“Cukuplah Allah bagiku,tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.“ AQ 9:129


Wednesday, 27 April 2016

2. Mencari Kebenaran Hakiki



Sejak kecil, penulis telah mempunyai sikap memberontak.  Nasib baik ibubapa penulis mendidik penulis dengan baik, maka didikan mereka membantu penulis menjadi pemberontak yang sopan.  Walaupun dicemuh oleh ustazah di sekolah kerana tidak bertudung, penulis tidak menjawab dengan kasar tapi sekadar meminta maaf atau diam sahaja.   Di akhir zaman persekolahan, penulis merasa puas hati kerana dapat membuktikan bahawa tudung kepala tidak ada kena mengena dengan adab sopan atau moral seorang manusia.  Dan kini penulis berani berkata bahawa tudung itu juga tiada kena mengena dengan keimanan dan keIslaman. 

Seawal sekolah rendah, sikap memberontak penulis membuatkan penulis mempersoal kisah Isra’ Mikraj di mana Rasulullah dikatakan telah melakukan tawar menawar dengan Tuhan mengenai berapa kali manusia harus solat dalam sehari.   Biarpun masih kecil dan percaya serta menerima apa saja cerita nenek moyang, ibu bapa dan guru-guru mengenai agama Islam, tetapi otak penulis yang masih mentah itu tetap menolak kisah ini mentah-mentah juga.  Bagi penulis ia kedengaran seperti dongeng yang sengaja direka-reka walaupun oleh minda seorang anak kecil yang ibunya sering membaca cerita dongeng barat sebelum tidur.  

Sehingga dewasa, penulis tidak pernah mempercayai kisah tersebut tetapi tidak pula meluahkannya kepada sesiapa melainkan tertanya-tanya sendiri apakah ia ada disebut dalam AlQuran.   Bagaimanapun, seperti majoriti umat Islam, penulis tidak pula benar-benar membuka AlQuran untuk mencarinya.  

Apabila perjalanan mencari kebenaran hakiki ini bermula, penulis cuba mengorek ayat-ayat AlQuran mencari kisah Isra’ Mikraj untuk mengesahkan perihal ritual solat yang menjadi asas permulaan pencarian penulis.  Tidak  begitu faham, maka penulis membaca segala macam penjelasan dari semua sumber yang mampu.   Akhirnya, penulis pasti bahawa kisah ini hanya ada di dalam hadith, bukan di dalam AlQuran.   Begitulah juga dengan cara-cara solat yang sebenarnya tidak disebut pun dalam AlQuran, melainkan di dalam hadith sahaja.  

Pun begitu, di dalam AlQuran masih disebut mengenai ‘sollaa’.  Maka, tentunya kita harus bersolat sepertimana yang tertulis di dalam hadith, fikir penulis.  

Namun, jauh di sudut hati, penulis juga sebenarnya tidak begitu yakin dengan hadith kerana cukup maklum akan cara pengumpulan dan karangan hadith dibuat iaitu 200 tahun selepas Rasulullah wafat melalui dengar cakap dan penceritaan.   Banyak hadith yang dikatakan sahih juga terlalu merepek sehinggakan para ulama memilih untuk tidak menyebut malah seolah-olah ‘menyembunyikannya’.   

Apa jenis Ulama yang menyembunyikan kebenaran pada orang?  Benarkah ‘kebenaran’ itu benar?  Apakah yang mereka katakan sahih itu benar-benar sahih?  Apa buktinya?   

Sebab itulah sejak dari kecil penulis tidak begitu ‘pakai’ cakap Ulama juga.  

Semua persoalan yang selama ini terpendam, mula menerjah kembali tanpa henti.  

Penulis kemudian merujuk kepada rakan yang sama yang ‘menyambut penulis pulang’ (artikel pertama) tadi kerana beliau juga fasih berbahasa Arab dan tegar mengkaji AlQuran.  Beliau mengesahkan bahawa cara solat, berapa kali solat, dan semua berkenaan ritual solat hanya terdapat dalam hadith.  Beliau kemudian memberitahu bahawa secara peribadi beliau hanya berpandukan AlQuran semata-mata dan langsung tidak menggunapakai hadith dalam soal berkaitan agama.  

Mengakui kejahilan diri, penulis tidak mungkin mampu menilai pendirian rakan penulis itu.  Maka penulis pun berazam untuk mencari sendiri kebenaran itu.   Tapi bagaimana?  

Sebagai seorang yang ‘straight to the point’, perkara pertama yang penulis terfikir ialah ‘apakah ada di dalam AlQuran larangan jelas untuk tidak mengikuti hadith?’   

Tidak lama mencari, iaitu hanya selepas sekali dua ‘google’, penulis berjumpa dengan ayat ini: 

Dan “Celakalah pada hari itu orang-orang yang berdusta! Maka dengan Hadith manakah sesudah AlQuran mereka akan beriman?” AQ 77:49-50

Seolah-olah ditampar, terpinga-pinga penulis sendirian di hadapan komputer.  

Terkejut, bersyukur dan entah apa lagi emosi yang tidak dapat digambarkan berbaur-baur dan berbalam-balam di dalam jiwa.  Seolah-olah Allah telah menjawab pertanyaan penulis secara spontan serta jelas dan mudah sehingga tiada lagi keraguan. 
  
Pulih dari kebingungan, penulis berkejar mengambil terjemahan AlQuran yang telah lama cuba dibaca betul-betul tetapi tidak berjaya, dan kelam kabut mencari ayat tersebut untuk membaca surahnya keseluruhan. Ya, pada hari itu, barulah penulis belajar mencari surah dan ayat.   

