“Cukuplah Allah bagiku,tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.“ AQ 9:129


Thursday, 28 July 2016

15. Agama Islam itu susah



“Tiada paksaan dalam agama” – kata-kata ini bukanlah asing bagi umat Islam dan mereka sering mewar-warkannya sambil merujuk ayat berikut:    

“Tidak ada paksaan dalam aturan hidup (deen-i).  Yang benar telah jelas daripada yang salah.  Maka sesiapa yang tidak percaya kepada taghut, dan percayai Allah, dia berpegang pada pemegang yang paling kukuh, yang tidak akan putus; Allah Mendengar, Mengetahui.” AQ 2:256

Malangnya, kata-kata ini hanyalah dibibir mereka sahaja tetapi mereka tidak berpegang kepadanya. 
Mungkin kerana mereka bukan merujuk kepada ‘deen’ atau aturan hidup yang dimaksudkan AlQuran, tetapi kepada agama Islam yang direkacipta manusia.   Jika tidak, dari mana datangnya halangan bagi umat Islam yang ingin murtad?  Kenapa ramai sekali yang percaya bahawa orang murtad harus dibunuh kalaupun tidak dicemuh, dikutuk dan dipulaukan? 

Ini semua adalah satu bentuk paksaan ke atas mereka penganut agama Islam (yang mengucapkan dua kalimah syahadah dan mempercayai ritual menyembah kiub batu di Mekah 5 kali sehari adalah wajib), agar jangan sekali-kali memilih untuk menyembah yang lain pula.    

Di dalam AlQuran tiada arahan sama sekali untuk yang menghalang sesiapa untuk tidak percaya kepada Tuhan, dan pastinya tiada sama sekali perintah agar mereka yang tidak percaya itu dihukum atau wajib dibunuh.   

Malah, seorang yang telah percaya kepada Tuhan boleh saja menolak kepercayaan itu dan kemudian kembali percaya dan berbalik menjadi tidak percaya pula:

“Orang-orang yang percaya, kemudian tidak percaya, kemudian percaya, kemudian tidak percaya, kemudian bertambah dalam ketidakpercayaan, Allah tidak akan memberi ampunan kepada mereka, dan tidak menunjuki mereka kepada jalan yang lurus.” AQ 4:137

Jika Allah menyuruh mereka yang tidak percaya itu dibunuh, pastinya mereka tidak punya peluang untuk kembali percaya dan tidak percaya seperti ayat di atas.   Tetapi, menurut AlQuran, ini tidak berlaku kerana mereka dibiarkan terus hidup serta bebas menukar pegangan berkali-kali dan Allah hanya menyatakan bahawa Dia tidak akan mengampuni mereka dan tidak akan memberi petunjuk lagi kepada mereka.  Itu saja.   

Sama sekali tidak ada perintah untuk sesiapa di antara kita bertindak menghukum mereka bagi pihak Allah pastinya kerana manusia sama sekali tidak punya pengetahuan tentang siapa yang benar-benar beriman (percaya).  Ini terbukti dengan meningkatnya kes murtad di kalangan umat Islam di Malaysia yang mana kebanyakannya tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa agama.  Malah, ada di kalangan mereka masih bersolat Jumaat, sekadar untuk mengelak dihukum oleh jabatan agama Islam.  

Lebih dari itu, kita juga tidak tahu sama ada diri kita sendiri adalah tergolong dalam orang beriman (percaya) di sisi Allah.  Oleh itu, jika iman sendiri juga kita tak dapat tentukan, bagaimana kita memikul tugas menilai dan menghukum iman orang lain?  

Hakikatnya, orang bukan Islam yang kita tuduh kafir itu belum tentu lagi kafirnya dan orang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah itu hampir jelas munafiknya.  (rujuk artikel 14)

Pastinya ada di kalangan pembaca yang merasakan penulis telah menjadi kafir atau sesat kerana tidak berpegang kepada ijtihad ulama dan hukum-hukum yang telah dipersetujui oleh majlis fatwa.   Anda juga mungkin merasa marah dan menuduh penulis mempermainkan agama Islam.  

Penulis ingin tekankan di sini bahawa anda boleh menuduh apa saja, tetapi tahanlah diri anda dari menghukum penulis atas nama Tuhan kerana apa yang anda hukum itu, bukanlah dari Tuhan dan anda bukanlah Tuhan.   Sekurang-kurangnya, jagalah had itu dalam mempertahankan agama anda. 

Selain dari menipu diri menyatakan bahawa tiada paksaan dalam agama, umat Islam juga turut menipu bila berkata bahawa “agama Islam itu mudah”.    

Ya, menjadi seorang Muslim (orang yang berdamai) memanglah mudah, tetapi menjadi penganut agama yang dinamakan Islam itu sebenarnya sangatlah susah.  

Lihatlah betapa sukarnya umat Islam untuk makan di mana saja atau melancong di mana saja kerana terpaksa mencari tempat yang terdapat makanan halal.  Umat Islam juga terpaksa membawa bekal keperluan solat ke mana-mana, terpaksa berhenti mencari tempat bersolat dan kadangkala terpaksa bersolat di tempat yang tidak sesuai yang adakalanya juga mengganggu orang lain.  

