“Tiada paksaan dalam agama” – kata-kata ini bukanlah asing bagi
umat Islam dan mereka sering mewar-warkannya sambil merujuk ayat berikut:
“Tidak ada paksaan dalam aturan hidup (deen-i). Yang benar telah jelas daripada yang
salah. Maka sesiapa yang tidak percaya
kepada taghut, dan percayai Allah, dia berpegang pada pemegang yang paling
kukuh, yang tidak akan putus; Allah Mendengar, Mengetahui.” AQ 2:256
Malangnya, kata-kata ini hanyalah dibibir mereka sahaja
tetapi mereka tidak berpegang kepadanya.
Mungkin kerana mereka bukan merujuk kepada ‘deen’ atau
aturan hidup yang dimaksudkan AlQuran, tetapi kepada agama Islam yang
direkacipta manusia. Jika tidak, dari
mana datangnya halangan bagi umat Islam yang ingin murtad? Kenapa ramai sekali yang percaya bahawa orang
murtad harus dibunuh kalaupun tidak dicemuh, dikutuk dan dipulaukan?
Ini semua adalah satu bentuk paksaan ke atas mereka penganut
agama Islam (yang mengucapkan dua kalimah syahadah dan mempercayai ritual menyembah
kiub batu di Mekah 5 kali sehari adalah wajib), agar jangan sekali-kali memilih
untuk menyembah yang lain pula.
Di dalam AlQuran tiada arahan sama sekali untuk yang menghalang
sesiapa untuk tidak percaya kepada Tuhan, dan pastinya tiada sama sekali perintah
agar mereka yang tidak percaya itu dihukum atau wajib dibunuh.
Malah, seorang yang telah percaya kepada Tuhan boleh saja
menolak kepercayaan itu dan kemudian kembali percaya dan berbalik menjadi tidak
percaya pula:
“Orang-orang yang percaya, kemudian tidak percaya,
kemudian percaya, kemudian tidak percaya, kemudian bertambah dalam
ketidakpercayaan, Allah tidak akan memberi ampunan kepada mereka, dan tidak
menunjuki mereka kepada jalan yang lurus.” AQ 4:137
Jika Allah menyuruh mereka yang tidak percaya itu dibunuh,
pastinya mereka tidak punya peluang untuk kembali percaya dan tidak percaya
seperti ayat di atas. Tetapi, menurut
AlQuran, ini tidak berlaku kerana mereka dibiarkan terus hidup serta bebas
menukar pegangan berkali-kali dan Allah hanya menyatakan bahawa Dia tidak akan mengampuni
mereka dan tidak akan memberi petunjuk lagi kepada mereka. Itu saja.
Sama sekali tidak ada perintah untuk sesiapa di antara kita bertindak
menghukum mereka bagi pihak Allah pastinya kerana manusia sama sekali tidak
punya pengetahuan tentang siapa yang benar-benar beriman (percaya). Ini terbukti dengan meningkatnya kes murtad di
kalangan umat Islam di Malaysia yang mana kebanyakannya tidak dapat dikesan
oleh pihak berkuasa agama. Malah, ada di
kalangan mereka masih bersolat Jumaat, sekadar untuk mengelak dihukum oleh
jabatan agama Islam.
Lebih dari itu, kita juga tidak tahu sama ada diri kita
sendiri adalah tergolong dalam orang beriman (percaya) di sisi Allah. Oleh itu, jika iman sendiri juga kita tak
dapat tentukan, bagaimana kita memikul tugas menilai dan menghukum iman orang
lain?
Hakikatnya, orang bukan Islam yang kita tuduh kafir itu
belum tentu lagi kafirnya dan orang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah
itu hampir jelas munafiknya. (rujuk
artikel 14)
Pastinya ada di kalangan pembaca yang merasakan penulis
telah menjadi kafir atau sesat kerana tidak berpegang kepada ijtihad ulama dan
hukum-hukum yang telah dipersetujui oleh majlis fatwa. Anda juga
mungkin merasa marah dan menuduh penulis mempermainkan agama Islam.
Penulis ingin tekankan di sini bahawa anda boleh menuduh apa
saja, tetapi tahanlah diri anda dari menghukum penulis atas nama Tuhan kerana
apa yang anda hukum itu, bukanlah dari Tuhan dan anda bukanlah Tuhan. Sekurang-kurangnya, jagalah had itu dalam
mempertahankan agama anda.
