Sejak kecil, penulis telah
mempunyai sikap memberontak. Nasib baik
ibubapa penulis mendidik penulis dengan baik, maka didikan mereka membantu
penulis menjadi pemberontak yang sopan.
Walaupun dicemuh oleh ustazah di sekolah kerana tidak bertudung, penulis
tidak menjawab dengan kasar tapi sekadar meminta maaf atau diam sahaja. Di akhir zaman persekolahan, penulis merasa
puas hati kerana dapat membuktikan bahawa tudung kepala tidak ada kena mengena
dengan adab sopan atau moral seorang manusia.
Dan kini penulis berani berkata bahawa tudung itu juga tiada kena
mengena dengan keimanan dan keIslaman.
Seawal sekolah rendah, sikap
memberontak penulis membuatkan penulis mempersoal kisah Isra’ Mikraj di mana
Rasulullah dikatakan telah melakukan tawar menawar dengan Tuhan mengenai berapa
kali manusia harus solat dalam sehari.
Biarpun masih kecil dan percaya serta menerima apa saja cerita nenek
moyang, ibu bapa dan guru-guru mengenai agama Islam, tetapi otak penulis yang
masih mentah itu tetap menolak kisah ini mentah-mentah juga. Bagi penulis ia kedengaran seperti dongeng
yang sengaja direka-reka walaupun oleh minda seorang anak kecil yang ibunya
sering membaca cerita dongeng barat sebelum tidur.
Sehingga dewasa, penulis tidak
pernah mempercayai kisah tersebut tetapi tidak pula meluahkannya kepada sesiapa
melainkan tertanya-tanya sendiri apakah ia ada disebut dalam AlQuran. Bagaimanapun,
seperti majoriti umat Islam, penulis tidak pula benar-benar membuka AlQuran
untuk mencarinya.
Apabila perjalanan mencari
kebenaran hakiki ini bermula, penulis cuba mengorek ayat-ayat AlQuran mencari
kisah Isra’ Mikraj untuk mengesahkan perihal ritual solat yang menjadi asas
permulaan pencarian penulis. Tidak begitu faham, maka penulis membaca segala
macam penjelasan dari semua sumber yang mampu.
Akhirnya, penulis pasti bahawa kisah ini hanya ada di dalam hadith,
bukan di dalam AlQuran. Begitulah juga dengan cara-cara solat yang
sebenarnya tidak disebut pun dalam AlQuran, melainkan di dalam hadith
sahaja.
Pun begitu, di dalam AlQuran
masih disebut mengenai ‘sollaa’. Maka,
tentunya kita harus bersolat sepertimana yang tertulis di dalam hadith, fikir
penulis.
Namun, jauh di sudut hati,
penulis juga sebenarnya tidak begitu yakin dengan hadith kerana cukup
maklum akan cara pengumpulan dan karangan hadith dibuat iaitu 200 tahun selepas
Rasulullah wafat melalui dengar cakap dan penceritaan. Banyak hadith yang dikatakan sahih juga
terlalu merepek sehinggakan para ulama memilih untuk tidak menyebut malah
seolah-olah ‘menyembunyikannya’.
Apa jenis Ulama yang
menyembunyikan kebenaran pada orang? Benarkah
‘kebenaran’ itu benar? Apakah yang mereka
katakan sahih itu benar-benar sahih? Apa
buktinya?
Sebab itulah sejak dari kecil penulis
tidak begitu ‘pakai’ cakap Ulama juga.
Semua persoalan yang selama ini terpendam,
mula menerjah kembali tanpa henti.
Penulis kemudian merujuk kepada
rakan yang sama yang ‘menyambut penulis pulang’ (artikel pertama) tadi kerana
beliau juga fasih berbahasa Arab dan tegar mengkaji AlQuran. Beliau mengesahkan bahawa cara solat, berapa
kali solat, dan semua berkenaan ritual solat hanya terdapat dalam hadith. Beliau kemudian memberitahu bahawa secara
peribadi beliau hanya berpandukan AlQuran semata-mata dan langsung tidak
menggunapakai hadith dalam soal berkaitan agama.
Mengakui kejahilan diri, penulis
tidak mungkin mampu menilai pendirian rakan penulis itu. Maka penulis pun berazam untuk mencari
sendiri kebenaran itu. Tapi bagaimana?
Sebagai seorang yang ‘straight to
the point’, perkara pertama yang penulis terfikir ialah ‘apakah ada di dalam
AlQuran larangan jelas untuk tidak mengikuti hadith?’
Tidak lama mencari, iaitu hanya
selepas sekali dua ‘google’, penulis berjumpa dengan ayat ini:
Dan “Celakalah pada hari itu orang-orang yang berdusta! Maka
dengan Hadith manakah sesudah AlQuran mereka akan beriman?” AQ 77:49-50
Seolah-olah ditampar, terpinga-pinga penulis
sendirian di hadapan komputer.
Terkejut, bersyukur dan entah apa lagi emosi yang tidak dapat digambarkan berbaur-baur dan berbalam-balam di dalam jiwa. Seolah-olah Allah telah menjawab pertanyaan penulis secara spontan serta jelas dan mudah sehingga tiada lagi keraguan.
Terkejut, bersyukur dan entah apa lagi emosi yang tidak dapat digambarkan berbaur-baur dan berbalam-balam di dalam jiwa. Seolah-olah Allah telah menjawab pertanyaan penulis secara spontan serta jelas dan mudah sehingga tiada lagi keraguan.