Kerana solat juga, umat Islam sukar untuk bersollaa (komited) dalam pekerjaan.  Jika orang barat boleh menyelam ke dasar laut mencari bahan untuk dikaji, seorang Islam tentu tidak boleh berbuat demikian kerana terpaksa memastikan solatnya terjaga mengikut waktu.  Konsentrasi juga terganggu kerana asyik menunggu masa bersolat.  Hendak ke bulan juga bukan main susah kerana terpaksa memikirkan bagaimana untuk bersolat.  Bukan itu saja, bagaimana pula untuk menentukan kiblat di angkasa lepas?  Bukankah ini pelik sedangkan alam maya ini  dicipta oleh Allah dan semua makhluk bersollaa kepadaNya maka kenapakah kedudukan kiblat itu tidak sesuai untuk seluruh alam?   

Itu belum lagi meneroka hutan amazon, mendaki gunung, menongkah padang pasir untuk mengkaji dan mencari ilmu seperti yang diperintahkan oleh Allah.  Umat Islam tentu sukar untuk melakukan semua ini jika terpaksa berhenti berwuduk, bersolat dan sebagainya.  Benarlah kata seorang rakan penulis bahawa umat Islam sebenarnya bukan menyembah Allah, tetapi menyembah waktu kalaupun tidak menyembah matahari dan bulan seperti orang-orang jahiliah.  

Bagi wanita Islam pula tentunya lebih sukar lagi kerana mereka terpaksa membungkus diri dari hujung rambut ke hujung kaki walaupun dalam cuaca panas terik.   Apa yang lebih menarik ialah, tahap kesukaran yang dihadapi penganut agama ini pula berbeza mengikut di negara Islam mana kita berada. Ada negara Islam yang tidak membenarkan wanita memandu, dan keluar sendirian tanpa muhrim.  Tidak boleh membonceng motorsikal dengan lelaki bukan muhrim walaupun mungkin lelaki itu anak jirannya dan itu saja cara paling murah dan mudah untuk mereka pergi bekerja.   

Ya, umat Islam amat gemarkan idea untuk memisahkan lelaki dan perempuan di tempat awam kerana kebanyakan ajaran ustaz dan hadith begitu obses dengan seks.  Memang sakit untuk mengakuinya, tetapi inilah hakikat yang begitu buruk mengenai pemikiran majoriti umat Islam.  

Pemisahan lelaki dan wanita di tempat awam tentu sekali membebankan wanita berkeluarga kerana anak-anak akan terpaksa mengikut mereka, sedang suami mereka boleh saja berjalan berlenggang tanpa perlu menjaga anak. 

Apabila bercuti di hotel dengan keluarga, wanita Islam tidak boleh berpakaian mandi yang sesuai di kolam renang.  Rata-rata, kita lihat mereka terpaksa duduk saja di tepi sambil melihat suami dan anak-anak bergembira.  Ada yang degil ingin juga bersuka ria bersama suami dan anak-anak seperti orang lain lalu memilih untuk melanggar peraturan, sekali gus mengotorkan kolam renang dengan pakaian yang tidak sesuai.  Beberapa kali penulis menyaksikan mereka atau suami mereka bertengkar dengan pihak hotel untuk membenarkan mereka berpakaian sesuka hati di kolam renang dengan menggunakan alasan agama.   Tindakan ini menyerlahkan sikap buruk umat Islam yang amat suka membantah, degil, enggan mengikut peraturan.   

Beberapa rakan-rakan wanita penulis yang bertudung pernah meluahkan secara tidak sengaja akan kesukaran yang mereka hadapi seharian.  Pergi ke kedai berdekatan juga susah, kata mereka, kerana terpaksa berselubung lengkap.   Oleh itu, adakalanya mereka hanya memakai t-shirt lengan pendek sahaja atas alasan ‘susah’ atau ‘panas’.  Mereka juga mengakui bahawa jika mereka bercuti di tempat yang tidak terdapat ramai orang Malaysia, mereka akan buang saja tudung kepala mereka.  
   
Beberapa tahun kebelakangan ini, rambut wanita menjadi isu yang semakin ‘meruncing’ sehinggakan wanita tidak lagi dibenarkan menampakkan rambut di hadapan ipar-ipar lelaki.  Ini tentulah malang bagi wanita yang tinggal bersama mertua dan ipar lelaki kerana mereka terpaksa membungkus kepala seharian sehinggalah masuk waktu tidur.   Bayangkan bau rambut yang sentiasa berbungkus tidak kira dalam keadaan berpeluh atau basah.   

Jika itu belum cukup susah, wanita Islam juga perlu menjaga aurat di hadapan wanita bukan Islam!  Ini bermakna jika mereka menyertai kelas aerobik dalam premis tertutup yang semua pesertanya wanita, tetapi kelas itu turut disertai wanita bukan Islam, maka mereka terpaksa membungkus rambut sepanjang kelas juga.   Atas hujah yang sama, mereka tentu tidak boleh ke salon rambut milik bukan Islam atau yang mempunyai pekerja bukan Islam!   Bayangkan jika mereka tinggal di negara bukan Islam, tentu mereka tidak boleh ke salon rambut selama-lamanya!  

Umat Islam seolah-olah menyatakan bahawa Allah tidak tahu akan realiti hidup di dunia yang dihuni manusia berbagai agama dan bangsa ketika menurunkan agamaNya, sedangkan Allahlah yang mencipta dan mengetahui semuanya. 

Itu belum lagi diambil kira peranan seorang isteri yang mana umat Islam percaya bahawa syurga isteri adalah di tapak kaki suami.  Ungkapan ini kemudiannya dijadikan tiket untuk suami memperhambakan isteri dan juga berpoligami. 