Selain dari menipu diri menyatakan bahawa tiada paksaan
dalam agama, umat Islam juga turut menipu bila berkata bahawa “agama Islam itu mudah”.
Ya, menjadi seorang Muslim (orang yang berdamai) memanglah
mudah, tetapi menjadi penganut agama yang dinamakan Islam itu sebenarnya sangatlah
susah.
Lihatlah betapa sukarnya umat Islam untuk makan di mana saja
atau melancong di mana saja kerana terpaksa mencari tempat yang terdapat
makanan halal. Umat Islam juga terpaksa
membawa bekal keperluan solat ke mana-mana, terpaksa berhenti mencari tempat
bersolat dan kadangkala terpaksa bersolat di tempat yang tidak sesuai yang adakalanya
juga mengganggu orang lain.
Kerana solat juga, umat Islam sukar untuk bersollaa
(komited) dalam pekerjaan. Jika orang
barat boleh menyelam ke dasar laut mencari bahan untuk dikaji, seorang Islam
tentu tidak boleh berbuat demikian kerana terpaksa memastikan solatnya terjaga
mengikut waktu. Konsentrasi juga
terganggu kerana asyik menunggu masa bersolat.
Hendak ke bulan juga bukan main susah kerana terpaksa memikirkan
bagaimana untuk bersolat. Bukan itu saja,
bagaimana pula untuk menentukan kiblat di angkasa lepas? Bukankah ini pelik sedangkan alam maya
ini dicipta oleh Allah dan semua makhluk
bersollaa kepadaNya maka kenapakah kedudukan kiblat itu tidak sesuai untuk
seluruh alam?
Itu belum lagi meneroka hutan amazon, mendaki gunung,
menongkah padang pasir untuk mengkaji dan mencari ilmu seperti yang
diperintahkan oleh Allah. Umat Islam
tentu sukar untuk melakukan semua ini jika terpaksa berhenti berwuduk, bersolat
dan sebagainya. Benarlah kata seorang
rakan penulis bahawa umat Islam sebenarnya bukan menyembah Allah, tetapi menyembah
waktu kalaupun tidak menyembah matahari dan bulan seperti orang-orang
jahiliah.
Bagi wanita Islam pula tentunya lebih sukar lagi kerana
mereka terpaksa membungkus diri dari hujung rambut ke hujung kaki walaupun
dalam cuaca panas terik. Apa yang lebih menarik ialah, tahap kesukaran yang
dihadapi penganut agama ini pula berbeza mengikut di negara Islam mana kita
berada. Ada negara Islam yang tidak membenarkan wanita memandu, dan keluar
sendirian tanpa muhrim. Tidak boleh
membonceng motorsikal dengan lelaki bukan muhrim walaupun mungkin lelaki itu
anak jirannya dan itu saja cara paling murah dan mudah untuk mereka pergi
bekerja.
Ya, umat Islam amat gemarkan idea untuk memisahkan lelaki
dan perempuan di tempat awam kerana kebanyakan ajaran ustaz dan hadith begitu obses
dengan seks. Memang sakit untuk
mengakuinya, tetapi inilah hakikat yang begitu buruk mengenai pemikiran majoriti
umat Islam.
Pemisahan lelaki dan wanita di tempat awam tentu sekali
membebankan wanita berkeluarga kerana anak-anak akan terpaksa mengikut mereka,
sedang suami mereka boleh saja berjalan berlenggang tanpa perlu menjaga anak.
Apabila bercuti di hotel dengan keluarga, wanita Islam tidak
boleh berpakaian mandi yang sesuai di kolam renang. Rata-rata, kita lihat mereka terpaksa duduk
saja di tepi sambil melihat suami dan anak-anak bergembira. Ada yang degil ingin juga bersuka ria bersama
suami dan anak-anak seperti orang lain lalu memilih untuk melanggar peraturan, sekali
gus mengotorkan kolam renang dengan pakaian yang tidak sesuai. Beberapa kali penulis menyaksikan mereka atau
suami mereka bertengkar dengan pihak hotel untuk membenarkan mereka berpakaian
sesuka hati di kolam renang dengan menggunakan alasan agama. Tindakan
ini menyerlahkan sikap buruk umat Islam yang amat suka membantah, degil, enggan
mengikut peraturan.
