“Cukuplah Allah bagiku,tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.“ AQ 9:129


Wednesday, 25 May 2016

6. Sujud kepada Allah, Patuh kepada ‘Ulama’


Penulis telah menemui bukti terdapatnya korupsi tafsiran mengenai kiblat.   Ini bermakna semua persoalan mengenai korupsi terhadap terjemahan lain seperti yang dibentang dalam artikel 4, adalah berasas.   Pun begitu, sehingga artikel ini di tulis, penulis terus mencari dan membaca fakta-fakta berkaitan sekadar untuk memastikan dan untuk mengetahui lebih lanjut.   

Kini penulis menjadi lebih terbuka kepada segala kemungkinan yang bakal dijumpai sepanjang perjalanan ini.   Malah, penulis juga terbuka kepada kemungkinan yang penulis tersalah jalan.  

Benarlah bahawa semakin kita mendalami AlQuran, semakin kita merendah diri dan merasa diri semakin kerdil.   Dunia pula terasa semakin luas dan semakin indah serta terlalu banyak yang perlu dipelajari atau dilihat.  Hati lebih mudah tersentuh dan bergetar sekiranya berbuat salah.   

Sungguh kehebatan AlQuran itu tidak mungkin tertanggung sendirian.  Oleh itu, penulis merasakan perlu untuk berkongsi pengetahuan ini.  Penulis perlu memberitahu, sekurang-kurangnya kepada orang-orang yang tersayang bahawa selama ini kita telah dipesongkan oleh ahli-ahli kitab:  

“Segolongan dari Ahli Kitab ingin menyesatkan kamu; padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak menyedarinya.” AQ 3:69

Untuk itu, Allah bertanya kepada ahli-ahli kitab: 

“Katakanlah: ‘hai ahli kitab, mengapa kamu ingkari keterangan-keterangan Allah, padahal Allah maha menyaksikan apa yang kamu lakukan?” AQ 3:98

Para agamawan yang menggelar diri mereka ‘ulama’, hampir secara sepakat menepis ayat ini sebagai ‘bukan ditujukan kepada mereka’.  Bagi mereka, ‘ahli kitab’ yang dimaksudkan ialah ahli kitab terdahulu iaitu kitab Taurat, Injil atau Zabur.   

Malah, tidak keterlaluan dikatakan bahawa mereka percaya tiada satu pun ayat dalam AlQuran yang ditujukan kepada mereka kerana mereka telah sempurna.  Mereka percaya mereka mempunyai hak dan kuasa untuk menyambung tugas Rasulullah menyampaikan ayat-ayat tersebut kepada manusia keseluruhan.  Mereka percaya mereka tidak perlu lagi mendalami AlQuran kerana sudah cukup ilmu berkenaan kitab Allah itu yang mana menjadikan mereka layak dan berhak untuk mentafsir ayat-ayat tersebut bagi pihak Tuhan, mengikut pendapat mereka sendiri, dan seluruh manusia wajib menerimapakai tafsir mereka.  

Begitulah takbur dan riaknya mereka!   

Pastinya mereka tidak mengakuinya.  Tetapi, jika ini tidak benar, kenapa begitu banyak ayat-ayat Allah yang mereka tolak mentah-mentah tanpa kompromi?

Allah lebih tahu bahawa agamawan zaman berzaman akan terus-terusan mencuba menghalang manusia lain dari mencari kebenaran sendiri: 

“Katakanlah:  Hai Ahli-ahli Kitab, mengapa kamu menghalang-halangi dari jalan Allah orang-orang yang telah beriman, kamu menghendakinya menjadi bengkok, padahal kamu menyaksikan?  Allah sekali-kali tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.” AQ 3:99

Allah kemudiannya berpesan kepada orang-orang yang percaya, yakni yang berpegang kepada AlQuran agar jangan bergantung kepada ahli-ahli kitab: 

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian dari orang-orang yang diberi AlKitab, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.” AQ 3:100

Ayat di bawah ini membuat penulis semakin nekad untuk meneruskan perjalanan ini sendiri:  

“Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka) dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.” AQ 2:78

Ya, penulislah yang buta huruf itu.  Penulislah yang tidak tahu akan isi Kitab.   Dan penulis tidak ingin lagi menjadi buta huruf dan tidak tahu.  Penulis tidak boleh lagi sekadar bersandarkan penerangan ketua-ketua agama kerana penulis tahu kini bahawa mereka juga hanya bersangkaan sahaja.  