Pendek kata, menjadi lelaki beragama Islam tidaklah begitu mudah, dan menjadi wanita Islam adalah sesuatu yang teramat susah.  Anda tidak dibenarkan berpakaian mengikut citarasa sendiri, tidak boleh mempunyai personaliti sendiri, tidak boleh bergembira dan mengkespresi diri.  

Dalam kata lain, agama Islam secara umumnya menghalang manusia menjadi manusia.  Semua manusia, terutama wanita perlu berpakaian sama.  Tidak perlu kepada industri fesyen.  Tidak perlu kepada muzik.  Tidak perlu kepada salon juga, mungkin.   Maka, apakah lebih baik bagi umat Islam untuk hidup seperti manusia zaman batu tanpa sebarang peralatan dan ciptaan moden serta tidak perlu kepada otak untuk berfikir juga?  

Apabila naluri semulajadi manusia dihalang dan pemikiran disekat, maka manusia terpaksa menjadi hipokrit.  Hidup dalam hipokrasi setiap hari pastinya akan menyebabkan sakit jiwa.   Tidak hairanlah kita sering mendengar kes yang pelik-pelik di kalangan pelajar sekolah agama, tahfiz, termasuk di kalangan ustaz dan ustazah mereka.   

Perlu diingatkan bahawa keadaan ini bukan hanya ekslusif terhadap agama Islam sahaja, tetapi juga semua agama.   Sekolah-sekolah agama Kristian, dan di kalangan agamawan Kristian di barat juga, kumpulan yang terlalu ekstrem menekankan hukum-hakam dan dosa-pahala, pasti menghadapi masalah yang sama.  Jika ekstremisme Islam mampu melahirkan pengganas, ekstremisme di kalangan Kristian juga terbukti mampu melahirkan pembunuh bersiri. 

Apabila didoktrinkan mengenai ‘apa yang tidak boleh dibuat’ setiap hari, jiwa manusia akan menjadi murung, dirundung kebencian dan kemarahan lalu hati menjadi rosak dan berkemungkinan hilang sifat kemanusiaan sehingga menjadi ganas dan tidak lagi punya rasa kasihan, simpati, sabar, hormat, kasih sayang dan cinta.   Manusia seperti inilah yang mudah terhasut dan tergoda dengan ideologi pengganas seperti AlQaeda ataupun ISIS.  

Penulis percaya di kalangan pembaca sendiri ramai yang merasa takut dan gerun untuk mempersoal hukum-hukum yang dikeluarkan oleh ustaz-ustaz/agamawan dari hadith-hadith yang dipetik mereka.  Dan apabila anda buntu kerana sesuatu yang ingin dilakukan tidak terdapat hukumnya dalam AlQuran, anda merujuk kepada ustaz-ustaz itu untuk bertanyakan hukumnya seolah-olah ustaz itu adalah Tuhan kedua pula.  Anda cukup takut untuk menggunakan budi bicara dan akal fikiran sendiri, bukan begitu?

“Allah berkata, “Janganlah ambil untuk kamu dua Tuhan.  Dia hanyalah Tuhan yang Satu; maka kepadaKulah kamu berasa gerun.” AQ 16:51  

Benarlah, bahawa takutnya manusia kepada agamawan mengatasi takut mereka kepada Tuhan.  Mereka lebih takut untuk tidak percaya kepada agamawan daripada tidak percaya kepada AlQuran.   

Lebih buruk lagi, apabila dirujuk akan sesuatu perkara yang tiada dalam AlQuran, para agamawan jarang sekali akan menyatakan bahawa mereka tidak tahu tetapi mereka sedaya upaya akan mencipta hukum mereka sendiri walaupun mereka sebenarnya cukup maklum bahawa Allah melarang mereka berbuat demikian: 

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta ‘ini halal dan ini haram’ untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah.  Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan kebohongan terhadap Allah tidaklah beruntung.” AQ 16:116

Contoh mudah ialah kumpulan yang menolak suntikan vaksin ke atas anak-anak mereka.  Kumpulan ini bertindak demikian kerana mengikut pendapat ustaz atau agamawan.  Sedangkan ustaz itu tidak ada pengetahuan sedikit pun dalam bidang perubatan.  

AlQuran telah menyatakan bahawa Ulama sebenar ialah mereka yang memahami dan takut pada sunnatullah iaitu hukum alam semulajadi.  Ini termasuklah kejadian manusia iaitu organ-organ dan fungsinya.  Justeru, jika ingin tahu apa ‘hukum’ suntikan vaksin ke atas manusia, seharusnya kita merujuk kepada pakar perubatan atau doktor, dan bukannya ‘pakar’ hadith.  Tidak ada ilmu berkenaan organ atau sistem badan manusia di dalam hadith yang mereka baca itu.   Malah tidak ada ilmu satu apa pun di dalamnya melainkan pendapat atau imaginasi semata-mata.  

Akibat menolak peringatan AlQuran dan degil ingin berTuhankan ustaz, maka kedamaian (Islam) pun terancam.  Anak mereka sakit atau menjangkitkan penyakit pada anak orang lain.  Masyarakat pun terjejas kerana terpaksa berwaspada dengan bahaya penyakit yang dibawa kumpulan mereka.   Mereka menjadikan hidup mereka dan orang lain susah.

