Penulis sentiasa menganggap diri
penulis sebagai seorang yang amat mengenali diri sendiri. Penulis terkenal di kalangan keluarga dan
kawan-kawan sebagai seorang yang berterus-terang yang kadangkala keterlaluan
sehingga tidak menjaga perasaan orang.
Penulis sendiri sering mengakui diri sebagai seorang yang egoistik dan
degil. Pendapat orang terhadap penulis
langsung tidak penting kerana bagi penulis pendapat hanyalah pendapat, tidak
mampu memberi kesan apa-apa kepada hidup penulis mahupun dunia ini. Lagipun, penulis sebagai individu tidak
penting di dunia ini. Yang mampu menyentuh hati penulis hanyalah
perkara yang membabitkan orang tersayang, agama, bangsa dan negara. Penulis sanggup melakukan apa saja untuk
perkara-perkara ini. Namun, ramai yang
tidak mampu memahami atau percaya bahawa penulis benar-benar bukan seorang yang
pentingkan diri, tetapi sekadar terlalu yakin kepada diri sendiri.
Pun begitu, setelah usia
meningkat, dalam diam, penulis cukup gusar sekiranya sikap penulis ini
menyebabkan penulis termasuk dalam golongan yang takbur, angkuh dan
sombong. Di usia ini, penulis masih
tidak segan menyatakan yang salah sebagai salah dan betul sebagai betul biarpun
ia tidak disenangi oleh orang yang mendengar.
Dan sedikit pun penulis tidak merasa bersalah terhadap orang itu,
melainkan merasa takut kepada Tuhan kerana telah menyakitkan hati orang lagi. Penulis tahu, berdosa dengan manusia itu
lebih sukar lagi keadaannya dari berdosa dengan Tuhan. Hakikat ini membuatkan penulis lebih takut
lagi.
Di usia ini juga, penulis ingin
semakin dekat dengan Tuhan. Seperti
majoriti manusia di dunia, apabila kita ingin dekat dengan Tuhan kita akan
melakukan ritual-ritual yang disaran atau diwajibkan agama masing-masing. Penulis
akui melakukan solat lima waktu sememangnya amat sukar. Walaubagaimanapun, tamparan kehilangan ibunda
tercinta telah memungkinkan penulis melakukannya kerana penulis bimbang sekiranya
doa penulis tidak sampai kepada arwah ibu jika tidak solat. Penulis juga rajin membaca yassin untuk
ibu. Penulis cuba membaca AlQuran juga, tetapi terlalu
panjang dan tidak faham serta terasa sia-sia.
Penulis juga sebenarnya tidak percaya bahawa kita mendapat pahala dengan
sekadar membaca dan melagu-lagukan AlQuran begitu. Malah, soal pahala juga bagi penulis amat
subjektif.
Masa berlalu, solat tetap
merupakan sesuatu yang sukar dan penulis pasrah bahawa penulis bukanlah seorang
Muslim yang baik dan tidak mampu memaksa diri membawa beg besar berisi telekung
ke sana sini, menghentikan pekerjaan yang penting atau berhenti dalam perjalanan
semata-mata untuk mencari surau untuk bersolat.
Penulis juga tidak gemar bertembung dengan orang lain dalam surau-surau
awam yang suka terkejut melihat seorang wanita ‘free hair’ bersolat.
Sehinggalah pada suatu hari
setelah penulis berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa, penulis
telah membaca satu artikel tentang solat Kristian dan Yahudi zaman dahulu. Sebagai seorang yang suka membaca, perkara
ini bukanlah baru bagi penulis. Penulis telah
beberapa kali membaca mengenainya dan cukup maklum akan hakikat terdapat banyak
persamaan antara Islam dengan dua agama itu termasuk dari segi solat. Namun, entah kenapa, sekali ini, informasi
ini menyentak minda penulis untuk berfikir lebih mendalam. Lalu penulis bertanya kepada rakan yang
merupakan penulis dan penceramah agama terkenal mengenai solat dan apakah yang
diperkatakan mengenainya dalam AlQuran.
Jawapan beliau adalah “memang tidak ada arahan tentang solat dalan
Quran dan orang Islam hanya bersolat 200 tahun selepas Rasulullah wafat.”
Penulis bertanya lagi, “habis, selama ni kita tiru Kristian?”
Jawabnya, “tidak, kita ikut Nabi sebab ada sahabat yang nampak Nabi solat demikian”.
Sudah tentu jawapan sedemikian hanya
membangkitkan lebih banyak persoalan.
Belum sempat penulis bertanya lanjut, kawan penulis meminta diri sebab ada kerja
untuk diselesaikan katanya.
Hati penulis terus bertanya, ‘kalau benar sahabat Nabi nampak Nabi
bersolat sedemikian kenapa hanya selepas 200 tahun baru orang Islam bersolat
seperti itu? Apakah sahabat Nabi itu
sendiri dan mereka yang hidup sezaman dengan Nabi tidak solat?’
Tidak boleh pakai keterangan
kawan penulis yang ini.
Sebagai manusia berakal, penulis
tidak boleh diam. Sungguh penulis tidak
tenang seharian itu. Penulis menghantar
pula whatsapp kepada seorang rakan lain, seorang peniaga berjaya dan pengkaji
AlQuran. Penulis bertanya soalan yang sama iaitu tentang solat.
Jawab rakan penulis itu, “you have finally come home.”
Jawapan beliau membuat penulis
termenung dan tidak tahu untuk bertanya apa lagi. Beliau kemudian memberi beberapa pautan blog dan
portal untuk untuk dibaca dan memberitahu penulis bahawa penulis boleh bertanya
apa saja tentang AlQuran setelah membaca semuanya.
Sejak dari itu, penulis pun memulakan perjalanan mencari KEBENARAN HAKIKI.
Pengenalan perjalan yg menarik. ☺
ReplyDeleteApa bukti org Islam solat hanya lepas 200 tahun rasulullah wafat???
ReplyDelete