Contoh keadaan majoriti umat Islam termasuk penulis sebelum ini, adalah seperti berikut:

Katakan kita sedang mencari jalan untuk ke satu destinasi bernama S yang kita tidak pernah sampai, dan kita diberi peta dan panduan mudah untuk sampai ke destinasi itu.  Tiba-tiba datang seorang yang mengaku sebagai guru yang mengaku mampu membawa kita sampai ke destinasi yang kita inginkan.  

Kita bertanya kepadanya, apakah dia pernah sampai ke destinasi S itu?  Katanya tidak, tetapi dia telah mengkaji peta dan panduan yang sama malah telah membaca banyak buku mengenainya serta lebih arif mengenai tempat yang kita ingin tuju.  Dia kemudian menyuruh kita duduk saja di tempat duduk penumpang sementara dia memandu kita ke destinasi S.   Kita mulanya agak muskil, tetapi si guru berkata, kalau tidak percaya, bacalah buku-buku mengenai destinasi S itu yang ada di dalam kereta.  

Kita pun percaya padanya dan masuk ke dalam kenderaan.  Sepanjang perjalanan, kita tidak sedikitpun menyemak peta dan panduan yang ada, tetapi mengambil buku-buku yang ditunjuk oleh guru tadi untuk dibaca.   Terdapat begitu banyak sekali buku berkenaan destinasi yang dituju.  Semakin banyak dibaca, semakin terujalah kita dengan kisah mengenai destinasi S yang diceritakan di dalam buku tersebut.  

Di tengah jalan, kita berjumpa dengan seorang tua.  Orang tua itu bertanya, ke mana kita hendak pergi?  

Kita memberitahu bahawa kita ingin ke destinasi S.   

Orang tua itu berkata, bahawa jalan ini membawa ke N, bukan S.  Kita menjawab tidak mungkin, kerana guru kita lebih tahu dan beliaulah yang memandu kereta.    

Orang tua itu bertanya lagi, apakah kita mengikut apa yang ditulis di dalam peta dan panduan perjalanan?  

Kita menjawab ya, guru kita yang memandu dan pastinya dia mengikut jalan yang ditulis di dalam peta.  

Orang tua itu bertanya lagi, apakah kita sedang mengikut peta atau ikut guru?  

Kita jawab ikut peta, kerana guru kita ikut peta.  

Orang tua itu bertanya lagi, jadi, kita ikut guru..atau peta? 

Kita jawab, ikut peta, kerana guru kita ikut peta dan lebih tahu tentang destinasi itu.  

Orang tua itu bertanya lagi, apakah guru kita pernah sampai ke situ?

Kita jawab tidak.  

Orang  tua itu akhirnya berkata, “kamu tidak ikut peta, kamu ikut guru yang memberitahu kamu bahawa dia mengikut peta.  Tapi, bagaimana kamu ingin memastikan yang guru kamu benar-benar mengikut peta itu?”  

Ya, jawapannya, kita harus menyemak peta itu sendiri, mengkaji panduannya dan memahami sendiri jalan-jalan dan tanda-tandanya.   Setelah itu barulah kita tahu sama ada kita berada di jalan yang betul atau bertentangan seratus peratus!

Begitulah juga dengan AlQuran.  Apakah kita ikut AlQuran atau ikut ustaz?  Kebanyakan kita ikut ustaz yang mengaku mengikut AlQuran, manakala ustaz itu pula hanya mengikut pakar agama yang turut mengaku mengikut AlQuran.   Hakikatnya, kebanyakan mereka hanya mengikut penulis-penulis hadith dan tiada siapa pun yang mengikut AlQuran.  

Inilah yang berlaku zaman berzaman di mana AlQuran tidak diacuhkan langsung sehingga umat Islam terbelenggu dalam amalan ritual yang tidak memberi faedah, membuang masa, membentuk sifat dan sikap buruk, kasar dan ganas dan akhirnya berpecahbelah sehingga memusnahkan segala-galanya.  

Inilah akibatnya apabila umat Islam kebanyakannya hanya bersujud fizikal kepada Allah, tetapi tidak patuh dan akur kepada perintahNya.  Sebaliknya, mereka patuh dan akur kepada agamawan atau penulis-penulis hadith.  

Semua ini berlaku hanya kerana perkara yang dianggap kecil iaitu ‘terjemahan dan tafsiran perkataan ‘sujud’ yang bermaksud patuh atau akur, telah dikorupkan menjadi satu pergerakan fizikal khas oleh ahli-ahli kitab, agar sesuai dengan ritual solat yang direkacipta dan diperincikan dalam hadith-hadith tulisan imam-imam.  

Oleh itu, pada hari ini, tanyalah diri masing-masing, anda ikut AlQuran atau ikut Hadith?  Ikut Allah atau ikut Imam?  Atau ikut kedua-duanya secara berpasangan?  

Ingatlah Allah tidak berpasangan!