Secara umumnya, masyarakat Islam hidup dalam keadaan terbelenggu, tertekan dan terkurung dalam satu kepompong di bawah tempurung yang gelap dan tiada penghujung.  Harapan mereka jika mereka terus-terusan menafikan bahawa cara hidup mereka itu sukar serta cekal menjalaninya, maka Allah akan memberi ganjaran syurga akhirnya.   

Jika itu yang mereka percaya, maka mereka secara tidak langsung menyatakan bahawa Allah berbohong dalam ayat ini:-

"Tho Haa. Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah; tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah), iaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi" AQ 20:1-4

Bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah, kita pastinya beriman kepada AlQuran dengan sepenuh hati.  Dan pastinya kita percaya kepada ayat di atas bahawa jalan hidup yang ditunjukkan oleh AlQuran itu tidak susah, malah sangat mudah.  Allah tidak berbohong tetapi umat Islamlah yang berbohong dengan diri sendiri apabila menyatakan hidup mereka mudah, sedang mereka benar-benar merasa susah. 

Tuesday, 19 July 2016

14. Dua Kalimah Syahadah




Penduduk negara maju seperti Jepun, Perancis, Jerman, Iceland, dan lain-lain telah pun lama hidup berdasarkan ajaran AlQuran.  Rakyat negara ini mampu menjalani aturan hidup yang diberkati tanpa perlu merujuk kepada AlQuran sebagai panduan.  Ini berlaku kerana penduduk negara-negara tersebut berupaya menjana kuasa akal dan memahami bahawa pentingnya untuk komited dalam tugas dan tanggungjawab di dunia serta mengikut peraturan yang damai dan tersusun.  Pemahaman ini telah akhirnya memandu mereka ke arah kejayaan, sejajar dengan janji Tuhan di mana orang yang bersollaa (komited) dan hidup mengikut sistemNya pasti berjaya.   

Oleh itu, penulis merasai bahawa bukanlah satu kebetulan apabila AlQuran itu, walaupun ia bersifat sejagat (universal) iaitu untuk semua manusia, tetapi hampir semua manusia merasakan bahawa ia diturunkan khas untuk panduan orang-orang Islam sahaja - terutamanya orang-orang Arab. 

Ini tentunya kerana kumpulan inilah yang paling degil menolak AlQuran dan peringatan mengenai pentingnya penggunaan akal untuk mencapai kehidupan yang baik.  Kumpulan inilah yang memerlukan bimbingan khas melalui kitab yang datangnya terus dari Tuhan.   

Dan bukan juga kebetulan yang bahasa AlQuran adalah bahasa Arab kerana jika diturunkan dalam bahasa lain tentulah lebih lagi kumpulan ini menolaknya. 

"Dan jikalau Kami jadikan Al Quran itu suatu bacaan dalam bahasa selain Arab, tentulah mereka mengatakan: 'Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya? Apakah (patut Al Quran) dalam bahasa asing sedang (Rasul adalah orang) Arab? Katakanlah:'Al Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang mukmin. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedang Al Quran itu suatu kegelapan bagi mereka. Mereka itu adalah (seperti) yang dipanggil dari tempat yang jauh" AQ 41:44

Ini menguatkan lagi fahaman penulis bahawa apa yang Tuhan perintahkan kepada manusia hanyalah untuk menggunakan akal masing-masing bagi mencapai aturan hidup yang aman, agar sejahtera dan berjaya.  Itu sahaja.  

Jika kita komited (sollaa) mengikut perintah ini dan mengakui serta mempercayai kewujudan Maha Pencipta dan tidak menyekutukanNya maka kita telah pun memenuhi objektif kewujudan kita di dunia.   

Bagaimanapun, untuk menjadikan hidup lebih bermanfaat dan mendapat keberkatan, kita haruslah mencabar diri untuk mencapai potensi sepenuhnya.  Contohnya, jika kita bijak dalam matematik atau quantum fizik, maka kita cabar diri kita untuk menjadi pakar dalam bidang tersebut, merungkai rahsia alam semesta seperti Professor Stephen Hawking.  Jika kita punya bakat dalam nyanyian, maka asuh dan berlatihlah sehingga menjadi penyanyi yang hebat seperti Michael Jackson.  Jika kita pandai merekabentuk kasut, maka usahalah sesungguh hati untuk berjaya dalam bidang tersebut seperti Jimmy Choo.  

Kemudian, murnikanlah (zakaa) apa yang kita kerjakan itu iaitu pastikan hasilnya membawa manfaat kepada manusia lain ataupun alam semesta.  Kita juga jangan sekali-kali lupa untuk bersedekah, merendah diri, berbuat baik pada semua orang, dan haruslah sentiasa bersyukur serta tetap patuh di jalan yang ditetapkan oleh Maha Pencipta iaitu jalan yang damai.  Ertinya, janganlah kita berlebih-lebih, tamak, berbuat kerosakan, dengki mendengki, benci membenci, menganiaya atau berperang dan membunuh orang lain.    
  
Ya, peraturan hidup yang dibawa oleh AlQuran itu sangat-sangat mudah.  Benarlah Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang!    

"Tho Haa. Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah; tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah), iaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi" AQ 20:1-4

Nampaknya, negara-negara yang aman dan maju itulah negara Islam, dan rakyat di negara-negara itulah yang sebenarnya Muslim iaitu manusia yang hidup dengan berperaturan dan damai.  

Kesedaran ini kemudiannya membawa penulis kepada persoalan mengenai dua kalimah syahadah.   