Pulih dari kebingungan, penulis berkejar
mengambil terjemahan AlQuran yang telah lama cuba dibaca betul-betul tetapi
tidak berjaya, dan kelam kabut mencari ayat tersebut untuk membaca surahnya
keseluruhan. Ya, pada hari itu, barulah penulis belajar mencari surah dan ayat.
Apa yang menghairankan ialah jika
sebelum ini, membaca AlQuran dalam bahasa Arab dirasakan sia-sia, membaca
terjemahan dirasakan hambar dan datar tetapi dalam bacaan kali ini, setiap ayat
dirasakan seolah-olah Allah benar-benar bercakap dengan kita, seluruh manusia,
dari berbagai agama dan bangsa di dunia, pada zaman ini, pada hari ini, pada
saat ini, kepada diri penulis sendiri.
Sesungguhnya, Allah memerintah
dan bercakap dengan kita secara langsung, melalui AlQuran. Dan Allah memberitahu:
“Ikutilah apa yang DITURUNKAN kepadamu DARI TUHANMU dan
janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya. Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran.” AQ 7:3
Ayat ini, bagi penulis, sudah
cukup jelas bahawa Allah menyuruh manusia ikut apa yang diturunkanNya iaitu AlQuran
sahaja. Hadith BUKANLAH dariNya tetapi dari imam-imam dan ulama-ulama iaitu pemimpin-pemimpin selainNya. Kenapa
kebanyakan kita begitu degil tetap ingin mengikut apa yang bukan dariNya?
Kemudian ayat ini:
“Ia adalah wahyu yang diturunkan dari Tuhan semesta alam. Seandainya dia (Muhammad) mengadakan
sebahagian perkataan atas Kami, nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan
kanannya. Kemudian benar-benar kami
potong urat tali jantungnya.” AQ 69:43-46
Allah memberitahu bahawa AlQuran itu adalah wahyu dariNya dan Nabi sendiri tidak dibenarkan menambah-nambah atau mengurang-ngurang atau menukar-nukar walau satu perkataan pun dari wahyu tersebut.
Justeru, penulis berfikir, jika
Nabi sendiri tidak boleh menambah atau mengurang apa-apa, maka dari mana
datangnya ‘keterangan tambahan mengenai solat’ di dalam hadith dan cerita tawar
menawar ketika Isra’ Mikraj?
Dan juga ayat ini:
“Dan apabila Kami letakkan suatu ayat di tempat ayat yang
lain sebagai penggantinya padahal Allah lebih mengetahui apa yang
diturunkanNya, maka mereka berkata: “Sesungguhnya
kamu adalah orang yang mengada-adakan saja”.
Bahkan kebanyakan mereka tiada mengetahui: AQ16:101
Jelas, Allah menggunakan satu-satu
perkataan atau ayat itu dengan bersebab dan dengan maksud yang pasti, tetapi
ada di kalangan penterjemah meletak kurungan dan menambah perkataan itu dan ini
kerana kononnya mereka lebih tahu apa yang Allah maksudkan.
Soalnya, apakah yang memberi
mereka kelayakan untuk lebih tahu apa yang Allah maksudkan berbanding orang lain?
Apakah segulung ijazah dari Universiti Al-Azhar atau kelulusan agama
dari mana-mana universiti atau pondok itu serupa mendapat wahyu lantikan
sebagai pentafsir yang layak menerangkan AlQuran bagi pihak Allah? Apakah
jaminan tafsiran itu tepat? Bukankah tindakan itu sama dengan cuba menjadi
perantara atau sekutu kepada Allah?
Sebelum para pembaca memarahi
penulis kerana mempersoalkan kedudukan ulama, penulis minta cuba jawab dulu
pertanyaan-pertanyaan penulis di atas itu dan renungkan ayat ini:
“Katakanlah: ‘Apakah
di antara sekutu-sekutumu ada yang menunjuki kebenaran? Katakanlah ‘Allah-lah yang menunjuki
kebenaran’. Maka apakah orang-orang yang
menunjuki kepada kebenaran itu lebih berhak diikuti ataukah orang yang tidak
memberi petunjuk kecuali diberi petunjuk?”
Bagaimanakah kamu mengambil keputusan?” AQ 10:35
Di sini, apa yang penulis faham ialah
Allah bertanya kepada penulis, bagaimana penulis memilih tafsiran siapa yang
tepat? Bagaimana kita tahu siapa yang
mendapat petunjuk? Apa criteria atau
syaratnya? Dan siapakah yang meletakkan criteria dan syarat itu? Atau criteria dan syarat itu juga direka-reka
sendiri sesama manusia? Sedangkan kita tahu bahawa yang bergelar ulama juga sama saja dengan kita ada kelemahan dan kelebihan dan berbuat dosa juga.
Salahkah jika penulis memilih untuk mengikut Allah dan tidak mengikut mereka kerana penulis tidak dapat memastikan siapa di antara mereka yang benar-benar mendapat petunjuk?
Persoalan ini terus membungkam
di dada lalu membawa penulis ke sebuah perjalanan yang amat menarik,
melalui berbagai pintu yang belum pernah dijumpai sebelum ini, setiap pintu membuka
gambaran yang semakin luas dan semakin luas dan semakin luas…… bagai tiada
berpenghujung…
Kini penulis faham bahawa benarlah
manusia itu tidak tahu satu apa pun.
Sebab tu la, belajar perlu berguru, cari lah guru tauhid dan tasawuf yg benar, yg bersanad, bukan guru yg terkenal di TV atau media sosial. Permainan nafsu dan syaitan Sgt halus. Mohon lah petunjuk Allah setiap hari, bukan guna logik akal je.
ReplyDelete