Apa yang menghairankan ialah jika sebelum ini, membaca AlQuran dalam bahasa Arab dirasakan sia-sia, membaca terjemahan dirasakan hambar dan datar tetapi dalam bacaan kali ini, setiap ayat dirasakan seolah-olah Allah benar-benar bercakap dengan kita, seluruh manusia, dari berbagai agama dan bangsa di dunia, pada zaman ini, pada hari ini, pada saat ini, kepada diri penulis sendiri.   

Sesungguhnya, Allah memerintah dan bercakap dengan kita secara langsung, melalui AlQuran.  Dan Allah memberitahu:

“Ikutilah apa yang DITURUNKAN kepadamu DARI TUHANMU dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya.  Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran.” AQ 7:3

Ayat ini, bagi penulis, sudah cukup jelas bahawa Allah menyuruh manusia ikut apa yang diturunkanNya iaitu AlQuran sahaja.  Hadith BUKANLAH dariNya tetapi dari imam-imam dan ulama-ulama iaitu pemimpin-pemimpin selainNya.  Kenapa kebanyakan kita begitu degil tetap ingin mengikut apa yang bukan dariNya?

Kemudian ayat ini:
“Ia adalah wahyu yang diturunkan dari Tuhan semesta alam.  Seandainya dia (Muhammad) mengadakan sebahagian perkataan atas Kami, nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya.  Kemudian benar-benar kami potong urat tali jantungnya.” AQ 69:43-46

Allah memberitahu bahawa AlQuran itu adalah wahyu dariNya dan Nabi sendiri tidak dibenarkan menambah-nambah atau mengurang-ngurang atau menukar-nukar walau satu perkataan pun dari wahyu tersebut.  

Justeru, penulis berfikir, jika Nabi sendiri tidak boleh menambah atau mengurang apa-apa, maka dari mana datangnya ‘keterangan tambahan mengenai solat’ di dalam hadith dan cerita tawar menawar ketika Isra’ Mikraj?  

Dan juga ayat ini: 
“Dan apabila Kami letakkan suatu ayat di tempat ayat yang lain sebagai penggantinya padahal Allah lebih mengetahui apa yang diturunkanNya, maka mereka berkata:  “Sesungguhnya kamu adalah orang yang mengada-adakan saja”.  Bahkan kebanyakan mereka tiada mengetahui: AQ16:101

Jelas, Allah menggunakan satu-satu perkataan atau ayat itu dengan bersebab dan dengan maksud yang pasti, tetapi ada di kalangan penterjemah meletak kurungan dan menambah perkataan itu dan ini kerana kononnya mereka lebih tahu apa yang Allah maksudkan.  

Soalnya, apakah yang memberi mereka kelayakan untuk lebih tahu apa yang Allah maksudkan berbanding orang lain?  Apakah segulung ijazah dari Universiti Al-Azhar atau kelulusan agama dari mana-mana universiti atau pondok itu serupa mendapat wahyu lantikan sebagai pentafsir yang layak menerangkan AlQuran bagi pihak Allah?   Apakah jaminan tafsiran itu tepat?   Bukankah tindakan itu sama dengan cuba menjadi perantara atau sekutu kepada Allah?  

Sebelum para pembaca memarahi penulis kerana mempersoalkan kedudukan ulama, penulis minta cuba jawab dulu pertanyaan-pertanyaan penulis di atas itu dan renungkan ayat ini:

“Katakanlah:  ‘Apakah di antara sekutu-sekutumu ada yang menunjuki kebenaran?  Katakanlah ‘Allah-lah yang menunjuki kebenaran’.  Maka apakah orang-orang yang menunjuki kepada kebenaran itu lebih berhak diikuti ataukah orang yang tidak memberi petunjuk kecuali diberi petunjuk?”  Bagaimanakah kamu mengambil keputusan?” AQ 10:35

Di sini, apa yang penulis faham ialah Allah bertanya kepada penulis, bagaimana penulis memilih tafsiran siapa yang tepat?  Bagaimana kita tahu siapa yang mendapat petunjuk?  Apa criteria atau syaratnya? Dan siapakah yang meletakkan criteria dan syarat itu?  Atau criteria dan syarat itu juga direka-reka sendiri sesama manusia? Sedangkan kita tahu bahawa yang bergelar ulama juga sama saja dengan kita ada kelemahan dan kelebihan dan berbuat dosa juga.  

Salahkah jika penulis memilih untuk mengikut Allah dan tidak mengikut mereka kerana penulis tidak dapat memastikan siapa di antara mereka yang benar-benar mendapat petunjuk?   

Persoalan ini terus membungkam di dada lalu membawa penulis ke sebuah perjalanan yang amat menarik, melalui berbagai pintu yang belum pernah dijumpai sebelum ini, setiap pintu membuka gambaran yang semakin luas dan semakin luas dan semakin luas…… bagai tiada berpenghujung…  

Kini penulis faham bahawa benarlah manusia itu tidak tahu satu apa pun. 

1 comment:

  1. Sebab tu la, belajar perlu berguru, cari lah guru tauhid dan tasawuf yg benar, yg bersanad, bukan guru yg terkenal di TV atau media sosial. Permainan nafsu dan syaitan Sgt halus. Mohon lah petunjuk Allah setiap hari, bukan guna logik akal je.

    ReplyDelete