Mengikut ahli agama Islam, seseorang itu perlu mengucapkan dua kalimah syahadah bagi menjadikannya seorang Muslim.  Di Malaysia, kad pengenalan kita juga perlu menyatakan agama masing-masing. Apabila kita telah didokumenkan sebagai seorang Islam, kita sekali-kali tidak dibenarkan untuk menukar agama.  Oleh itu, walaupun seorang yang beragama Islam di Malaysia telah memilih untuk murtad, dia tidak akan dibenarkan berbuat demikian dan kad pengenalannya akan terus tertulis Islam.  Dengan cara ini, para agamawan percaya bahawa mereka telah berjaya menghalang seorang Islam dari murtad.  

Agamawan di Malaysia langsung tidak mengambil kira bahawa keimanan itu tidak mungkin dapat disahkan dengan sebarang dokumen.  Mereka seolah-olah tidak memahami bahawa iman itu adalah urusan Allah, bersifat ghaib, tidak boleh diketahui, dilihat, dan jauh sekali disahkan oleh manusia.  

"Dan sesungguhnya Allah benar-benar mengetahui orang-orang yang beriman: dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang munafik" AQ 29:11

"Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang paling mengetahui siapa yang sesat dari jalan Nya; dan Dialah yang paling mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk" AQ 68:7

Allah juga menyatakan yang kita tidak boleh memaksa sesiapa pun untuk beriman.  

"Dan jikalau Tuhanmu mengkehendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semunya ? AQ 10:99

Allah juga menyatakan bahawa hanya Dia yang mampu membuat seseorang itu beriman. 

"Dan tidak ada seorangpun akan beriman kecuali dengan izin Allah; dan Allah akan menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya" AQ 10:100

Malah, Rasulullah juga tidak mampu membuat semua orang beriman: 

“Sebahagian besar manusia tidak akan beriman – walaupun aku sangat menginginkannya. Dan aku sekali-kali tidak meminta upah kepada mereka (terhadap seruanku ini), itu tidak lain hanyalah pengajaran bagi semesta alam)”  AQ 12:103-104

Jadi, bagaimana para agamawan boleh menentukan dan memaksa seseorang itu beriman dengan hanya bersandarkan sekeping kertas atau dokumen sahaja?  Apakah mereka lebih hebat dari Rasulullah dan mempunyai hubungan langsung dengan Allah bagi mendapatkan kelulusan atau pengesahan? 
Apa pula kata AlQuran tentang iman?  

“Rasul telah beriman kepada AlQuran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan demikian pula orang-orang yang beriman.  Semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya.  “KAMI TIDAK MEMBEZA-BEZAKAN SESEORANGPUN DARI RASUL-RASULNYA,” dan mereka mengatakan: “Kami dengar dan kami taat”. “Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kami kembali.” AQ 2:285

Bagi penulis, jika kita mencari rukun iman, maka ia sebenarnya berada dalam ayat di atas.

Secara ringkasnya, orang-orang beriman adalah orang-orang yang percaya kepada apa yang diturunkan dari Tuhan, iaitu AlQuran.


1.       Dengan itu,  mereka percaya kepada Allah
2.       dan Malaikat-malaikat
3.       dan Kitab-kitab
4.       dan Rasul-rasul
5.       dan TIDAK MEMBEZAKAN ANTARA RASUL-RASUL
6.       dan mereka berkata ‘kami dengar dan KAMI TAAT.’

Orang-orang beriman, menurut AlQuran, tidak pula menyebut dua kalimah syahadah sepertimana kita diajar.  Sebaliknya, AlQuran memberi amaran yang bertentangan sama sekali:


“Dan apabila disebut nama Allah semata-mata, segan serta liarlah hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhir; dan apabila disebut nama-nama yang mereka sembah dan puja selain dari Allah, mereka dengan serta merta riang dan gembira.” AQ 39:45

Perhatikan ayat di atas baik-baik;   Orang-orang yang TIDAK BERIMAN tidak suka jika kita menyebut Allah SEMATA-MATA.  Mereka ‘hanya akan gembira dengan menyebut nama Allah BERSAMA dengan nama-nama yang lain’.   

Ertinya mereka degil ingin memasangkan Allah dengan manusia yang mereka puja. 

Manusia itu boleh jadi imam-imam mazhab, penulis-penulis hadith atau nabi dan rasul.   

Justeru, bukankah kitalah selama ini menyebut “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, DAN aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”?  Kenapa kita perlu pasangkan Allah dengan Rasul secara setaraf?  Dan kenapa kita perlu bezakan taraf Rasulullah dengan 
Rasul-rasul yang lain sedangkan Allah melarangnya?

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa umat Islam hari ini seolah-olah memuja Rasulullah melebihi rasul-rasul lain dan meletakkan Rasulullah hampir setaraf dengan Tuhan.  Umat Islam pada dasarnya tidak menganggap Rasulullah sebagai penyampai mesej Tuhan tetapi sebagai pasangan kepada Tuhan sehingga boleh membuat hukum sendiri yang tiada di dalam AlQuran.   Hukum-hukum ini dikatakan dicatatkan di dalam hadith melalui dengar cakap dan penceritaan dari satu generasi, dan melangkaui generasi dalam masa 200 tahun.  