Beberapa rakan-rakan wanita penulis yang bertudung pernah meluahkan
secara tidak sengaja akan kesukaran yang mereka hadapi seharian. Pergi ke kedai berdekatan juga susah, kata
mereka, kerana terpaksa berselubung lengkap.
Oleh itu, adakalanya mereka hanya memakai t-shirt lengan pendek sahaja
atas alasan ‘susah’ atau ‘panas’. Mereka
juga mengakui bahawa jika mereka bercuti di tempat yang tidak terdapat ramai
orang Malaysia, mereka akan buang saja tudung kepala mereka.
Beberapa tahun kebelakangan ini, rambut wanita menjadi isu
yang semakin ‘meruncing’ sehinggakan wanita tidak lagi dibenarkan menampakkan
rambut di hadapan ipar-ipar lelaki. Ini
tentulah malang bagi wanita yang tinggal bersama mertua dan ipar lelaki kerana
mereka terpaksa membungkus kepala seharian sehinggalah masuk waktu tidur. Bayangkan bau rambut yang sentiasa berbungkus
tidak kira dalam keadaan berpeluh atau basah.
Jika itu belum cukup susah, wanita Islam juga perlu menjaga
aurat di hadapan wanita bukan Islam! Ini
bermakna jika mereka menyertai kelas aerobik dalam premis tertutup yang semua
pesertanya wanita, tetapi kelas itu turut disertai wanita bukan Islam, maka mereka
terpaksa membungkus rambut sepanjang kelas juga. Atas
hujah yang sama, mereka tentu tidak boleh ke salon rambut milik bukan Islam atau
yang mempunyai pekerja bukan Islam! Bayangkan jika mereka tinggal di negara bukan
Islam, tentu mereka tidak boleh ke salon rambut selama-lamanya!
Umat Islam seolah-olah menyatakan bahawa Allah tidak tahu
akan realiti hidup di dunia yang dihuni manusia berbagai agama dan bangsa
ketika menurunkan agamaNya, sedangkan Allahlah yang mencipta dan mengetahui
semuanya.
Itu belum lagi diambil kira peranan seorang isteri yang mana
umat Islam percaya bahawa syurga isteri adalah di tapak kaki suami. Ungkapan ini kemudiannya dijadikan tiket
untuk suami memperhambakan isteri dan juga berpoligami.
Pendek kata, menjadi lelaki beragama Islam tidaklah begitu mudah,
dan menjadi wanita Islam adalah sesuatu yang teramat susah. Anda tidak dibenarkan berpakaian mengikut
citarasa sendiri, tidak boleh mempunyai personaliti sendiri, tidak boleh
bergembira dan mengkespresi diri.
Dalam kata lain, agama Islam secara umumnya menghalang
manusia menjadi manusia. Semua manusia,
terutama wanita perlu berpakaian sama.
Tidak perlu kepada industri fesyen.
Tidak perlu kepada muzik. Tidak
perlu kepada salon juga, mungkin. Maka,
apakah lebih baik bagi umat Islam untuk hidup seperti manusia zaman batu tanpa
sebarang peralatan dan ciptaan moden serta tidak perlu kepada otak untuk
berfikir juga?
Apabila naluri semulajadi manusia dihalang dan pemikiran
disekat, maka manusia terpaksa menjadi hipokrit. Hidup dalam hipokrasi setiap hari pastinya
akan menyebabkan sakit jiwa. Tidak
hairanlah kita sering mendengar kes yang pelik-pelik di kalangan pelajar
sekolah agama, tahfiz, termasuk di kalangan ustaz dan ustazah mereka.
Perlu diingatkan bahawa keadaan ini bukan hanya ekslusif
terhadap agama Islam sahaja, tetapi juga semua agama. Sekolah-sekolah agama Kristian, dan di
kalangan agamawan Kristian di barat juga, kumpulan yang terlalu ekstrem
menekankan hukum-hakam dan dosa-pahala, pasti menghadapi masalah yang
sama. Jika ekstremisme Islam mampu
melahirkan pengganas, ekstremisme di kalangan Kristian juga terbukti mampu
melahirkan pembunuh bersiri.
Apabila didoktrinkan mengenai ‘apa yang tidak boleh dibuat’
setiap hari, jiwa manusia akan menjadi murung, dirundung kebencian dan
kemarahan lalu hati menjadi rosak dan berkemungkinan hilang sifat kemanusiaan sehingga
menjadi ganas dan tidak lagi punya rasa kasihan, simpati, sabar, hormat, kasih
sayang dan cinta. Manusia seperti inilah yang mudah terhasut dan
tergoda dengan ideologi pengganas seperti AlQaeda ataupun ISIS.
