah dari penceritaan atau dengar cakap yang kononnya bersusur galur sepanjang 150 – 200 tahun dari sahabat atau orang-orang yang hidup di zaman Rasulullah.  Tulisan itu pula melalui beberapa suntingan oleh anak-anak murid para penulis hadith tersebut.  

Oleh itu, apa buktinya yang apa yang didengar itu tepat?  TIADA.   

Sekali lagi, kita hanya meneka-neka, bersangka-sangka dan mengikut-ikut arahan agamawan walaupun tiada bukti dan kepastian.  

Satu-satunya yang pasti ialah, jika kita taat kepada hadith, kita sebenarnya taat kepada penulis-penulis hadith, bukan kepada Rasulullah dan kita juga terang-terangan menentang perintah Allah. 
Oleh itu, bagaimana caranya untuk taat kepada Rasulullah dan Allah sekali gus?

Menurut AlQuran, Rasulullah diutuskan untuk menjadi PENYAMPAI ajaran AlQuran kepada manusia, tidak lebih dari itu:

“Samada Allah perlihatkan kepadaku sebahagian yang Dia ancamkan kepada mereka atau Dia wafatkan aku kerana sesungguhnya tugasku hanya menyampaikan saja, sedang Tuhanlah yang menghisab amalan mereka” AQ 13:40

Rasulullah TIDAK DIBENARKAN menambah-nambah atau menukar-nukar satu apa pun di dalam AlQuran: 

“Ia adalah wahyu yang diturunkan dari Tuhan semesta alam.  Seandainya dia (Muhammad) mengadakan sebahagian perkataan atas Kami, nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya.  Kemudian benar-benar kami potong urat tali jantungnya.” AQ 69:43-46

Rasulullah HANYA mengikut apa yang diwahyukan yakni, AlQuran: 

“Katakanlah: ‘Aku bukanlah Rasul yang pertama di antara Rasul-rasul dan aku tidak mengetahui apa yang akan diperbuat terhadapku dan tidak terhadapmu.  Aku tidak lain hanyalah mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku dan aku tidak lain hanyalah seorang pemberi peringatan yang menjelaskan.” AQ 46:9

Rasulullah hanyalah UTUSAN Allah.  

“Yang Terpuji itu tidak lain hanyalah seorang utusan, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang utusan.  Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang?  Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur” AQ 3:144

Jelas di sini bahawa Rasulullah tidak pernah mencipta hukum-hukum tambahan sendiri.  Baginda juga tidak mereka-cipta ritual ibadah dan penyembahan.  Baginda tidak menghalal dan mengharamkan apa-apa yang tidak disebut di dalam AlQuran sepertimana yang dilakukan oleh penulis hadith, kerana Rasulullah bukan pasangan atau sekutu kepada Tuhan yang turut mempunyai hak untuk menghukum, mencipta hukuman atau ritual atas nama Tuhan.  Baginda hanyalah utusan.  

Maka jika kita ingin taat kepada Rasulullah, kita hanya perlu mengikut AlQuran dan AlQuran semata-mata. 

Dengan ini, pegangan penulis terhadap AlQuran semakin kukuh dan penulis semakin teruja untuk meneruskan perjalanan.