Umat Islam tidak mengendahkan mesej yang dibawa oleh Rasulullah iaitu AlQuran, tetapi lebih berminat untuk meniru Rasulullah sedangkan mereka tidak punya satu bukti pun yang Rasulullah berbuat apa yang mereka katakan itu.  Akibatnya, mereka hanya meniru-niru cara hidup dan budaya orang Arab sahaja.  
Cara hidup dan budaya orang Arab ini dikatakan ‘sunnah Rasul’ dan sunat diikuti, kalaupun tidak diwajibkan secara tidak langsung. 

Hari ini, nama Rasulullah dinyanyikan, dizikirkan, dicetak dan digantung bersebelahan nama Tuhan di mana-mana.   Malah, syarat untuk menjadi umat Islam juga kita perlu membuat pengakuan bersaksi terhadap Allah dan Rasulullah secara berpasangan.

Sedangkan AlQuran menyatakan bahawa orang yang beriman tidak menyebut apa yang kita sebut itu tetapi sebaliknya menyebut ‘kami dengar dan kami taat/patuh’. 

Ayat yang hampir sama diulang di dalam AlQuran dalam mencerita keimanan seseorang.   

“Ketika Tuhannya berfirman kepadanya: ‘Tunduk patuhlah!” Ibrahim menjawab: ‘Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam.” AQ 2:131 --- (Aslam-tu-li-rabbil-alameen)

“Dikatakan kepadanya: ‘Masuklah ke dalam istana’.  Maka tatkala dia melihat lantai istana itu, dikiranya kolam air yang besar, dan disingkapkannya kedua betisnya.  Berkatalah Sulaiman: ‘Sesungguhnya ia adalah istana licin terbuat dari kaca.’ Berkatalah Balqis: ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada allah, Tuhan semesta alam.” AQ 27:44 --- (Aslamtu-ma’a-sulaimanna-lillah-hi-rabbil-alameen)

“Katakanlah: ‘Sesungguhnya aku dilarang menyembah sembahan yang kamu sembah selain Allah – setelah datang kepadaku keterangan-keterangan dari Tuhanku; dan aku perintahkan supaya tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam.” AQ 40:66 --- (Uslima-li-rabbil-alameena)

Jelas mengikut AlQuran, tidak ada pra-syarat untuk seseorang itu mengucapkan dua kalimah syahadah untuk menjadi Muslim seperti yang diberitahu oleh para agamawan sejak zaman-berzaman.  

Penulis akui bahawa penulis juga tersentak apabila menyedari hakikat ini.  Mulanya penulis merasa takut untuk mempercayainya.  Tetapi kemudian penulis lebih takut kerana telah meragui firman Tuhan.  Penulis juga benar-benar takut memikirkan bahawa selama ini penulis telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang diperintahkan oleh Tuhan.  

Penulis dapati, apa yang ada di dalam AlQuran mengenai syahadah hanyalah kalimah yang pertama: 

“Allah menyatakan bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang menegakkan keadilan.  Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan demikian).  Tak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” AQ 3:18 --- (la-illah-ha-illah-hu)      

Apa yang lebih ‘mengejutkan’ ialah AlQuran dengan jelas menyatakan bahawa mereka yang menyatakan kalimah kedua dalam syahadah iaitu kami naik saksi bahawa Muhammad adalah Rasulullah adalah sebenar-benarnya orang-orang yang munafik

“Apabila orang-orang munafik datang kepadamu, mereka berkata: ‘Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah.” Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar pendusta.” AQ 63:1 --- (Ash-hadoo-innaka-la-rasulullah)

Untuk menjadi saksi, kita perlu menyaksikan sendiri perkara itu berlaku iaitu dalam kes ini, perlantikan Rasulullah sebagai Rasul.  Namun ini pastinya mustahil kerana Rasulullah bukan sahaja telah lama wafat tetapi juga kita tidak mempunyai sebarang pengetahuan yang nyata tentang siapa dirinya yang sebenar.  Justeru, bagaimana kita begitu berani mengaku menjadi saksi? 

Berbeza dengan kalimah pertama tadi, di mana kita mampu mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Satu kerana hakikat ini dapat disaksikan dengan kewujudan akal yang membawa pengetahuan bahawa pastinya wujud Maha Pencipta alam semesta yang menakjubkan ini.  

Hujah ini dikuatkan lagi apabila AlQuran turut menegaskan bahawa cukuplah Allah sahaja yang menjadi saksi perlantikan Rasulullah:

 “Berkatalah orang-orang kafir, “Kamu bukanlah seorang yang dijadikan Rasul”.  Katakanlah:  “CUKUPLAH ALLAH MENJADI SAKSI ANTARAKU DAN KAMU, dan di antara orang yang mempunyai ilmu Al-Kitab.” AQ 13:43

“Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari dirimu sendiri.  kami mengutusmu menjadi rasul kepada segenap manusia -  DAN CUKUPLAH ALLAH MENJADI SAKSI.” AQ 4:79

Maka, bahagian manakah dari peringatan-peringatan Allah ini yang kita tidak faham? 

Monday, 4 July 2016

13. Akal adalah segala-galanya



Umat Islam hari ini benar-benar berpegang kuat kepada larangan penggunaan akal dalam soal agama atas alasan akal manusia tidak mampu menjelaskan kuasaNya.   
 
Jika benar, mungkinkah penemuan penulis setakat ini tidak sah kerana semua ini ditemui dengan menggunakan akal?  Bagaimana kita boleh mengetahui sesuatu itu benar tanpa menggunakan akal?  