Penulis percaya di kalangan pembaca sendiri ramai yang merasa
takut dan gerun untuk mempersoal hukum-hukum yang dikeluarkan oleh ustaz-ustaz/agamawan
dari hadith-hadith yang dipetik mereka. Dan
apabila anda buntu kerana sesuatu yang ingin dilakukan tidak terdapat hukumnya
dalam AlQuran, anda merujuk kepada ustaz-ustaz itu untuk bertanyakan hukumnya seolah-olah
ustaz itu adalah Tuhan kedua pula. Anda
cukup takut untuk menggunakan budi bicara dan akal fikiran sendiri, bukan
begitu?
“Allah berkata, “Janganlah ambil untuk kamu dua
Tuhan. Dia hanyalah Tuhan yang Satu;
maka kepadaKulah kamu berasa gerun.” AQ 16:51
Benarlah, bahawa takutnya manusia kepada agamawan mengatasi
takut mereka kepada Tuhan. Mereka lebih
takut untuk tidak percaya kepada agamawan daripada tidak percaya kepada
AlQuran.
Lebih buruk lagi, apabila dirujuk akan sesuatu perkara yang
tiada dalam AlQuran, para agamawan jarang sekali akan menyatakan bahawa mereka
tidak tahu tetapi mereka sedaya upaya akan mencipta hukum mereka sendiri
walaupun mereka sebenarnya cukup maklum bahawa Allah melarang mereka berbuat
demikian:
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang
disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta ‘ini halal dan ini haram’ untuk
mengada-adakan kebohongan terhadap Allah.
Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan kebohongan terhadap Allah tidaklah
beruntung.” AQ 16:116
Contoh mudah ialah kumpulan yang menolak suntikan vaksin ke
atas anak-anak mereka. Kumpulan ini
bertindak demikian kerana mengikut pendapat ustaz atau agamawan. Sedangkan ustaz itu tidak ada pengetahuan sedikit
pun dalam bidang perubatan.
AlQuran telah menyatakan bahawa Ulama sebenar ialah mereka yang
memahami dan takut pada sunnatullah iaitu hukum alam semulajadi. Ini termasuklah kejadian manusia iaitu
organ-organ dan fungsinya. Justeru, jika
ingin tahu apa ‘hukum’ suntikan vaksin ke atas manusia, seharusnya kita merujuk
kepada pakar perubatan atau doktor, dan bukannya ‘pakar’ hadith. Tidak ada ilmu berkenaan organ atau sistem
badan manusia di dalam hadith yang mereka baca itu. Malah tidak ada ilmu satu apa pun di
dalamnya melainkan pendapat atau imaginasi semata-mata.
Akibat menolak peringatan AlQuran dan degil ingin berTuhankan
ustaz, maka kedamaian (Islam) pun terancam.
Anak mereka sakit atau menjangkitkan penyakit pada anak orang lain. Masyarakat pun terjejas kerana terpaksa
berwaspada dengan bahaya penyakit yang dibawa kumpulan mereka. Mereka menjadikan hidup mereka dan orang lain
susah.
Secara umumnya, masyarakat Islam hidup dalam keadaan
terbelenggu, tertekan dan terkurung dalam satu kepompong di bawah tempurung yang
gelap dan tiada penghujung. Harapan
mereka jika mereka terus-terusan menafikan bahawa cara hidup mereka itu sukar serta
cekal menjalaninya, maka Allah akan memberi ganjaran syurga akhirnya.
Jika itu yang mereka percaya, maka mereka secara tidak langsung
menyatakan bahawa Allah berbohong dalam ayat ini:-
"Tho
Haa. Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah;
tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah), iaitu
diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi" AQ
20:1-4
Bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah, kita
pastinya beriman kepada AlQuran dengan sepenuh hati. Dan pastinya kita percaya kepada ayat di atas
bahawa jalan hidup yang ditunjukkan oleh AlQuran itu tidak susah, malah sangat mudah. Allah tidak berbohong tetapi umat Islamlah yang
berbohong dengan diri sendiri apabila menyatakan hidup mereka mudah, sedang
mereka benar-benar merasa susah.