Apabila diminta sertakan ayat mana yang menyatakan Tuhan melarang penggunaan akal dalam AlQuran, mereka menjadi marah-marah.   Malah, ada di kalangan mereka menuduh penulis kafir, sesat dan sebagainya.   Apatah lagi dengan penampilan yang tidak bertudung, penulis turut diperlekeh dan segala hujah penulis dibakul-sampahkan saja tanpa mendengarnya langsung. 

Tetapi tidak apa, penulis bukan hidup untuk mendapat restu mereka.  Hidup mati penulis kerana Tuhan semata-mata.  Jika mereka berdegil ingin menolak AlQuran, apa boleh buat?  

Akal adalah anugerah tertinggi dari Tuhan kepada makhluk, maka adalah tidak logik jika kita dilarang menggunakannya dalam memperkatakan tentang kebenaran Tuhan.  Bagi penulis, akal bukan sahaja yang tertinggi, tetapi juga adalah satu-satunya yang menjadikan hidup kita ini bererti.   Kerana itu, Allah dengan jelas merujuk kepada mereka yang enggan menggunakan akal sebagai hina: 

“Dan tidak ada seorang pun akan beriman kecuali dengan izin Allah; dan Allah menimpakan kemurkaan (al rijs) kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya.” AQ 10:100

Untuk pengetahuan, perkataan al rijs berasal dari akar kata yang sama dengan najis.  Ini sudah cukup untuk menerangkan kedudukan orang yang menolak penggunaan akal di sisi Tuhan.  Entah kenapa kebanyakan umat Islam masih memilih untuk tidak mengendahkan ayat ini dan duduk dalam keadaan hina. 

Malah, Allah juga memberitahu bahawa mereka yang tidak menggunakan akal, yakni tidak mahu berfikir, akan menyesal: 

“Dan mereka berkata: ‘sekiranya kami mendengarkan atau MEMIKIRKAN nescaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala.” AQ 67:10

“Dan mereka berteriak di dalam neraka itu: ‘Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami, nescaya kami akan mengerjakan usaha yang baik berlainan dengan apa yang telah kami kerjakan’. Dan apakah, KAMI TIDAK MEMANJANGKAN UMURMU DALAM MASA YANG CUKUP UNTUK BERFIKIR bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan datang kepada kamu pemberi peringatan?  Maka rasakanlah dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong pun.” AQ 35:37

Terdapat 47 ayat yang menekankan pentingnya ‘berfikir’ atau penggunaan akal di dalam AlQuran.   Apakah ini masih belum cukup untuk kita memahami bahawa ‘akal’ amatlah penting bagi seorang manusia yang mengaku beriman?   

Apa itu akal?  

Akal difahami sebagai berada di bahagian otak.   Apabila otak tidak berfungsi atau mati, maka secara teknikalnya, manusia itu juga telah mati, yakni tidak punya kesedaran lagi ke atas kewujudannya di dunia ini.   Ertinya, akalnya tidak bersamanya lagi. 

Otak manusia adalah satu organ yang paling canggih dan rumit.  Secara purata, manusia biasa hanya menggunakan 10% dari potensi otak mereka.   Manusia tidak mungkin mencapai 100% potensi otak kerana ia akan bermakna dia memiliki seluruh pengetahuan mengenai alam semesta ini.  Sedangkan seluruh pengetahuan itu hanyalah milik Tuhan - tiada berpenghujung, tiada had atau infiniti.   Malah, perkataan ‘infiniti’ itu sendiri kita tidak mampu bayangkan.  Dan manusia tidak dapat melihat apa yang dia tidak mampu bayangkan.  

Jika anda pernah menonton filem ‘Lucy’, maka anda akan faham konsep ini.  Bagi yang memahami, filem Lucy adalah sebenarnya bersifat keTuhanan tetapi disampaikan dalam bentuk fantasi sains fiksyen:  

 Dalam filem tersebut, Lucy menjadi mangsa pengedar dadah dan perutnya dibedah untuk disembunyikan sejenis dadah baru yang mampu meningkatkan potensi otak.  Bagaimanapun, dadah tersebut terpecah lalu terserap di dalam tubuhnya.  Jumlah yang terlalu banyak menyebabkan peningkatan potensi otak Lucy tidak terkawal sehingga mencapai tahap maksima iaitu 100%.  Dalam proses itu, otak Lucy mula menyerap semua maklumat, mampu mengetahui apa yang difikirkan oleh seluruh manusia lain, punya kemampuan melihat proses fotosintesis di dalam tumbuhan, mampu melihat dan memahami setiap getaran dan gelombang bunyi dan elektrik, mampu merasai bumi berpusing, mampu mengetahui apa yang akan berlaku di seluruh dunia sehinggalah akhirnya Lucy ‘hilang’ dari pandangan apabila otaknya mencapai 100% potensi iaitu mempunyai keseluruhan pengetahuan mengenai alam semesta.   

‘Hilang’ bukan kerana Lucy telah tiada tetapi kerana mata manusia tidak mampu melihat apa yang akal kita tak mampu bayangkan iaitu pengetahuan total lagi infiniti mengenai alam semesta.    

Organ yang dipanggil ‘otak’ ini turut dimiliki oleh binatang cuma potensi organ ini di dalam binatang amat terhad kerana ia tidak disertakan dengan akal untuk berfikir.  

Fungsi dan kekuatan otak boleh dipetakan secara umum dan spesifik seperti kreativiti, memori, pergerakan dan sebagainya tetapi tiada siapa yang dapat menjelaskan mengenai ‘akal’ yang menjana kebolehan-kebolehan itu, mahupun had kekuatan atau potensinya seperti yang dijelaskan melalui filem Lucy tersebut.  

Dalam kata yang lebih tepat, ‘akal’ adalah sesuatu yang ghaib, tidak boleh disentuh mahupun dilihat.   

Buktinya, apabila ahli fizik tersohor Albert Einstein meninggal dunia, Thomas Harvey, seorang pathologist, telah mencuri otaknya untuk dibuat kajian.   Harvey nekad untuk mencari penjelasan kepada kebijaksanaan Einstein walaupun berhadapan dengan berbagai risiko, termasuk tindakan undang-undang. 

Walaubagaimanapun, akhirnya terbukti bahawa tiada apa-apa yang istimewa dari otak Einstein kerana ianya sama sahaja dengan otak manusia lain.  Keistimewaan akal Einstein tidak dapat dinyatakan melalui sekujur otaknya yang telah mati.  

Kesimpulannya, manusia hanya mampu mengkaji dan memahami otak tetapi tidak mampu mengkaji dan memahami kewujudan ‘akal’ di dalamnya.   Kemampuan manusia untuk mengkaji ‘akal’ hanya terhad setakat mengkaji hasil yang terbit dari akal individu tersebut ketika beliau masih hidup atau melalui peninggalannya seperti buah fikirannya, hasil kerjanya, tindakan atau penulisan dan percakapannya. 
 
Sesungguhnya ‘akal’ itu amatlah menakjubkan dan benar-benarlah satu anugerah yang tertinggi dari Tuhan. 


Manusia hidup melalui mindanya.  Tanpa minda manusia sebenarnya tidak wujud.  Malah, apa yang kita lihat hanyalah apa yang ditafsirkan oleh minda.  Segala-gala di dunia ini hanyalah di dalam minda kita, dan kerana itulah akal adalah segala-galanya.   Ini menerangkan satu keadaan atau penyakit yang dipanggil prosopagnosia atau ‘face blindness’ di mana seseorang itu gagal mengenal wajah termasuk wajahnya sendiri.  Ini menunjukkan bahawa wajah fizikal seseorang itu sebenarnya tiada melainkan ditafsirkan oleh minda kita sahaja.  Jika bahagian mengenalpasti wajah itu rosak atau terjejas, maka biar pun mata kita melihatnya, kita hanya nampak wajah yang ditafsirkan dan kemungkinan besar tidak mengenali wajah yang ditafsirkan itu.   

Para saintis mengesahkan bahawa dunia ini hanya wujud dalam bentuk delusi atau hologram dan ini telah pun diterangkan Allah di dalam AlQuran:

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.  Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah beruntung.  Kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya (l-ghururi – delusion).” AQ 3:185  

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah di antara kamu serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak’ seperti hujan yang menyebabkan tanam-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian ia menjadi hancur.  Dan di akhirnya ada azab yang keras, dan keampunan dari Allah serta keredaanNya.  Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan (l-ghururi – delusion).” AQ 57:20

Ini menjelaskan bahawa kuasa-kuasa yang kita tidak nampak, iaitu seluruh kuasa-kuasa yang terhasil dari alam semulajadi seperti cas atau aliran elektrik yang turut diperlukan untuk merangsang otak manusia, secara mutlaknya adalah manifestasi dari kuasa Allah semata-mata.  Kerana itulah Allah menyatakan bahawa mereka yang memahami kuasa sains alam ini adalah sebenar-benarnya Ulama.   

Penulis percaya, yang memberitahu penulis ketika kecil bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan cerita Isra’ Mikraj, datangnya dari kuasa fikiran bawah sedar yang sentiasa bersama manusia untuk menjaga dan melindungi manusia.  Kuasa ini turut merangkumi ‘common-sense’ iaitu kesedaran semulajadi mengenai apa yang betul dan salah.  Selebihnya bergantung kepada sama ada manusia itu akan menuai kuasa tersebut dengan berfikir lebih mendalam, dan  mengambil langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan atau kejayaan dalam hidupnya. 

Inilah yang dikatakan Allah lebih dekat dengan kita berbanding urat leher kita sendiri.  Inilah yang dikatakan Allah sentiasa bersama dan memelihara hambaNya.  Allah memimpin kita melalui akal kita sendiri, dan kita hanya perlu percaya kepadaNya untuk membawa kita ke arah kebenaran hakiki.  Jika kita ragu-ragu, panduan juga telah disertakan, iaitu AlQuran.

"Thaa Siin, ini adalah ayat-ayat AlQuran, dan Buku yang menjelaskan, untuk menjadi petunjuk dan berita gembira untuk orang-orang yang beriman." AQ 27:1-2  

"untuk menjadi petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang berfikir." AQ 40:54

Mereka yang enggan berfikir dan enggan menggunakan akal tidak akan mendapat petunjuk, dan berkemungkinan besar akan hilang arah (kiblat) dalam hidup dan terjerumus dalam kesesatan, kegagalan, kesusahan, kemiskinan, kemunduran, kemusnahan dan kehancuran.  

"Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan barakah supaya mereka mempelajari ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang MEMPUNYAI AKAL mengambil pelajaran." AQ 38:29

Jelas bahawa kita perlu menggunakan akal dalam mentafsirkan AlQuran dan kita perlu menggunakan akal sendiri, bukannya bersandarkan kepada akal orang lain seperti ustaz-ustaz atau imam-imam.